BAB 19 : Khidmat Bakti Dan Pengorbanan | 13 Mei – Sebelum & Selepas



SEMUA ahli-ahli UMNO tentuIah sedar bahawa parti itu memberi kebebasan kapada mereka dengan secara yang amat luas untuk melahirkan pandangan dan perasaan mereka di dalam parti. lni sudah menjadi satu amalan. Teguran-teguran adalah di terima dan disambut dengan baik. Terutama jika pandangan itu membina. Sekatan-sekatan yang dikenakan ke atas ahli-ahli UMNO merupakan sekatan-sekatan yang biasa bagi ahli-ahli sesebuah parti; mereka mesti patuh kepada keputusan-keputusan ramai dan mengikat diri mereka dengan disiplin parti.


Tetapi Dr. Mahathir tidak patuh kepada sekatan-sekatan itu. Setelah beliau menulis sepucuk surat kepada saya yang isi kandungannya penuh dengan fitnah dan mengutuk saya di atas kejadian-kejadian buruk yang telah berlaku dengan menuduh saya bertanggungjawab di atas kejadian-kejadian itu. Maka salinan-salinan surat itu telah disebarkan beribu-ribu naskhah supaya bukan sahaja ahli-ahli parti bangkit menentang saya, bahkan juga membuka peluang kapada orang-orang lain menentang saya.

Adakah tulisannya itu mendatangkan kebaikan kepada UMNO? TentuIah surat itu bertujuan bukan sahaja untuk menentang diri saya, bahkan juga bertujuan hendak memecah-belahkan seluruh UMNO dan juga Perikatan dengan cara memburukkan pemimpin-pemimpinnya. Beliau telah menunjukkan bahawa beliau menentang pimpinan UMNO pada keseluruhannya, dan bukan kepada pimpinan saya sahaja.

Apakah tujuan beliau selain daripada itu? Beliau telah menulis surat itu dengan hati yang penuh perasaan benci dan dendam, dan meletakkan di atas kepala saya tanggungjawab berlakunya peristiwa 13hb. Mei. Dengan memberi salinan-salinan surat kepada orang lain beliau berharap bahawa tulisannya itu akan menjahanamkan segala perkhidmatan saya seumur hidup untuk bangsa dan negara saya.

Pengorbanan yang telah saya buat adalah diketahui oleh semua orang. Tidaklah susah hendak menimbulkan sesuatu kerosakan, tetapi sangatlah susah hendak membetulkannya balik. Perbuatan itu bolehlah diibaratkan sebagai membakar sebuah rumah kayu, iaitu satu perbuatan yang senang dilakukan, tetapi hendak memadamkan api itu sangatlah susah.

Tidaklah perlu saya mengkaji seluruh perkara yang mendukacitakan itu, tetapi saya suka mengingatkan beliau bahawa saya tidak sekali-kali mudah dihalau sebagai seekor anjing kurap. Saya akan membersihkan nama baik saya dengan secara terbuka supaya dapatlah orang-orang yang cuba hendak dikelirukan oleh Dr. Mahathir itu mengetahui perkara yang sebenar.

Jika saya didapati bersalah kerana mencari kekayaan diri sendiri semasa saya memegang jawatan Perdana Menteri, atau pun kerana melakukan perbuatan yang tidak amanah, atau telah melakukan perbuatan-perbuatan jenayah, atau pun didapati bersalah kerana lalai menjalankan kewajipan-kewajipan saya, maka dapatlah saya faham sebab-sebab kenapa timbulnya kemarahan terhadap saya. Walhal sebaliknya saya sentialah menaruh kesedaran yang sepenuhnya di atas kewajipan-kewajipan dan tanggungjawab saya. Negara mempunyai Kerajaan yang baik, menikmati kedudukan ekonomi yang teguh dan makmur yang tidak dapat diatasi oleh mana-mana negara lain di dunia sebelah sini.

Tuduhan yang mengatakan bahawa kejadian yang berlaku setahun dahulu itulah yang telah menyebabkan tercetusnya kekacauan pada 13 Mei itu merupakan satu perbuatan yang tidak berasas dan jahat. Tuduhan yang lebih buruk lagi ialah yang mengatakan sayaIah yang bertanggungjawab di atas kehilangan jiwa manusia oleh sebab kekacauan itu. Dr. Mahathir sedar bahawa sepanjang hidup saya, saya sentiasa sanggup berkorban untuk keamanan, kerana sudahlah cukup saya melihat kekejaman yang telah dilakukan semasa Perang Dunia Kedua, dan juga penderitaan yang telah ditanggung oleh rakyat negara ini disebabkan oleh kekejaman itu.

Sebagai seorang yang duduk di negeri Kedah, beliau tahu bahawa sebelum British keluar dan sebelum daripada Pemerintahan Tentera Jepun mengambilalih kuasa, sayalah yang telah berusaha untuk menyelamatkan nyawa penduduk di bawah jagaan saya di Kedah Selatan. Saya telah bekerja siang dan malam dengan menghadapi berbagai-bagai rupa ancaman dalam waktu yang penuh dengan bahaya itu untuk menyelamatkan nyawa manusia.

Beliau juga tahu bahawa sebelum Jepun menyerah diri, Alor Star telah diancam oleh pasukan Komunis, dan ketika itu sayalah yang telah berusaha untuk mengumpulkan orang-orang Melayu bagi mempertahankan bandar itu, bandar tempat kediaman saya dan beliau. Saya telah menghantar Dato’ Aziz bin Mohd. Zain, Syed Agil bin Syed Hassan Barakbah yang kedua-duanya sekarang ini menjadi Hakim, dan Senu bin Abdul Rahman ke balai Polis Alor Janggus untuk melepaskan anggota polis yang telah dipenjarakan di dalam lokap oleh pasukan Komunis “Bintang Tiga “. BegituIah juga untuk melepaskan ketua kampung bernama Haji Yusof dalam lokap itu. Semasa k Mohd. Khir Johari dan beberapa orang lagi menolong menjaga Balai Besar Polis Alor Star, saya sendiri telah menembusi garisan pertahanan Komunis untuk membuat perhubungan dengan Pasukan 136. Dua orang anak saudara saya, Tunku Osman yang sekarang menjadi Jeneral dan Tunku Yusof adalah anggota pasukan itu yang ketika itu berada di hutan Padang Terap.

Dr. Mahathir juga tahu usaha yang telah saya jalankan untuk mengambil kira-kira 200 orang bagi memasuki Pasukan 136 itu, dan bagaimana orang-orang ini akhirnya telah masuk ke bandar Alor Star dengan membawa kemenangan di bawah pemerintahan Kolonel Hasler apabila Jepun menyerah diri. Mungkin beliau tidak tahu bahawa wang yang telah saya belanjakan untuk mengadakan alat pengangkutan dan perbelanjaan yang lain bagi Pasukan 136 itu tidak dibayar balik kepada saya sehingga hari ini.

 Setelah mengetahui semua hal yang saya ceritakan di atas, bagaimanakah sampai hatinya menuduh saya bertanggungjawab di atas kehilangan jiwa manusia pada 13 Mei itu. Tuhan sahajalah yang amat mengetahui penderitaan saya di atas apa yang telah berlaku pada hari yang menyedihkan itu.

Jika orang sanggup mempercayai beliau dan apa yang telah beliau tulis di atas sekeping kertas dengan tidak mengenangkan segala bakti yang telah saya lakukan seumur hidup saya, maka biarlah mereka mencari seorang pemimpin yang lain, tetapi janganlah diapa-apakan pemimpin yang baru itu sebagaimana yang telah dilakukan ke atas diri saya.

Selain daripada melemparkan tuduhan-tuduhan yang berat ini, Dr. Mahathir telah menyatakan di dalam suratnya itu bahawa saya telah sibuk bermain poker dalam waktu berkurung dan tidak menjalankan kewajipan saya dalam masa krisis itu. lni nyatalah satu percubaan hendak menjatuhkan maruah saya di sisi orang-orang Melayu. Perbuatannya menuduh saya di dalam suratnya yang kejam, bahawa saya cuai semasa menjalankan kewajipan saya semasa kekacauan itu adalah satu tuduhan yang paling dusta.

Mereka yang telah melihat saya dalam televisyen pada tengah malam yang paling buruk semasa krisis itu berlaku iaitu dari 13 hingga 15 Mei dan sekali lagi pada 16 Mei, tentuIah dapat menimbangkan bahawa segala tuduhan-tuduhan itu tidaklah benar. Dr. Mahathir sendiri juga tentuIah sedar. Jadi kenapakah beliau sanggup membuat tuduhan yang begitu liar?

Didalam suratnya yang penuh dengan fitnah itu, Dr. Mahathir juga menyebut bahawa anggota-anggota pasukan keselamatan, polis dan kakitangan Melayu dalam perkhidmatan kerajaan benci terhadap diri saya. lni menunjukkan sejauh manakah dia sanggup menjalankan satu kempen yang penuh dengan perkara-perkara yang boleh menimbulkan benci dan curiga terhadap diri saya.

Saya telah ditanya, kalau Dr. Mahathir menang dalam pilihan raya, mungkinkah dia juga mengkritik saya, seperti yang terkandung dalam suratnya yang tersebar itu? lni satu soalan yang susah hendak saya jawab kerana saya tahu dari dahulu bahawa dia adalah bersama-sama di dalam kumpulan yang sebelah lagi di dalam UMNO, iaitu puak yang menggelarkan diri mereka “pelampau” atau “bijak pandai”.

Tetapi saya yakin bahawa kiranya Dr. Mahathir menumpukan masa yang lebih kepada kerja-kerja parti dan tidak menghabiskan masanya di dalam perniagaan membuat rumah di Kedah bersama-sama dengan syarikat yang bernama Federal Construction Company, sebuah syarikat yang dipunyai oleh orang-orang Cina dan dalam perniagaan-perniagaan yang lain, maka kemungkinannya untuk menang dalam pilihan raya itu adalah lebih besar.

Menurut maklumat yang diterima, beliaulah yang telah mengambil peranan yang penting untuk menolong mendapatkan kelulusan Kerajaan supaya tidak kurang daripada 238 lot tanah Simpanan Melayu dikeluarkan dari simpanan itu bagi maksud projek perumahan yang tersebut.

Mengenai dengan suratnya itu, saya telah melaporkan kepada polis terhadap Dr. Mahathir untuk disiasat dan diambil tindakan, kerana saya merasa yakin bahawa sekiranya saya tidak berbuat begitu, maka orang-orang akan memikirkan bahawa apa yang beliau katakan terhadap diri saya itu memang benar.

Pada mulanya saya bercadang hendak mendakwa Dr. Mahathir dibawah undang-undang jenayah kerana menuntut malu, dan tidak mengambil tindakan di atasnya di bawah Undang-undang Darurat atau Undang-undang Keselamatan Dalam Negeri yang memang boleh dilakukan, bahkan inilah nasihat yang telah saya terima. Tetapi saya Iebih suka mengambil tindakan menurut undang-undang biasa negara supaya saya tidak dituduh mengambil tindakan dengan sewenang-wenangnya. Pada mulanya inilah tindakan yang akan saya ambil, tetapi selepas saya menimbangnya dengan Iebih lanjut, saya rasa dia tidak Iayak mendapat perhatian yang begitu penting. Dengan menghuraikan segala pendapat saya dalam buku ini, saya rasa tujuan saya itu akan lebih berkesan.

Saya telah mendapat penghormatan yang sebegitu tinggi di dalam dan juga luar negara, dan ini merupakan satu hadiah yang negara ini telah berikan kepada saya dan saya amatlah menghargai penghormatan ini. Dengan haI-hal yang demikian saya tidak sekali-kali akan menamatkan perkhidmatan saya kepada negara semata-mata dengan sebab adanya fitnah mengenai kelakuan saya. Saya mesti terlebih dahulu membersihkan nama baik saya untuk mengembalikan ketenangan hati saya.

sebuah buku hasil karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan bahasa yang sopan.
Please use proper language.