BAB 14 : Putih Kembali | 13 Mei – Sebelum & Selepas



Tiga hari telah berlalu sejak tercetusnya kekacauan di Kuala Lumpur. Pemasyhuran keadaan darurat telah berjalan dengan kuat kuasanya dan Majlis Gerakan Negara (MGN) telah mula menjalankan tugasnya dengan cergas.

Saya merasa yakin bahawa dengan gerakan yang dijalankan setiap hari oleh MGN, maka satu asas yang kukuh telah diadakan bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang mungkin timbul, dan juga menjamin supaya keamanan dan kemajuan dapat berjalan selari. Majlis ini mempunyai kuasa yang penuh untuk mengemuka dan melaksanakan sebarang keputusan yang mereka fikirkan perlu bagi menjaga keselamatan negara dan mengembalikan kehidupan rakyat seperti sedia kala.

Rakyat telah mula menyahut seruan Kerajaan supaya memelihara undang-undang dan ketenteraman setelah mereka menjadi biasa dengan pemasyhuran perintah berkurung, tambahan pula mereka mengetahui bahawa ada beribu sukarelawan yang sanggup dan bersedia berkhidmat bersungguh-sungguh.

Dalam tempoh 48 jam ditubuhkan, MGN  telah dapat mengendurkan masa berkurung di beberapa tempat. Tempoh bagi kelepasan telah dipendekkan dari satu hari ke satu hari dan keadaan beransur pulih.

Kelonggaran masa berkurung ini telah dapat diisytiharkan din kawasan-kawasan yang sensitif, iaitu Kampung Bharu dan Jalan Chow Kit seminggu selepas tercetusnya kekacauan. Di kawasan-kawasan inilah pergaduhan mula berlaku.

Setelah suasana menjadi bertambah baik dan kejadian-kejadian buruk telah berkurangan, maka dapatlah kita meninjau kembali dengan fikiran yang tenang hal-hal yang bersangkutan dengan kekacauan itu pada keseluruhannya. Ketika itu dapatlah kita saksikan dengan jelas bahawa kekacauan itu bukanlah merupakan satu kejadian yang meliputi seluruh negara, kekacauan ini sebetulnya tertumpu di sekitar Kuala Lumpur ini sahaja. Inilah hakikat yang benar sekalipun akhbar asing telah menyiarkan cerita-cerita yang bertentangan yang boleh menaikkan bulu roma pembaca.

Di Pantai Timur tidak terdapat rasa bimbang atau curiga. Di Johor dan Negeri Sembilan pula tidak pernah berlaku sebarang kejadian. Sebenarnya perintah berkurung tidak dikenakan di negeri-negeri Pantai Timur dan Johor. Di Melaka beberapa pergaduhan kecil telah berlaku, tetapi secepat itu pula ketegangan dapat ditangani. Begitu juga keadaan di kebanyakan tempat dalam negeri Selangor. Di Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis tidak berlaku sebarang kejadian.

Sesungguhnya Pulau Pinang patut mendapat pujian kerana tenang ketika itu, walhal pada masa lalu negeri itulah yang menjadi tempat bermulanya kekacauan. Pulau Pinang ialah negeri di Pantai Barat yang mula sekali mendapat kelonggaran masa berkurung dari subuh hingga tengah malam.

Selain Kuala Lumpur, kawasan-kawasan lain yang memerlukan pengawasan yang ketat ialah Betong, yang terletak di sempadan Kedah dan Perak dengan Thailand. Di sempadan inilah pengganas-pengganas komunis kadang kala muncul sebagaimana masa darurat dahulu, tetapi keadaan itu dapat dikawal pada masa ini (sungguhpun begitu keadaan di situ telah bertambah tegang kemudiannya)

Bagaimanapun suasana pada keseluruhannya belumlah lagi boleh dikatakan pulih seperti sediakala, kerana adanya khabar-khabar angin. Semasa kemuncak kekacauan itu, penyebar khabar-khabar angin sangatlah liar dan meluas sebagaimana yang berlaku di mana-mana juga dalam masa rusuhan.

Selepas dari kekacauan seperti yang telah dialami oleh penduduk Kuala Lumpur, maka tentulah mengambil masa bagi mengembalikan keyakinan orang ramai sepenuhnya. Sekalipun masa berkurung sedang dipendekkan dan perniagaan telah mula dijalankan pada siang hari, tetapi selepas jatuh matahari, jalan-jalan raya boleh dikatakan lengang. Orang ramai lebih suka duduk di rumah pada sebelah malam.

Sekarang setelah orang ramai mula merasai bahawa Kerajaan telah mendapat mengawal balik keadaan, maka anasir-anasir jahat tidak lagi mempunyai sebarang senjata untuk menyebarkan khabar-khabar angin. Anasir-anasir jahat ini menggunakan khabar angin itu dengan sepenuhnya untuk menimbulkan keadaan gelisah.

