KEJADIAN yang berlaku di Malaysia pada Mei 13 dan kemudiannya telah
menarik wartawan-wartawan asing ke negara ini seperti besi berani. Mereka
berduyun-duyun datang ke mana jua tempat yang berlaku kekacauan besar. Bagi
mereka sesuatu peristiwa itu tidak menjadi berita melainkan jika mereka dapat
menceritakan kejadian-kejadian ngeri, keganasan atau pertumpahan darah.
Pergaduhan besar di Malaysia yang aman! Inilah peluang baik! Mereka pun
menggunakan kesempatan ini dengan sepenuhnya, bahkan sesetengah mereka
seolah-olah ‘geli hati’ dengan kejadian malang yang menimpa kita itu.
Jarang terdapat mana-mana negara yang terpaksa menanggung beban
daripada perbuatan salah gambaran, memutarkan kenyataan sebenar, atau
membenarkan cerita perbualan dan khabar angin sebagaimana yang telah dilakukan
pada umumnya oleh wartawan-wartawan asing semasa mereka melaporkan peristiwa
sedih itu.
Selama menjadi Perdana Menteri, saya sentiasa memberi kemudahan
kepada wartawan-wartawan asing berjumpa saya, sama ada mereka wakil akhbar,
radio, televisyen atau filem. Pada umumnya bolehlah saya katakan bahawa mereka
telah memelihara darjah kewartawanan yang tinggi pada masa yang lalu, dan
jarang-jarang saya mempunyai alasan untuk berasa kecewa dengan mereka.
Dahulu saya pernah menyangka bahawa Prince Sihanouk yang menjadi
Ketua Negara Kampuchea telah bersikap terlalu keras ke atas wartawan-wartawan
asing apabila beliau beberapa kali enggan membenarkan wakil akhbar luar negara
melawat ke negaranya. Sekarang barulah saya faham sebabnya. Kerosakan yang
telah mereka lakukan dengan membuat llaporan yang tidak bertanggungjawab dan
cuai itu tidaklah dapat diperbaiki lagi. Sesetengah daripada mereka boleh
dikatakan hampir seburuk musuh-musuh kita yang ada dalam negara. Saya tidak
pernah terfikir bahawa harinya akan tiba dalam hayat saya ini waktu di
mana “kuasa yang keempat” atau “fourth estate” (gelaran yang diberikan kepada
kaum wartawan) sanggup bertindak seolah-olah seperti “sayap kelima”.
Wartawan-wartawan asing itu tentulah memandang kejadian yang
berlaku dari kaca mata orang luar, kerana mereka tidak tinggal di sini
selamanya. Mereka bukannya rakyat Malaysia dan bukan pula rakyat Singapura.
Mereka datang dan pergi bila-bila masa mereka suka. Oleh itu mereka tidak dapat
memahami kejadian-kejadian itu seperti yang kita faham. Perhatian mereka
semata-mata untuk mendapatkan berita atau menulis rencana yang boleh
menggemparkan.
Pelbagai rupa kekacauan telah berlaku dalam dunia;
kejadian-kejadian itu berlaku sama ada di jalan-jalan raya atau pun dalam
kampus universiti. Jadi apakah peliknya jika kejadian seperti itu berlaku juga
di Malaysia? Lagi buruk kejadian yang dilaporkan, maka lebih seronoklah
membacanya.
Wartawan-wartawan asing itu telah diberi segala kemudahan semasa
berlaku kekacauan itu sebagaimana yang mereka sentiasa peroleh di negara ini,
dan dengan adanya alat penghantar kawat yang terbaik di Kuala Lumpur ini, maka
cerita-cerita mereka telah tersebar dengan cepat ke seluruh dunia.
Cerita-cerita yang mereka tulis atau kirim menerusi telefon tidak ditapis,
begitu juga gambar-gambar yang mereka hantar menerusi radio. Dengan ikhlas kita
telah memberikan mereka pas untuk membolehkan mereka berjalan dengan bebas
dalam masa berkurung, tetapi selepas beberapa hari kemudiannya pas-pas itu
telah ditarik balik kerana mereka menyalahgunakan kebebasan yang diberikan.
Setelah saya ketahui perbuatan mereka menghantar berita-berita
yang tidak bertanggungjawab, maka saya telah menolak permintaan mereka hendak
menemu duga saya. Mereka sudah pun dapat apa yang mereka mahu dari punca-punca
yang berat sebelah dengan tidak pula cuba mengesahkan cerita yang telah
diberitahu kepada mereka. Kerosakan telah pun dilakukan, dan apa jua yang saya
katakan ketika itu tidak dapat memperbaiki kerosakan. Apabila saya ditanya oleh
salah seorang daripada mereka apa jaminan yang saya dapat berikan kepada
negara-negara Komenwel bahawa demokrasi akan dipulihkan dengan segera, saya
jawab kepadanya “go to hell
“ (pergi jahanam) .
