Janganlah kita silap untuk memahami tujuan puak “pelampau”. Mereka
tidak puas hati dengan Malaysia yang kita kenali. Malaysia yang kita telah
bina. Mereka mahu meruntuhkan seluruh binaan dan membinanya semula kemudian
kelak. Menurut apa yang saya dengar, mereka berazam hendak menghapuskan
pemerintahan beraja dan menubuhkan sebuah republik.
Menurut “pelampau-pelampau” itu, perbelanjaan bagi jawatan Yang
di-Pertuan Agong dan Raja-Raja adalah membazirkan wang. Dan dengan kerana
itu mereka mahu jawatan Sultan di semua negeri dihapuskan. Mereka mendakwa
bahawa kebanyakan negara lain telah membuang pemerintahan beraja, dan
menyatakan bahawa wang yang dibelanjakan untuk menegakkan kebesaran dan
kedaulatan Raja-Raja itu membazir semata-mata.
Saya suka mengingatkan bahawa dalam negara yang telah
menegakkan pemerintahan republik bagi menggantikan pemerintahan beraja, wang
yang telah diselamatkan itu telah diboroskan dengan cara lain. Sesunggohnya
banyak negara yang telah melakukan perubahan sistem pemerintahan dan. kemudian
mendapati diri mereka menghadapi kekurangan wang sekalipun mereka tidak payah
lagi membuat peruntukan bagi perbelanjaan diraja.
Sebenarnya negara-negara itu juga tidak boleh menyelamatkan wang
negara sekalipun mereka tidak perlu lagi mengadakan peruntukan diraja kerana
jika negara itu tidak ada Raja dan bercorak republik. ia mesti mempunyai
seorang Presiden, dan taraf serta kedudukan Presiden itu perlu dipelihara
sama seperti Raja itu juga.
Di zaman pemerintahan penjajah dulu, negara-negara itu dapat
menyimpan wang dari hasil mahsulnya sekalipun mereka kena mengadakan peruntukan
bagi Raja-Raja, dan memberi sumbangan mereka kepada khazanah Kerajaan penjajah
yang memerintah mereka. Sekarang mereka menjadi miskin sekalipun mereka tidak
ada Raja dan penjajah. Ke manakah segala kekayaan itu ghaib?
Lihat sahaja sekeliling dunia. Kenapa negara-negara yang mempunyai
raja berperlembagaan pada umumnya kaya dan makmur. Kita boleh misalkan sesebuah
negara itu sebagai rumah bagi penduduknya, sama seperti sebuah rumah itu
sebagai tempat duduk bagi seseorang. Jika orang itu berbangga dengan
tempat kediamannya, maka tentulah dia akan mencurahkan wangnya untuk menghias
rumah itu supaya dapat menikmati keselesaan dan keindahan.
Begitu jugalah rakyat sesebuah negara boleh berbangga bukan
sahaja dengan cara ia ditadbir, bahkan juga cara bagaimana dapat
mempertahankan adat-resam dan istiadat. Mereka berbangga dengan cara
pemerintahan beraja yang mereka pusaka kerana Raja menjadi simbol kebanggaan
mereka.
Di Eropah, Britain, tiga buah negeri dalam gabungan Scandinavia,
Belanda, Belgium dan Greece semuanya mempunyai pemerintahan beraja. Di
Timor Tengah dan Afrika, Saudi Arabia, Iran, Jordan. Morocco dan Habshah
ialah negara-negara beraja. Di Timor Jauh, Jepun, Thailand, Laos dan
Malaysia juga beraja. Dan di Kampuchea mereka mempunyai pemerintahan beraja
cara mereka sendiri.
Dalam kebanyakan negara tersebut, perubahan yang penting
telah dilakukan. Maharaja atau Raja tidak lagi mempunyai kuasa mutlak. Mereka
menjadi simbol adat dan kebesaran sesebuah negara. Di Malaysia, orang Melayu
sentiasa taat kepada dalam sepanjang sejarah kita, kerana kita sentiasa
mengakui Sultan sebagai ketua negeri. Orang Melayu yang tidak pernah mendapat
kesempatan mempunyai sebuah negara itu telah hidup dalam Semenanjung yang
terbahagi kepada beberapa buah negeri, setiap negeri mengamalkan
satu corak pemerintahan yang serupa iaitu kesemuanya mempunyai Raja.