Anggota kongsi gelap telah mengambil peluang dalam suasana yang seperti ini dengan menawarkan perlindungan dengan satu bayaran. Jika tawaran tidak diterima, mereka akan menimbulkan kekacauan di tempat itu. Apabila berlaku kejadian yang seperti itu, maka perintah berkurung terpaksalah dikenakan dan penduduk di kawasan itu akan mengalami berbagai-bagai kesusahan. Keadaan yang seperti ini dapat dilihat di Kuala Lumpur pada hari-hari kelepasan di hujung minggu di mana lazimnya penduduk bandar ini keluar untuk bersuka ria. Tetapi, keadaan yang seperti ini tidak kelihatan lagi sekarang.

Sekali pun penduduk di Ibu Kota init telah mengubahkan kelaziman hidup mereka, tetapi suasana telah mula beransur-ansur pulih. Dengan kerana itu pada 6 Jun dapatlah saya masuk ke hospital untuk menjalani pembedahan mata dan dirawat sehingga 15 Jun. Doktor-doktor telah lama menasihatkan supaya saya menjalani pembedahan mata itu.

Sebagaimana yang telah saya sebutkan di permulaan buku ini, semasa di hospital itulah saya telah mencatatkan segala ingatan sehingga dapatlah buku ini disusun. Semasa itu juga saya dapat memikirkan dengan tenang soal yang sehabis penting, iaitu mengembalikan kepercayaan orang ramai di dalam dan luar negara, dan juga untuk merancang cara-cara yang sebaiknya supaya timbul kembali perasaan muhibah dan kerjasama sebagaimana yang terdapat di Malaysia pada masa aman. Saya bercita-cita supaya perasaan ini akan sekali lagi menjadi asas utama di dalam penghidupan masyarakat kita.

Apa yang saya fikirkan ialah kemungkinan menubuhkan jawatankuasa muhibah pada peringkat kebangsaan dan negeri di seluruh Malaysia. Sungguhpun begitu selepas 16 Jun manakala saya meninggalkan hospital untuk balik ke Residency, satu peristiwa telah berlaku (yang akan dihuraikan kemudian kelak) yang telah mendukacitakan saya di waktu itu. Kejadian itu telah menggendalakan saya daripada melaksanakan tujuan saya yang besar.

Ketika itu suasana di seluruh negara telah menjadi bertambah-tambah baik sehingga dapatlah masa berkurung dikurungkan lagi di merata-rata tempat kecuali di Betong. Maka berkurung itu ialah daripada pukul 1.00 pagi hingga 4.00 pagi, iaitu satu waktu yang kebanyakan rakyat yang baik sedang tidur lena di rumah masing-masing.

Dua minggu kemudian, iaitu pada 28 Jun, hari Sabtu, bandar Kuala lumpur yang telah mulai sunyi daripada sebarang kejadian buruk sama ada siang atau malam, dengan tiba-tiba bergoncang semula bila berlakunya satu kekacauan baru dan besar di kawasan yang letaknya di sebelah utara iaitu Sentul.

Pergaduhan-pergaduhan baru telah berlaku pada petang itu di Sentul Pasar. Pertengkaran di antara dua orang yang mabuk di Jalan Chow Kit telah mencetuskan rasa takut dan kelam- kabut di kalangan orang ramai, dan kedai-kedai telah ditutup dan orang-orang yang berjalan kaki berlari bertempiaran. Dalam kejadian yang berlaku pada kali ini, lima orang telah terbunuh dan sederet rumah kediaman telah dibakar. Menjelang pukul 6.00 petang itu, kawasan yang berlaku kejadian itu telah diletakkan di bawah perintah berkurung dan pihak polis telah melaporkan “semuanya baik”.

Kejadian di Sentul berlaku ialah kerana beberapa perbuatan provokasi yang telah dilakukan oleh pemuda-pemuda India yang membaling batu ke atas masjid yang ada di kawasan itu. Tidak cukup dengan perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab itu, mereka telah menambah lagi penghinaan ke atas orang-orang Melayu dengan membaling najis manusia ke dalam kawasan masjid. Perbuatan menghina ini telah membakar perasaan orang-orang Melayu di situ sehingga satu rusuhan kecil telah meletus menyebabkan kematian lima orang.

Khabar-khabar angin mengenai perkembangan baru itu segera merebak ke seluruh bandar dan ketika itulah anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab telah mengambil peluang untuk melakukan perbuatan jahat. Di Cheras, iaitu kira-kira enam batu jauhnya dari Sentul, kumpulan-kumpulan pemuda telah melempar batu ke atas kenderaan-kenderaan yang lalu di kawasan itu, dan dalam satu kejadian yang lain pula yang berlaku kira-kira sebatu dari Sentul Pasar, samseng-samseng telah mencederakan seorang yang melalui jalan tersebut. Dengan kejadian-kejadian ini maka kawasan tersebut telah diletakkan di bawah satu pengawasan pasukan keselamatan yang ketat, dan perintah berkurung telah dikenakan selama tiga hari. Sementara itu di bahagian-bahagian lain di bandar Kuala Lumpur kehidupan rakyat telah berjalan seperti biasa.

