BAB 17 : Perlembagaan Dan Hak | 13 Mei – Sebelum & Selepas



MENURUT “pelampau-pelampau” yang telah dapat memujuk golongan muda, negara ini adalah kepunyaan orang Melayu sahaja dan orang-orang lain tidak berhak ke atasnya. Tidak ada siapa pun yang dapat menafikan bahawa pada asalnya negara ini ialah sebuah negara orang Melayu, dan merekalah yang menjadi bumiputeranya. Dengan sebab itulah Perlembagaan mesti mengadakan syarat-syarat khas mengenai adat istiadat dan hak orang-orang Melayu.

Syarat-syarat ini terkandung dalam Perlembagaan kita. Mestilah diingat bahawa Perlembagaan negara kita telah digubal setelah mendapat kata sepakat daripada semua kaum kerana mereka memahami dan menyedari kedudukan istimewa orang Melayu. Oleh. kerana orong Melayu sentiasa cenderung kepada pemerintahan beraja, maka Perlembagaan telah menentukan bahawa negara ini mestilah diperintah oleh Raja bergelar Yang di-Pertuan Agong yang dipilih dari kalangan Sultan.

Sambil itu Perlembagaan juga mengawal dan menghormati kedudukan dan hak kedaulatan Raja-Raja  Melayu, seperti perkara-perkara mengenai agama dan adat istiadat orang Melayu. Perlembagaan itu juga mensyaratkan bahawa agama Islam hendaklah menjadi agama rasmi bagi negara dan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Ringkasnya, Perlembagaan mempertahankan dah mengkanunkan hak-hak  orang Melayu buat selama-lamanya.

Bahkan Perlembagaan juga telah menentukan perkara-perkara yang lain untuk orang Melayu. Ia mengakui hakikat bahawa semasa Perlembagaan itu digubal dengan persetujuan semua pihak, setiap orang telah sedar dan menerima hakikat bahawa kedudukan ekonomi orang Melayu telah tertinggal daripada  kaum-kaum lain. Hakikat ini tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun. Oleh itu satu syarat khas telah dimasukkan untuk mengatasi kemunduran ekonomi orang Melayu.

Sesungguhnya, laporan Suruhanjaya Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu menyatakan, “bahawa sebagai basil daripada perjanjian-perjanjian yang asal dengan Negeri-Negeri Melayu yang ditegaskan dari masa ke masa, maka kedudukan istimewa. orang Melayu itu sentiasa diperakui, dan perakuan ini telah dinyatakan sekali lagi -dalam Perjanjian. Persekutuan Tanah Melayu 1948.”

Selanjutnya suruhanjaya itu menyatakan bahawa pada ketika itu ada empat perkara mengenai dengan kedudukan istimewa orang Melayu yang diakui dan diberi perlindungan. Perkara-perkara itu ialah tanah simpanan orang Melayu di negeri-negeri; peruntukan khas (kuota) jawatan Kerajaan; peruntukan khas mengenai pengeluaran permit dan lesen perniagaan  seperti lesen lori dan kereta sewa; dan akhirnya pelbagai peringkat biasiswa, sama ada yang merupakan bantuan penuh atau sebahagian, dan berbagai-bagai-bagai lagi bantuan untuk tujuan pelajaran yang diberikan kepada orang Melayu.

Suruhanjaya itu menyatakan bahawa “orang Melayu akan menghadapi satu kedudukan yang sangat lemah berbanding dengan kaum-kaum lain kiranya syarat-syarat istimewa ini ditarik balik dengan tiba-tiba.” Mereka membuat perakuan supaya kedudukan yang terdapat  pada waktu itu patutlah diteruskan  untuk satu masa yang panjang.

Dengan lain-lain perkataan, ahli-ahli Suruhanjaya itu telah menyatakan bahawa keutamaan ekonomi bagi orang Melayu sangatlah perlu. Mereka mencadangkan supaya perkara ini dikaji ba1ik seIepas 15 tahun. Kesemua pandangan ini telah dimasukkan dalam Perlembagaan itu.

Sejak kemerdekaan, kerajaan Perikatan yang telah memegang kuasa telah mematuhi syarat-syarat yang terkandung dalam Perlembagaan ini dan menjalankan polisinya untuk menentukan supaya cita-cita hendak memajukan ekonomi orang Melayu itu pada keseluruhannya  dapat dicapai. Dengan sebab itulah Kerajaan telah menjalankan dan melaksanakan rancangan pembangunan luar bandar, sehingga dapatlah dikatakan bahawa bermacam-macam-macam   perkara telah dibuat untuk faedah orang Melayu daripada mereka dalam rahim sehinggalah ke pintu .kubur.

Salah satu daripada rancangan  kerajaan ialah penubuhan Mara yang bertujuan untuk melatih orang Melayu dalam pelbagai jenis pekerjaan yang mereka tidak pernah mendapat peluang menjalankannya pada masa yang lepas. Tujuannya ialah supaya mereka mendapat tempat yang hak  dalam seluruh masyarakat bangsa kita. Tempat-tempat dikhaskan untuk orang Melayu di Universiti Malaya dan di maktab-maktab teknik. Pelajaran permulaan diberikan dalam Berbahasa Kebangsaan di semua sekolah tidak kira untuk mana-mana kaum. Tidak lama lagi sebuah universiti lagi akan ditubuhkan untuk membuka peluang baru bagi orang Melayu. Dan selagi kerajaan Perikatan masih memegang kuasa, maka banyaklah lagi rancangan yang akan dilaksanakan bagi faedah orang Melayu.