Keadaan telah berubah dalam zaman moden ini. Malaysia
sekarang telah menjadi satu negara yang berupa Persekutuan Negeri-Negeri. Dalam
sesebuah Persekutuan sebagaimana di Amerika Syarikat atatau Kanada;
sesebuah negeri itu mempunyai seorang gabenor dan ada perlembagaannya sendiri
yang berlainan daripada Perlembagaan Persekutuan. Dan mana-mana Perlembagaan
jua pun berkehendakkan supaya ada seorang Ketua Negeri, yang nama dan
tandatangannya menjadi meteri kekuasaan yang mutlak bagi undang-undang dan
kerajaan.
Apa yang telah kita lakukan di Malaysia ialah mencantumkan sistem
yang lama dan yang baru. Daripada 13 negeri dalam Persekutuan, sembilan
mempunyai Raja dan empat mempunyai Gabenor sekalipun gelarannya berlainan
Mereka yang dipanggil “pelampau” itu kesemuanya terdiri daripada
orang Melayu, iaitu satu kaum yang sentiasa mempunyai adat-resam beraja.
Kehormatan yang diberikan oleh orang Melayu kepada Raja mereka telah
menjadi sebahagian daripada cara hidup mereka. Oleh yang demikian payah hendak
difahami kenapa “pelampau-pelampau” ini mahu menghapuskan adat yang telah
menjadi darah daging orang Melayu. Sebilangan pelampau ini telah menuntut di
England dan berkahwin dengan perempuan Eropah. Saya tidak dapat memahami kenapa
orang yang telah mendapat ilmu pengetahuan di England tidak membuka mata mereka
semasa berada di sana untuk memerhatikan apa yang berlaku di sekeliling
mereka.
Semasa saya tinggal di England selama 12 tahun, saya sangat
tertarik hati dengan cara orang Inggeris menumpahkan taat setia
mereka kepada Raja dan Ratu mereka. Sebenarnya orang Inggeris sentiasa
membentuk cara hidup mereka menurut zaman pemerintahan Raja-Raja mereka.
Misalnya mereka merujuk kepada mana-mana generasi dengan menyebut zaman
pemerintahan seseorang Raja.
Sebagaimana yang dunia ketahui, orang Inggeris adalah bangsa yang
terpe1ajar; tetapi mereka juga tahu apa yang baik untuk masyarakat mereka.
Dengan kerana itu pemerintahan beraja tidak pernah luput daripada sejarah
mereka. Pada zaman ini mereka tidak lagi menyifatkan Raja sebagai pelindung
mereka seperti zaman silam, atau pun mencari perlindungan untuk
keselamatan di bawah naungan Raja itu. Mereka cuma menerima Raja sebagai simbol
kemegahan mereka di masa lampau dan untuk memenuhi kehendak perlembagaan.
Tidakkah “pelampau-pelampau” yang berdarah muda ini dan yang
menggelar diri mereka “bijak pandai” dapat melihat semua itu semasa mereka
berada di sana? Apabila saya bertanya apakah yang mereka akan buat bagi
menggantikan Raja supaya orang Melayu sentiasa merasai diri mereka anak watan,
terjamin dan ada perlindungan, mereka menjawab bahawa mereka akan memikirkan
hal itu apabila sampai masanya. Saya tidak dapat memahami apakah tujuan
jawapan mereka itu.
Memanglah benar bahawa politik yang dijalankan atas asas-asas
demokrasi tidak dapat menjamin seseorang ahli politik itu terpilih lagi dalam
pilihan raya yang akan datang, atau pun parti itu juga yang akan dipilih
memegang kuasa. Ahli-ahli politik dan parti politik naik dan turun, tetapi Raja
tetap di atas takhta masing-masing.
Raja dapat menimbulkan rasa kepercayaan di sisi semua orang dan
dapat mengadakan pemerintahan yang berturun-temurun dalam sejarah sesebuah
negara. Bagi orang Melayu pula, Raja dapat menimbulkan rasa keperibadian
mereka. Sesungguhnya perasaan keperibadian orang Melayu yang bertali dengan
Raja mereka menjadi sebab kenapa parti-parti pembangkang bukan Melayu telah
bertubi-tubi melancarkan kemnpen pilihan raya menentang hak-hak orang
Melayu. Adakah “pelampau” ini mahu memainkan politik yang sama dengan
pembangkang bukan Melayu itu?