Bandar Kuala Lumpur yang telah mulai pulih seperti sediakala dalam masa enam minggu yang lepas, telah sekali lagi bergegar dengan kekacauan yang baru, lebih-lebih lagi kerana kejadian itu telah berlau dengan tiba-tiba sahaja, Adakah kejadian itu mungkin timbul lagi? Tidakkah memadai pengajaran yang telah mereka dapati pada 13hb. Mei?

Sungguhpun begitu dalam tempoh beberapa hari sahaja penduduk Kuala Lumpur telah bertukar fikiran mereka setelah melihat bahawa Kerajaan pada ketika itu melaksanakan satu pengawasan yang ketat. Dari semenjak itu tidaklah lagi timbul kejadian-kejadian yang baru. Sebaliknya beberapa buah Jawatankuasa Muhibah yang tidak rasmi telah ditubuhkan dengan daya usaha penduduk sendiri.

Penduduk ibu negara telah mulai sedar bahawa kiranya mereka tidak mahu kehidupan ekonomi mereka terjejas, maka kenalah mereka memberi sokongan yang lebih cergas kepada Kerajaan. Orang-orang yang mengalami penderitaan yang paling teruk akibat kekacauan-kekacauan dan perintah-perintah berkurung ialah mereka yang miskin, terutama penjaja-penjaja yang mencari penghidupan mereka pada waktu malam. Bandar Kuala Lumpur telah beransur pulih seperti sediakala dan penduduknya mula merasa yakin. Dengan itu bulan Julai telah berlalu dengan tidak berlaku sebarang kejadian-kejadian buruk.

Sungguhpun begitu satu peristiwa yang sangat buruk telah berlaku pada 27 Julai di sempadan sebelah utara Malaysia Barat. Enam orang askar Malaysia telah terbunuh dan lapan lagi tercedera di dalam satu serang hendap di hutan tebal oleh 30 penganas yang datang dari Thailand. Tempat kejadian ialah kira-kira dua batu daripada Sintok, sebuah kampong di Malaysia yang berdekatan dengan sempadan.

Setelah Kuala Lumpur pulih kembali seperti sedia kala, dan apakala suasana di seluruh negara pada keseluruhannya telah bertambah baik, maka perasaan takut dan bimbang yang telah timbul dari kejadian 13 Mei itu telah beransur-ansur hilang. Dengan itu juga maka masa hadapan negara kita kian menjadi bertambah cerah.

Sekalipun begitu saya sangat dukacita kerana orang-orang Cina di Kuala Lumpur telah terpengaruh dengan khabar-khabar angin bahawa jika mereka membeli durian daripada orang-orang Melayu atau menjual durian itu maka mereka mungkin dipukul. Khabar angin ini mungkin juga ada kebenarannya, tetapi tidaklah patut mereka itu membiarkan diri mereka diancam oleh sekumpulan pemuda yang tidak bertanggungjawab.

Seorang kawan saya telah memberitahu bahawa dia telah diberi beberapa biji durian. Selepas daripada menikmati buah yang lazat ini dengan secara bersembunyi di dalam rumahnya, dia terpaksa dengan secara sulit menggali sebuah lubang untuk menanam kulit durian itu pada sebelah malam. Dia bimbang kiranya kulit-kulit durian itu dibuang dalam tong sampah, maka mungkin cerita yang dia telah melanggar pemulauan itu akan dapat diketahui dari mulut ke mulut, dan dengan itu dia akan menghadapi satu akibat yang buruk.

Kiranya rakyat yang taat mengambil sikap membiarkan diri mereka terperangkap dengan perasaan takut oleh kerana adanya ancaman supaya buah-buahan bermusim ini dipulaukan, maka saya bimbang bahawa kita akan mengambil masa yang lebih panjang untuk mengembalikan keamanan yang sebenar di dalam negara ini. Mereka tahu bahawa penjualan buah-buahan yang bermusim itu ialah untuk selama masa yang tidak lebih dari dua bulan sahaja. Saya suka melahirkan harapan saya moga-moga orang-orang Cina yang taat setia kepada Malaysia menyatukan diri mereka dalam sebuah pertubuhan untuk membantu Kerajaan menentang anasir-anasir yang bersifat anti sosial ini. Inilah sebabnya kita perlu mengadakan Jawatankuasa Muhibah.

Oleh itu pada 21 Julai saya telah mengumumkan rancangan untuk menubuhkan sebuah Majlis Muhibah Kebangsaan, yang akan mempunyai badan-badan yang serupa itu juga di peringkat negeri. Saya telah buat pengisytiharan ini dalam satu mesyuarat Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri yang telah diadakan di Kuala Lumpur, dan menjelang akhir bulan itu saya telah mulai melawat ke seluruh negara untuk mengembalikan perasaan muhibah di merata tempat. Usaha saya ini telah mendapat sokongan dan sambutan dari semua pihak.

Perasaan yang seperti inilah yang sebenarnya tertanam di dalam hati seluruh bangsa Malaysia di semua peringkat dan di kalangan semua kaum. Mereka suka hendak hidup kembali dengan aman dan bahagia kerana tiap-tiap orang sedar inilah cara-cara hidup yang dikehendaki oleh mereka.
sebuah buku hasil karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan bahasa yang sopan.
Please use proper language.