MENGENAI surat Dr. Mahathir yang menyebut cara bermain poker adalah
satu taktik yang biasa diamalkan oleh pihak-pihak “Pelampau”, kerana memanglah
menjadi amalan mereka sentiasa bercakap-cakap dan berbisik-bisik dan
mengungkit-ungkit cara kehidupan saya. Mereka mengutuk saya kerana bermain
poker, hadir dalam perlumbaan-perlumbaan kuda dan kerana memberi perhatian yang
besar kepada sukan.
Kehidupan peribadi seseorang adalah hal dirinya sendiri dengan
syarat dia tidak melanggar hak-hak orang lain. Saya mengakui bahawa saya sangat
suka kepada kehidupan dan keseronokan di dalam masa hidup, tetapi tidaklah saya
pernah lari daripada menjalankan kewajipan, semata-mata kerana hendak
bersuka-ria. Saya percaya tidak ada orang yang berfikiran waras yang
hendak menyekat mana-mana orang daripada mendapat sedikit kerehatan yang
diperlukan. Tentulah seseorang yang telah bekerja pada setiap hari dalam
seminggu dan pada setiap bulan dalam setahun berhak mendapat sedikit kerehatan
dan ketenangan.
Memanglah berbahaya bermain kuda dengan secara besar-besaran,
tetapi jika disifatkan permainan itu sebagai sukan, bagaimana yang saya
lakukan, maka ia boleh menjadi satu permainan yang menghiburkan hati.
Tidaklah timbul sebarang bahaya jika kita bertaruh wang dengan secara kecil ke
atas seekor kuda untuk dapat keseronokan melihat kuda itu menang. Tidak siapa
pun menjadi kaya dengan berjudi; sebaliknya pula janganlah dengan berjudi itu
seorang itu menjadi papa. Sekiranya ia boleh mendapatkan hiburan dari permainan
itu, dan mendapat keuntungan sedikit maka tentulah permainan itu boleh
mendatangkan kebaikan kepadanya.
lnilah falsafah hidup saya. Sekali-sekala saya bersuka-ria dengan
permainan poker bersama-sama dengan kawan-kawan saya. Mereka ialah
sahabat-sahabat dan kawan-kawan baik saya, dan persahabatan kami ini tidaklah
pernah disalahgunakan oleh mana-mana seorang daripada mereka itu. Pada saya persahabatan
tidaklah terbatas kepada warna kulit atau kaum. Saya menghargai kesetiaan
kawan-kawan saya dan sebagaimana yang telah terbukti dalam masa ketegangan dan
kegentingan mereka adalah orang-orang yang dapat membantu dan melipurkan hati
saya. Saya menyifatkan poker sebagai satu permainan yang menghiburkan hati pada
masa lapang, dan sebagaimana permainan kuda, dalam permainan poker ini kami
bermain dengan secara yang kecil.
Kuda-kuda yang saya miliki itu atas namanya sahaja, melainkan dua
ekor yang telah dihadiahkan kepada saya pada hari lahir saya, salah seekor
daripadanya tidak lagi dapat digunakan untuk perlumbaan. Selain daripada
menghiburkan hati saya untuk melihat kuda-kuda itu berlari, perhatian yang saya
beri kepada perlumbaan kuda ini adalah semata-mata untuk tujuan mendapatkan
hasil daripada perlumbaan kuda sebagai satu perusahaan yang dapat memberi
sumbangan yang sangat besar kepada khazanah negara, dan dengan wang itu pula
dapatlah dibelanjakan untuk berbagai-bagai projek pembangunan.
Saya juga sangat gemar kepada sukan-sukan lain. Saya telah menjadi
Yang di-Pertua Kesatuan Bola Sepak Malaysia selama 20 tahun iaitu semenjak saya
menjadi Timbalan Pendakwa Raya pada 1949. Saya telah menganjurkan Pertandingan
Bola Sepak Merdeka yang diadakan pada setiap tahun dan telah menyelenggarakan
permainan bola sepak seluruh Asia sehingga tertubuhlah Persatuan Bola Sepak
Sa-Asia dalam tahun 1957 dan saya telah dipilih menjadi Yang di-Pertua
sehinggalah ke hari ini. Saya juga telah menganjurkan pertandingan tahunan Bola
Sepak Belia se-Asia yang sangat popular.
Selain dari itu saya juga cenderung dalam permainan golf sekali
pun saya sendiri seorang pemain yang sangat mundur. Sungguh pun begitu
permainan golf ini merupakan satu riadah untuk menjaga kesihatan diri saya.
Saya fikir tidaklah menjadi keterlaluan jika saya katakan bahawa
sumbangan-sumbangan saya dalam dunia golf, terutama sekali dengan melancarkan
pertandingan tahunan bagi Piala Putra di Kuala Lumpur, telah membawa kepada
lahirnya di seluruh Asia satu pertandingan yang disebut “The Golf Circuit”
(Pertandingan Pusingan Golf).