Tentulah bukan semua berita yang dilaporkan itu tidak
bertanggungjawab. Ada wartawan asing yang cuba membuat laporan yang adil dan
teliti. Saya hanya membantah atas laporan pada keseluruhannya yang dibuat oleh
kebanyakan wartawan asing itu yang memberikan gambaran yang begitu menggerunkan,
jauh lebih buruk daripada apa yang sebenarnya berlaku.
Mereka sedikit pun tidak membayangkan pertalian di antara apa yang
berlaku sebelum rusuhan itu dengan kejadian yang tercetus pada 13 Mei, iaitu
seperti perarakan mayat atau tunjuk perasaan “kemenangan”. Sesuatu rusuhan
tidak tercetus dengan begitu sahaja, ia mestilah ada sesuatu sebab.
Kedua-duanya mestilah dikaitkan. Kebanyakan pemberita akhbar asing telah
menunjukkan sikap berat sebelah. Mereka condong ke sebelah pihak yang menentang
kerajaan atau memihak kepada satu kaum.
Akhbar-akhbar di negara mereka juga tidak menunjukkan sikap adil
dalam menyiarkan berita-berita itu. Misalnya, akhbar The Age di Melbourne,
Australia telah menyiarkan satu berita di bawah tajuk Nation headed for disaster
(Negara menuju kehancuran) pada pagi selepas tercetusnya rusuhan, iaitu pada 14
Mei.
Saya suka bertanya dengan ikhlas, adakah tajuk yang seumpama itu
adil dan patut? Tajuk yang seperti itu mungkin juga munasabah sekiranya rusuhan
itu telah berpanjangan selama beberapa minggu dengan tidak dapat dikawal, dan
sekiranya kerajaan telah membuktikan kegagalannya atau tidak cekap dalam
menangani masalah yang timbul. Tetapi tentulah tidak adil tajuk itu dibuat pada
pagi esoknya selepas kekacauan berlaku semalam! Perbuatan yang mengelirukan dan
sikap tidak adil yang seperti inilah yang sangat saya kesalkan.
Untuk memburukkan lagi keadaan, pemberita yang menggunakan tajuk
ini telah menulis dalam ceritanya di antara lain “Tiada sebarang berita dari
kawasan-kawasan yang terletak di Utara, dan ini membayangkan bahawa keadaan di
lain-lain tempat dalam negara ini juga berada dalam keadaan yang buruk.”
Bagaimanakah boleh seseorang pemberita membuat kenyataan seperti
itu? Macam mana dia begitu berani membuat anggapan yang seumpama itu? Dia tidak
memberitahu kepada pembaca-pembacanya di seberang laut bahawa jarak antara
Kuala Lumpur dan Pulai Pinang ialah 250 batu. Dia tidak sedikit pun menyebut
tentang adanya 250 batu lagi menghala ke Selatan dari Kuala Lumpur ke Johor
Bahru, tetapi hal ini tentu tidak penting untuknya. Dia juga tidak menyebut
negeri-negeri di Pantai Timur. Di negeri sebelah Selatan dan Pantai Timur itu
tidak berlaku sebarang kekacauan.
Cerita-cerita yang tidak berasas seperti ini dan juga kenyataan
dan anggapan mereka yang liar itu telah menjadi amalan wartawan-wartawan asing
dalam melaporkan rusuhan-rusuhan di Kuala Lumpur. Berita seperti itu telah
memburukkan lagi keadaan yang telah pun sedia tegang di negeri ini.
Oleh kerana perasaan saya sangat kesal dan marah dengan perbuatan
wartawan asing itu, maka tidak berapa lama dahulu saya telah mengeluarkan
perkataan “Mereka bersorak atau bertepuk tangan, tetapi kami mesti menjalankan
tugas kami.” Apa yang saya maksudkan ialah bahawa adalah menjadi tanggungan
kami untuk menjalankan pentadbiran Kerajaan, dan mengambil tindakan yang segera
bagi menghadapi krisis itu. Bukanlah hak bagi seseorang wartawan asing
memberitahu kita apa yang kita mesti buat, atau pun membuat perbandingan dengan
apa yang berlaku di tempat lain. Kecelakaan boleh berlaku di mana-mana jua pun
dan sebagai buktinya ialah peristiwa yang berlaku di Ulster, Ireland.
Seorang pemberita telah memberitahu saya tentang satu perbuatan
zalim ke atas orang-orang Cina yang sedang berlindung di Victoria Institution
dengan meletakkan Askar Melayu di sekolah itu juga, dan orang pelarian ini
telah meminta supaya dipindahkan mereka ke tempat perlindungan yang lain.