Mengenai dengan wang yang dibelanjakan kerana memelihara kedudukan
Sultan, saya sendiri berpendapat bahawa wang itu telah dibelanjakan dengan
mendatangkan faedah kepada negara kerana pada hari ini kita menjadi salah
sebuah negara yang termakmur. Di Asia. Dan Raja-Raja telah memainkan peranan
dengan cergas menurut Perlembagaan.
Sebagai Ketua Negara, Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab
memanggil, menangguh dan membubarkan Parlimen, dan melakukan upacara pembukaan
penggal baru bagi persidangan Parlimen dengan memberi titah ucapan yang
mengandungi dasar yang Kerajaan akan laksanakan. Bagindalah yang menjadi puncak
kehormatan negara dan tunggak keadilan Baginda bertindak dengan nasihat Perdana
Menteri. Persetujuan Baginda mestilah diperoleh terlebih dahulu untuk melantik
Perdana Menteri dan menubuhkan Kabinet. Ringkasnya, Yang di-Pertuan Agong
adalah sumber yang menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Rakyat Malaysia telah mempersetujui sebuah Perlembagaan dan dalam
Perkara 7 Perlembagaan tertulis bahawa “Persekutuan hendaklah
menjamin hak Rara-Raja setiap negeri menaiki takhta Kerajaan Negeri itu
dan haknya memegang, memakai dan menjalankan hak dan kelebihannya sebagai Raja
Negerinya menurut Perlembagaan Negeri itu. Pertelingkahan berkenaan dengan hak
menaiki takhta kerajaan sesuatu negeri itu hendaklah diputuskan semata-mata
oleh pihak yang tertentu dan dengan cara yang ditentukan oleh Perlembagaan
Negeri itu.”
Perlembagaan mengatasi segalanya dan mestilah dipatuhi oleh semua
orang, daripada Yang di-Pertuan Agong hinggalah kepada rakyat jelata.
Jika sebarang pindaan hendak dilakukan dalam Perlembagaan, maka pindaan itu
cuma boleh dibuat atas syarat-syarat mengenai pentadbiran harian. Bencana yang
besar akan menimpa sesebuah negeri kiranya dilakukan sebarang percubaan hendak
membuat pindaan yang besar ke atas Perlembagaan.
Oleh yang demikian Perlembagaan yang diletakkan di bawah
perlindungan Yang di-Pertuan Agong itu adalah menjadi satu jaminan yang kekal
bagi meneruskan pentadbiran yang teguh.
“Pelampau-pelampau” yang terdiri daripada orang muda ini tidak
menghiraukan tentang keteguhan yang Malaysia nikmati sejak merdeka. Mereka
seolah-olah tidak memahami apa ertinya keteguhan itu dan pentingnya untuk
kemajuan dan pembangunan yang orang Melayu mendapat faedah daripadanya.
Mereka menuntut supaya diadakan perubahan tanpa menghiraukan sebarang akibat
yang akan timbul. Tidak ada salahnya hendak mengadakan perubahan dengan syarat
perubahan itu akan menghasilkan keadaan yang lebih baik kepada kita semua,
tetapi jika perubahan itu semata-mata kerana sesuatu muslihat dan untuk
kepentingan sesuatu pihak sahaja, maka tidaklah ia mendatangkan faedah kepada
bangsa dan negara. Perubahan yang seumpama itu tentu-lah akan merosakkan corak
penghidupan kita. Jika “pelampau-pelampau” itu berkeras hendak mengadakan
perubahan yang besar itu, maka mestilah mereka sanggup bertanggungjawab di atas
bencana yang akan menimpa negara. .
Saya nasihatkan “pelampau-pelampau” ini supaya jangan menghambat
bayang-bayang. Marilah kita semua berpuas hati dengan apa yang kita telah capai
sehingga hari ini kerana seluruh dunia memandang tinggi dan memuji di atas apa
yang telah kita capai. Marilah kita bersyukurr dengan segala rahmat Tuhan.
sebuah buku hasil karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969
No comments:
Post a Comment
Sila gunakan bahasa yang sopan.
Please use proper language.