SALAH satu daripada perkara yang sangat dikesali dalam kempen
pilihan raya tahun 1969 ialah sewaktu Pas sedang mengecam Kerajaan Perikatan,
terutamanya UMNO dalam soal-soal agama Islam, maka pada ketika itulah juga
Malaysia sedang mencipta satu sejarah baru untuk dunia Islam. Sungguhpun
Malaysia bukan sebuah negara yang bercorak ugama, tetapi Islam ialah agama
rasminya.
Tidak kurang daripada 23 buah negara Islam yang terdiri
daripada pelbagai bangsa telah bersidang di Kuala Lumpur
untuk membuat keputusan mengenai berbagai-bagai masaalah yang
melibatkan orang-orang Islam di merata dunia. Inilah julung kalinya
negara-negara Islam telah berkumpul di satu tempat untok membincangkan agama
Islam dan hubungannya dengan dunia moden, dan Malaysia patut mendapat kepujian
yang penuh di atas kejayaannya menganjurkan persidangan yang bersejarah itu.
Berlakunya persidangan ini dalam masa kempen pilihan raya adalah
dengan secara kebetulan sahaja kerana kerja-kerja merancang dan membuat
perhubungan untuk menyediakan persidangan itu telah dijalankan selama beberapa
tahun yang lepas. Se-benarnya saya telah melahirkan cita-cita saya di Masjid
Woking, London dalam tahun 1961. Cita-cita saya ialah untuk mengadakan satu
badan negara-negara Islam yang di-panggil “Komanwel Islam”.
Tetapi sebelum daripada saya melanjutkan penerangan mengenai
persidangan ini, elok-lah saya menegaskan terlebih dahulu perkara-perkara yang
telah dibuat oleh Malaysia untuk agama Islam kerana Pas telah mereka pelbagai
tuduhan yang tidak berasas dalam pilihan raya. Sebenarnya dalam hati kecil saya,
saya sentiasa berasa bangga kerana kesemua kejayaan yang telah dicapai untok
kemajuan agama di negara ini adalah di luar dugaan kita.
Pertama, kita telah mengantikan dengan bangunan-bangunan baru
kesemua masjid lama dan tempat-tempat ibadat saperti surau dengan perbelanjaan
wang kerajaan yang besar, dan setiap bangunan itu berbentuk mengikut yang
sesuai dengan keadaan dan keinginan orang-orang di tempat itu sendiri.
Kenapa Kerajaan memberi pandangan yang sebagitu berat terhadap
pembinaan masjid? Pertama ia-lah untuk menawan hati semua orang di negara ini
yang berpegang teguh kapada agama Islam; dan kedua ialah untuk meletakkan agama
Islam di tempat yang tinggi dan mulia, sesuai dengan tarafnya sebagai agama
rasmi negara ini menurut Perlembagaan.
Tuan-tuan akan dapati bahawa masjid-masjid yang dibina di kawasan
baru adalah terletak di atas tapak yang elok, sepadan dengan kedudukan martabat
agama rasmi negara. Orang ramai berkumpul di surau-surau yang beratus-ratus
banyaknya untuk sembahyang, untuk berbual-bual dan bergaul dengan bebas pada
setiap ketika, sama ada di majlis bercorak agama atau pun sosial. Perbelanjaan
yang secukupnya telah diberi, dan segala keperluan untuk pembinaan telah
diadakan. Mishalnya, jalan-jalan masuk dan ekalan air paip telah diadakan di
semua masjid dan surau baru, walhal pada zaman dahulu orang-orang Islam
di negara ini bergantung kapada perigi yang dikorek di tempat-tempat yang tidak
menurut kehendak kesihatan, atau pun bergantung kapada air hujan yang ditakung
dalam kolah tempat berwuduk. Banyak masjid telah buruk dan bangunannya yang
rosak tidak dibaiki kerana tidak ada wang. Kejadian ini berlaku sebab pada
umumnya taraf ekonomi orang Melayu adalah rendah.
Soal yang kedua ialah sekolah-sekolah ugama. Kerajaan telah
membina banyak sekolah dengan perbelanjaan yang besar, dan merancangnya
menurut kehendak rakayat. Guru-guru telah dilatih khas untok mengajar di
sekolah-sekolah agama itu. Semua sekolah ini disesuaikan dengan sistem
pelajaran yang telah diluluskan oleh Kerajaan. Selain bahasa Arab yang menjadi
bahasa Quran, penuntut diajar bukan sahaja bahasa kebangsaan, bahkan juga
bahasa Inggeris. Sebenar-nya Kerajaan mengadakan apa jua yang di-perlukan oleh
sekolah-sekolah agama itu, padang-padang permaianan dan kemudahan-kemudahan
lain.
Usaha besar untuk membina bangunan-bangunan itu berjalan di
segenap pelusuk Malaya sebelum tertubuhnya Malaysia, dan dasar ini terus
diamalkan hingga sekarang. Sekalipun Kerajaan Kelantan dikuasai PAS, tetapi hal
ini tidak menghalang Kerajaan Perikatan daripada menghulurkan bantuan wang
untuk membina bangunan agama di negeri itu. Bolehkah terbayang dalam fikiran
sesiapa jua yang Kerajaan PAS Kelantan akan menghulurkan bantuan walau satu sen
pun untuk membina sebuah masjid atau surau di luar negeri Kelantan? Sebenar-nya
dalam negeri mereka sendiri pun mereka tidak berbuat bagitu; mereka telah
bergantung sepenuhnya kapada Kerajaan Perikatan untuk membuat kemajuan bagi
kepentingan agama dari segi pembangunan, tetapi mereka yang dapat nama.