Saya dengan serta-merta telah pergi ke Stadium Merdeka yang
terletak berhampiran dengan Victoria Institution dengan tujuan hendak melihat
sendiri kedudukan yang sebenar di tempat itu. Semasa berada di stadium itu,
saya telah diberitahu bahawa semua orang yang berada di situ duduk dengan
gembira, dan saya pun bertanya kepada mereka itu sama ada benar bahawa mereka yang
diberi perlindungan di Victoria Institution mahu berpindah ke tempat lain.
“Tidak”, jawab mereka itu. Mereka berkata “Kami merasa lebih selamat dengan
adanya askar-askar itu, dan lebih-lebih lagi kerana kami juga mendapat bekalan
makanan percuma daripada mereka.”
Di dalam suasana tegang semasa rusuhan, saya suka menyatakan
dengan tegas bahawa kami telah menghukum orang-orang yang melanggar
undang-undang dengan tidak memilih kasih, tanpa menghiraukan sama ada mereka
itu orang Melayu, orang Cina atau pun orang India. Jika kita tidak mengambil
langkah seperti itu, maka tentulah kita tidak dapat mengembalikan keamanan di
dalam masa yang begitu singkat di Kuala Lumpur.
Saya kadang kala bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Thoreau
“Bertuahlah mereka yang tidak membaca surat khabar, kerana mereka dapat melihat
keadaan alam, dan dengan itu dapatlah mereka mengenal Tuhan”. Pada hari ini
sesetengah akhbar sangatlah buruk sifatnya, kerana mereka tidak menghiraukan
sama ada sesuatu perkara yang mereka siarkan benar atau salah. Mereka Cuma
mementingkan tajuk-tajuk berita yang besar, dan lebih hebat tajuk berita itu
maka lebih baiklah untuk mereka. Mereka tidak sekali-kali menghiraukan kesan
yang timbul daripada berita-berita mereka. Mereka berpura-pura menggambarkan
perasaan orang ramai, dan melupakan dosa yang mereka sendiri lakukan. Mereka
berselindung di bawah nama kewartawanan untuk berlagak penting dan mendakwa apa
yang mereka tuliskan itu merupakan perasaan atau pandangan orang ramai.
Mereka tentulah sedar bahawa mesti ada sebab yang menimbulkan
kemarahan orang Melayu. Mereka tidak cuba mengkaji dari segi ini bahkan
sebaliknya meletakkan kesalahan semata-mata ke atas bahu orang Melayu.
Untuk memburukkan lagi keadaan, mereka menuduh pasukan keselamatan
membunuh rakyat yang tidak berdosa dengan kejam. Kita sangat berbangga dengan
keharuman nama pasukan-pasukan keselamatan kita itu. Pemberita-pemberita asing
ini nampaknya telah melupakan perkhidmatan yang diberikan oleh kesemua batalion
tentera kita semasa berkhidmat di Congo di bawah bendera Bangsa-bangsa Bersatu.
Semasa saya bertugas di sana, askar-askar kita itu telah mendapat pujian yang
tinggi di atas kecekapan dan kepintaran mereka menghadapi keadaan yang buruk.
Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu, U Thant telah menghantar
wakil istimewanya untuk bertemu dengan saya dan menyampaikan ucapan terima
kasih kepada Malaysia di atas perkhidmatan baik yang telah diberikan oleh
tentera kita dan juga di atas sokongan negara kita sehingga mencapai satu
penyelesaian yang aman di Congo.
Sejak mencapai kemerdekaan, kita telah terpaksa menghadapi
berbagai-bagai keadaan darurat yang telah berlaku disebabkan oleh gerakan
bersenjata Komunis, Konfrantasi Indonesia dan tunjuk-tunjuk perasaan. Dalam
masa itu pasukan-pasukan keselamatan kita telah menunjukkan taat setia dan
kecekapan mereka untuk menunaikan kewajipan mereka dengan cemerlang, setaraf
dengan angkatan bersenjata di negara-negara lain.
Adakah pemberita-pemberita asing memikirkan bahawa tentera yang
telah berjaya mencapai nama yang harum itu sanggup membunuh dengan kejamnya
rakyat yang tidak berdosa? Sepatutnya mereka bersimpati dengan pasukan-pasukan
keselamatan yang terpaksa menghadapi dengan berbagai-bagai kesulitan; tetapi
mereka lebih gemar mencemarkan nama askar-askar itu dalam surat khabar.
Perbuatan ini menunjukkan bagaimana sikap mereka yang berat sebelah. Oleh itu
patutkah saya dan rakyat Malaysia yang lain ditempelak jika kami merasa marah
dengan isi laporan-laporan yang disiarkan dalam surat khabar asing mengenai
rusuhan itu?
Dalam satu ucapan yang telah saya berikan pada satu malam menerusi
televisyen, saya telah menarik perhatian kepada satu kelemahan yang terdapat di
kalangan pemberita-pemberita ini. Mereka tidak dapat hendak membezakan antara
Cina Komunis, Cina samseng dan orang-orang Cina yang patuh kepada
undang-undang; mereka sifatkan orang-orang Cina itu semuanya sama. