Dalam ucapan saya menerusi televisyen dan Radio pada 16hb Mei itu,
saya telah berkata:
“Sekarang
kita telah pun mengisytiharkan darurat kerana memerlukan kita bertindak dengan
serta-merta; jika tidak maka keadaan ini tentulah akan menjadi bertambah buruk
dan tidak akan dapat dikawal lagi dan kita akan menghadapi dengan satu keadaan
darurat sebagaimana yang dihadapi oleh British dalam tahun 1948. Ancaman yang
kita hadapi sekarang sangatlah genting dan berat dan kita tidak akan ada jalan
lain lagi melainkan bertindak dengan segera. Cuma ada satu jalan sahaja yang
boleh kita lakukan iaitu mengisytiharkan keadaan darurat dan mengambil segala
langkah-langkah yang perlu bagi mencegah keadaan ini daripada bertambah
buruk.”
Pengganas Komunis telah menyusun rancangan mereka untuk mengambil kuasa
daripada tangan kita. Mereka telah dapat menarik pengundi-pengundi dengan cara
ancaman dan menakutkan mereka, dengan cara memujuk mereka supaya menjatuhkan
Perikatan menerusi perjalanan demokrasi, tetapi kita bernasib baik kerana telah
mendapat cukup kerusi untuk menubuhkan kerajaan, jika tidak saya tidak tahulah
apa yang akan jadi kepada negara ini.
Mereka telah menolak MCA kerana mereka telah mengecap MCA sebagai Parti pro
Melayu dan tidak pro orang-orang Cina Malaysia. Mereka telah dapat menarik
orang Cina supaya tidak mengundi MCA dan apa yang lebih pelik lagi ialah mereka
telah berjaya mendapat sambutan orang ramai melalui ancaman-ancaman mereka itu.
Terdahulu, mereka telah mencuba sedaya upaya untuk menghalang supaya pilihan
raya tidak dapat di jalankan tetapi tidak berjaya dan kemudian mereka telah menjalankan
cara-cara lain pula untuk merosakkan perjalanan pilihan raya itu. Satu peluang
baik telah timbul apakala salah seorang dari mereka telah dibunuh oleh polis
sebagai mempertahankan diri dan mereka telah menjadikannya seorang jaguh
perjuangan dan mengarak mayat melalui jalan raya, dengan melanggar perintah
Kerajaan dan melalui jalan-jalan yang tidak dibenarkan oleh Polis.
Polis telah bersungguh-sungguh bersabar dan bertindak dengan cermat dan
membenarkan perarakan itu terus berjalan. Kiranya polis hilang sabar pada
ketika itu, tentulah kekacauan telah berlaku kerana orang-orang ini telah
keluar berarak dengan memakai berbagai-bagai jenis senjata untuk bertempur
dengan Polis. Dalam perarakan itu mereka telah menunjukkan cogan-cogan anti kerajaan,
anti Malaysia, membawa bendera-bendera merah, dan dengan sombong dan megah
menunjukkan gambar Mao Tze-Tung dan menyanyi memuji Mao, Ini teranglah taktik
pengganas Komunis dan tidak siapa yang boleh menafikan tetapi kita tidak ambil
apa-apa tindakan sehinggalah habis pilihan raya. Tetapi kemuncaknya telah
sampai apakala mereka mengadakan satu perarakan menyambut kemenangan
calon-calon di Kuala Lumpur dengan tidak menurut segala syarat yang telah
dikenakan oleh polis. Mereka juga telah melakukan perbuatan-perbuatan yang
boleh menaikkan kemarahan orang ramai dengan menggunakan kata-kata cacian dan
penghinaan terhadap mereka. Ini adalah perbuatan provokasi yang membangkitkan
rasa marah kepada sesiapa jua yang menyaksikannya. Oleh yang demikian nyatalah
bahawa tujuan di sebalik perbuatan mereka ialah supaya timbul huru-hara dan
kekacauan.
Oleh itu saya tidak ada jalan lain lagi melainkan terpaksalah menunjukkan
kepada anasir-anasir jahat itu bahawa kita ada kerajaan yang akan terus
memerintah. Kita telah berada dalam keamanan beberapa lama dari semenjak kita
membatalkan darurat dan peraturan-peraturannya. Sekarang mereka mulakan balik
dan sebab itu mestilah kita bertindak dengan secepat-cepatnya. Jika tidak, maka
tidak lah dapat kita hendak memelihara keamanan dan harmoni dalam negara ini.