Segala usaha sedang ditumpukan kepada kerja yang boleh mendatangkan faedah bagi ekonomi orang Melayu. Meskipun begitu, banyak lagi yang perlu dibuat. Sebarang kajian semula mengenai soal ini tidaklah sekali-kali akan mencacatkan hak-hak orang Melayu sebagaimana yang tercatatt dalam Perlembagaan.

Sementara itu, tidaklah boleh kita lupakan kepentingan lain-lain kaum sebagaimana yang disyaratkan dalam Perlembagaan. Kita mestilah ingat bahawa kesemua kaum lain ini telah bersama-sama dengan orang Melayu untuk memperjuangkan kemerdekaan negeri ini.

Jangan-lah kita mengetepikan hakikat bahawa sebelum kita menjadi sebuah negara yang merdeka. kita cuma sebuah tanah jajahan Inggeris yang dipecah-pecahkan. Kiranya semua kaum tidak bersatu untuk kemerdekaan, negara kita tentulah masih lagi menjadi Tanah Jajahan British sehingga hari ini. Setelah perjuangan kemerdekaan yang dipimpin oleh orang Melayu dan disokong oleh kaum-kaum lain dilancarkan, maka timbullah semangat hendak menghalau dan menamatkan penjajahan di negara ini, dan dengan kemerdekaan itu dapatlah kita mengambil tempat kita yang hak sebagai sebuah negara yang berdaulat. Kita mestilah  menyedari bahawa perubahan yang seperti inilah juga yang telah membawa negara-negara lain di Afrika menjadi bangsa yang merdeka dan berdaulat.

Tidak siapa pun yang membangkang usaha Kerajaan hendak menolong orang Melayu kerana semua orang yang siuman insaf bahawa dari zaman berzaman orang Melayu telah terbiar di negara mereka sendiri. Dasar Kerajaan ialah menggalakkan supaya mereka yang tidak berada dan anak-anak mereka itu supaya maju ke hadapan, dan memberi kepada mereka segala kemudahan untuk perbaikan masa hadapan mereka.

Seorang pegawai asing telah menyatakan kepada saya bahawa kemajuan yang dibuat oleh orang Melayu dalam masa 10 tahun kemerdekaan sangatlah menakjubkan. Saya menjawab bahawa kiranya kita mendapat peluang, dan dengan adanya keamanan yang berkekalan dalam negara, maka banyak lagi yang akan dapat kita lakukan.

Apabila Undang-Undang Bahasa Kebangsaan diluluskan, maka puak “pelampau” dalam UMNO tidak bersetuju dengan beberapa fasal yang memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong membenarkan penggunaan bahasa Inggeris bagi maksud-maksud rasmi yang difikirkan mustahak.

Mereka juga tidak bersetuju diberi kuasa kepada Kerajaan Persekutuan atau mana-mana  Kerajaan Negeri menggunakan sebarang terjemahan bagi surat atau perutusan dalam bahasa kaum lain untuk maksud yang difikirkan perlu bagi kepentingan awam.

“Pelampau2″ itu mendakwa bahawa kita menggalakkan kaum lain menggunakan bahasa mereka sendiri. Mereka mahu supaya Bahasa Kebangsaan diamalkan sepenuhnya dan dengan serta-merta tanpa memberi peluang kepada orang lain membiasakan diri mereka dengan Bahasa Kebangsaan secara berberansur-ansur.

Mereka tidak sedar bahawa negara-negara baru lain telah cuba dari semenjak beberapa tahun yang lepas hendak mengadakan satu bahasa kebangsaan, tetapi tidak berjaya. dan banyak lagi dari negara yang masih menghadapi kesulitan untuk menyelesaikan: masalah ini. Mereka juga tidak sedar bahawa India yang mempunyai satu bangsa daripada berbagai-bagai-bagai  suku belum lagi dapat melaksanakan satu Bahasa Kebangsaan. Jadi sikap tidak sabar yang ditunjukkan  oleh “pelampau2″ itu tidaklah wajar.

Saya berpendapat penerimaan Undang-Undang Bahasa Kebangsaan oleh semua pihak merupakan satu kejayaan. dan saya suka memberi masa kepada kaum lain mengamalkan bahasa itu sepenuhnya. Langkah memaksa orang lain menerima setiap perkara yang hendak dibuat ada-lah satu polisi yang salah dalam sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia.

Kelas-kelas dan kursus Bahasa Kebangsaan telah mendapat sambutan. Keadaan ini mendorongkan kita semua menaruh harapan bahawa tidak lama lagi bahasa itu akan diletakkan di tempat yang sepatutnya dalam Malaysia yang merdeka.

Kita boleh tengok sikap penuntut di sekolah Cina yang berpaling ke negara  China untuk menumpahkan taat setia mereka. Mereka menentang Bahasa Kebangsaan sebagai satu dasar dan dengan sebab itu mereka mengutuk rakan kita MCA yang telah mempersetujuinya. lnilah salah satu sebab kenapa MCA hilang sokongan orang China dalam pilihan raya lalu. Oleh itu jelaslah bahawa pelaksanaan penuh Bahasa Kebangsaan itu memerlukan masa.

Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa negara ini ialah sebuah negara Melayu, tetapi terpulanglah kepada orang Melayu sendiri memainkan peranan yang cergas untuk merebut peluang pada masa hadapan. Sambil itu mereka mestilah sentiasa ingat bahawa Perlembagaanlah yang dapat menjamin keselamatan dan kemajuan kita semua.  Jika “pelampau” Melayu mahu menunggangbalikkan Perlembagaan, maka mereka akan  membuta tuli terjerumus ke jurang kemunduran dan terperangkap dalam keadaan kacau-bilau.
sebuah buku hasil karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan bahasa yang sopan.
Please use proper language.