Saya mencampuri dengan cergas boleh dikatakan di dalam semua
permainan sukan di Asia hari ini. Saya gemar berjalan kaki, permainan perahu,
memancing ikan, memandu motokar, dan semasa saya berada di London saya
menyaksikan perlumbaan anjing. Saya melihat permainan tenis, kriket, badminton,
hoki, sport bahkan segala jenis sukan.
Satu sahaja kekecewaan yang saya alami dalam dunia sukan
iaitu semasa saya menjadi Yang Dipertua. Kelab Penerbangan Selangor selama
setahun kerana ketika itu tentulah saya berhajat hendak mengambil latihan
memandu kapal terbang. Tetapi tujuan saya ini tidak berhasil kerana semua
keluarga dan sahabat-sahabat saya bersatu menghalang saya daripada mengambil
latihan itu. Jadi saya tidak dapatlah merasai keseronokan menjadi pemandu kapal
terbang.
Saya mengaku saya seorang yang suka bersenang-lenang. Saya suka
kepada kehidupan yang riang dan saya mahu melihat negara saya aman dan
penduduknya bahagia. Jika tidak, apa ertinya hidup? Kehidupan manusia di atas
muka bumi ini bukanlah begitu panjang untuk mereka menjahanam atau
merosakkannya, atau pun mendatangkan sebarang bahaya kepadanya, sama ada ke
atas tubuh badan atau akal fikiran.
Jadi saya tidak mahu hidup seperti seorang yang membelakangkan
keduniaan, kerana kehidupan yang seperti itu tidaklah sesuai dengan djri saya.
Sebaliknya saya seorang Islam yang beriman kepada Allah dan sangat menyedari
tanggungan-tanggungan saya kepada agama, saya tidak pernah meninggalkan sembahyang
setiap hari. Dengan keimanan saya kepada Allah dan perasaan kasih sayang saya
terhadap sesama manusia, dan selagi hayat dikandung badan, maka selama
itulah saya akan hidup dengan riang dan gembira, dan jika orang-orang lain juga
berbuat begitu, maka dunia ini akan menjadi satu tempat yang lebih bahagia
untuk kita semua hidup di-dalamnya.
Orang mungkin memikirkan bahawa kehidupan seseorang Perdana
Menteri ltu satu kehidupan yang senang. Oleh itu saya rasa munasabah sekiranya
saya perturunkan dibawah ini petikan dari ucapan saya di Guildhall pada
satu jamuan makan malam yang diberikan oleh Datuk Bandar London kepada
Perdana-perdana Menteri Komanwel pada l3 Januari, 1969 yang berbunyi :
“Tidak ada Perdana Menteri yang terus kekal seperti patung Gog dan
Magog (dua buah patong yang menjadi lambang keteguhan dan ketenteraman
bagi Buildhall) yang kekal selama-lamanya dalam dewan ini, Perdana
Menteri adalah tokoh pergi dan tokoh datang, cuma cara datang dan perginya itu
sahaja yang berbeza-beza. Ada yang pergi dengan cara yang cepat, ada yang pergi
dengan cara yang susah dan ada yang pergi dengan cara yang biasa.
“Tidaklah syak lagi bahawa mana-mana orang lelaki atau perempuan
yang dipilih oleh rakyat untuk menjadi Perdana Menteri ialah orang-orang yang
mendapat sanjungan yang setinggi-tingginya. Sungguh pun begitu penghormatan dan
kemudahan yang didapati oleh seorang Perdana Menteri tidaklah berpadanan dengan
tanggungan-tanggungan yang dipikul olehnya semasa memegang jawatan yang tinggi
itu. Tempoh jawatannya sentiasalah bergantung kepada kehendak rakyat, dan
terkadang-kadang menurut kesukaan dan angan-angan rakyat.
“Oleh yang demikian kehidupan sesaorang Perdana Menteri itu
bukanlah senang, bahkan beliau sentiasalah berhadapan dengan tanggungjawab yang
memerlukan pemikiran dan pertimbangannya. Sebenarnya beliau mestilah berlagak
seperti seorang pelakon “akrobat”, iaitu pelakon yang sentiasa berjaga-jaga di
dalam lakonannya itu dengan membuka telinga, membuka mata, mengagakkan dengan
tepat setiap langkah dan gerak-gerinya, dan sentiasa bersedia menghadapi krisis
politik sama seperti berjalan di atas seutas tali, dia mesti tahu menimbang
dirinya supaya selamat.”
Di waktu saya mengeluarkan perkataan-perkataan ini, saya masih
dapat mendakwa bahawa sayalah yang menjadi Perdana Menteri yang paling bahagia
di dalam dunia. Di waktu itu saya tidak termimpi bahawa empat bulan
kemudiannya, pada tarikh yang sama, apa yang saya katakan pada masa itu di
London akan terjadi ke atas diri saya sendiri di Kuala Lumpur.
sebuah buku hasil karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969
No comments:
Post a Comment
Sila gunakan bahasa yang sopan.
Please use proper language.