Oleh kerana peraturan-peraturan darurat telah dikuatkuasakan balik, maka
tiap-tiap orang adalah dikehendaki taat kepada undang-undang itu kerana jika
tidak orang-orang yang tidak berdosa akan binasa. Untuk mencegah daripada
berlaku keadaan itu, maka kerajaan terpaksalah menghadapi anasir-anasir jahat
itu dan saya telah meminta semua rakyat yang taat setia kepada negara ini
supaya tidak melakukan perbuatan yang boleh menghalang tindakan-tindakan
kerajaan dan lebih cepat kita dapat menamatkan darurat ini, maka lebih baiklah
bagi semua orang.
Sekarang saya sedang menubuhkan sebuah Pasukan Pertahanan yang kuat.
Orang-orang baru akan diambil untuk masuk menjadi anggota-anggota Pasukan
Pertahanan Tempatan atau Local Defence Corp yang akan digunakan dengan
sepenuhnya dan pusat-pusat pengambilan anggota pasukan itu akan ditubuhkan
seberapa segera di setiap bandar dan pegawai-pegawai tentera akan
dipanggil untuk menjalankan kerja ini.
Tanggungan kita sekarang ialah menghadapi dan mengatasi keadaan darurat itu.
Kerja ini berat tetapi boleh diatasi dan dengan sokongan rakyat saya percaya
kita akan berjaya. Pusat-pusat pengambilan orang-orang baru akan ditubuhkan
dengan segera di Selangor, Perak dan Pulau Pinang dan dalam negeri-negeri lain
akan diadakan juga dengan seberapa cepat. Rakyat tidak boleh menjalankan
sendiri kuasa kekerasan dengan berbuat sesuka hati mereka kerana orang-orang
yang tidak berdosa akan menjadi korban di kedua-dua belah pihak, dan kita tahu
bahawa dalam negara ini orang-orang Cina yang taat setia adalah lebih kuat
daripada anasir-anasir yang tidak taat setia, tetapi mereka mempunyai
pertubuhan yang kuat dan orang-orang yang taat setia itu tidak bersatu. Oleh
yang demikian perlulah bagi orang-orang yang hendak berkhidmat kepada negara
dalam saat yang genting ini mara ke hadapan dan menawarkan diri mereka untuk
berkhidmat dalam pasukan itu. Belia mestilah menyambut seruan untuk
mempertahankan negara ini. Saya mengulangi lagi bahawa Malaysia berharap setiap
rakyat yang taat setia hendaklah menunaikan tanggungan mereka.
Sekarang saya telah pun menubuhkan sebuah Majlis Gerakan Negara atau National
Operations Council dan Tun Razak sebagai Pengarah Tindakan atau Director of
Operations, dengan diberi tanggung jawab yang penuh untuk menjalankan
pentadbiran di bawah Pengisytiharan Darurat, dan Operations Council ini akan
turut dianggotai wakil pasukan-pasukan keselamatan. Tun Razak akan
bertanggungjawab terus kepada saya, yang bererti bahawa kebanyakan kerjanya
akan diberi keutamaan. Majlis Gerakan (Operations Council) akan ditubuhkan
dalam semua negeri dan arahan-arahan akan diberi oleh Majlis Bertindak
Kebangsaan di bawah Tun Razak. Mereka yang akan menjadi ahli dalam majlis-majlis
ini akan dipilih daripada mereka yang benar-benar jujur dan ikhlas dan
mempunyai taat setia yang teguh kepada negara. Tujuan majlis ini ialah untuk
menyelaraskan kerja pentadbiran awam, tentera dan polis dalam segala usaha kita
hendak mengembalikan keamanan. Kita mesti mengembalikan rasa kepercayaan kepada
negara kita dengan seberapa segera yang boleh. Jika tidak maka perniagaan akan
terhalang, pentadbiran negara akan rosak dan segala usaha yang kita telah buat
untuk kepentingan keamanan dan ekonomi akan menjadi sia-sia. Saya bimbang
orang-orang akan tempelak kita dan menuduh bahawa kita mengambil tindakan ini
kerana kita tidak mempunyai suara kelebihan yang banyak, tetapi ini tidaklah
benar, kita mempunyai suara lebih yang cukup untuk menjalankan pentadbiran,
tetapi keadaan yang timbul memaksa kita mengambil langkah-langkah yang kuat dan
berkesan bagi menghadapi pengganas-pengganas komunis itu.
Berjuta-juta ringgit telah rugi dalam perdagangan dan perniagaan dalam masa
beberapa hari ini dan begitulah juga beberapa banyak nyawa yang terkorban.
Kejadian yang telah berlaku dalam negara kita yang bahagia ini sangatlah
mendukacitakan. Marilah kita sekalian bermohon kepada Allah supaya mencucuri
rahmat dan mengembalikan balik keamanan kepada negara kita ini.
sebuah buku hasil karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969
No comments:
Post a Comment
Sila gunakan bahasa yang sopan.
Please use proper language.