Dalam bulan puasa, Kerajaan Pusat menggalakkan masjid-masjid
memberi jamuan kapada orang ramai dan mengadakan majlis supaya kuranglah
kepenatan berpuasa dan menunjukkan keistimewaan bulan Ramadan sebagai bulan
umat Islam melebihkan amalan ibadat yang kyusuk kapada Tuhan. Pertandingan
membaca Quran dianjurkan dengan diberi hadiah kapada pemenang.
Bermacam-macam-macam perkara lain dibuat untuk menyambut bulan yang mulia itu
supaya mereka yang berpuasa merasa dirinya hampir kapada Allah, dan meletakkan
mereka di tempat yang lebeh mulia daripada orang-orang yang tidak dapat
menahan nafsu mereka dengan kesenangan dunia. Orang-orang Islam yang ada di
seluruh negara telah ditolong oleh Kerajaan untuk menyambut bulan yang berkat
ini dengan sepatut-nya.
Malaysia adalah negara yang pertama memulakan Pertandingan
Al-Qur’an pada tahun 1960. Pertandingan ini diadakan tiap-tiap tahun di
peringkat negeri untuk memilih johan bagi memasuki pertandingan peringkat
kebangsaan. Selain itu, negara-negara luar juga dijemput untuk mengambil
bahagian dalam pertandingan di peringkat Antarabangsa.
Sejak pertandingan Quran diadakan, Malaysia telah menerima
sanjugan yang besar dan pandangan yang tinggi oleh dunia Islam yang tidak
pernah diberikan kapada negara-negara Islam yang lain kecuali Arab Saudi
di mana terletak kota suci Mekah dan Madinah.
Pada zaman atom lebih laju dari suara, Malaysia telah menjadi
masyhur di seluruh dunia Islam sebagai sebuah negara yang terkemuka untuk
memberi nafas baru kapada agama Islam. Pada zaman inilah juga manusia telah
menunjukkan tanda-tanda kelemahan, hilang iman kapada Tuhan dan kepercayaan
sesama manusia, sambil itu mencari pendapat-pendapat yang baru, cara hidup yang
baru dan dunia untuk ditakluki. Bagi kita orang Islam, kita berpegang teguh
kapada agama kita untuk menguatkan iman kita. Malaysia telah memberi pimpinan
ini kepada dunia Islam semasa kerajaannya dipegang oleh Perikatan.
Di negara-negara Asia yang lain, pemimpin-pemimpin politik telah
menyedari bahawa kemajuan dan pembangunan negara mereka telah terjejas apabila
ahli-ahli agama mengganggu perjalanan politik sesebuah negara, tetapi kesedaran
mereka itu telah terlambat sehingga merugikan negara mereka sendiri. Seorang
Perdana Menteri telah hilang jiwanya, dan negaranya telah mundur akibat gangguan
agama di dalam politik. Sesungguhnya keadaan yang seperti ini telah berlaku
pada zaman dahulu, tetapi dalam dunia bertamadun pada hari ini kejadian yang
saperti itu tidak lagi berlaku di negara-negara Eropah yang progresif.
Sebenarnya di kebanyakan negara Islam, agama Islam diletakkan di tempat yang
sewajarnya untuk dijadikan makanan rohani, dan politik untuk kemajuan negara,
dan sebagaimana yang pernah di-katakan “politik ialah satu ilmu yang digunakan
pada waktu yang diperlukan.”
Kejayaan yang paling tinggi yang dicapai oleh Malaysia dalam
menjalankan dasarya yang luas untuk agama Islam ialah Persidangan Negara-Negara
Islam yang telah diadakan dalam bulan April, 1969 di Kuala Lumpur. Dalam
persidangan ini pemimpin-pemimpin Islam yang terkemuka dari seluruh dunia telah
berhimpun untuk mengambil keputusan atas masalah-masalah agama yang dihadapi
bersama oleh seluruh umat Islam saperti waktu sembahyang di sesetengah tempat
yang tidak nampak matahari, atau pun apakah hukum Islam di atas pemindahan
anggota orang Islam kapada orang yang bukan Islam untuk kepentingan sains dan
perubatan.
Perkara yang terbesar ialah persidangan ini merupakan satu
peristiwa yang sangat menggembirakan kerana inilah kali pertama begitu banyak
negara Islam, iaitu 23 buah semuanya telah datang dengan perasaan muhibah dan
persaudaraan untuk berbincang, sama ada hal-hal politik atau ekonomi, dan
mereka itu datang sebagai wakil Kerajaan masing-masing.
Pada masa lalu, kebanyakan negara Islam telah berpecah atau pun
tidak mengambil hirau antara satu dengan lain. Malaysialah Negara Islam yang
pertama berjaya mengadakan satu mesyuarat di peringkat Kerajaan yang boleh
menimbulkan rasa kecenderungan di kalangan pemimpin-pemimpin Islam, dengan
harapan perjumpaan di Malaysia ini akan disusuli pula dengan beberapa
persidangan lain pada masa akan datang dan juga akan merapatkan ikatan
persaudaraan di kalangan semua negara Islam.
Saya suka mengulangi sekali lagi bahawa persidangan yang penting
saperti itu sangatlah bersejarah, tetapi malangnya ada orang-orang yang tidak
menyedari tentang makna peristiwa yang bersejarah itu. Pada saya nilai
Persidangan Negara-Negara Islam ini hampir sama dengan kejayaan mencapai
kemerdekaan Malaya. Kemerdekaan memberi taraf kapada manusia yang telah hidup
berkurun-kurun lamanya sebagai hamba abdi. Persidangan ini menarik pandangan
dunia.
sebuah buku hasil
karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969
No comments:
Post a Comment
Sila gunakan bahasa yang sopan.
Please use proper language.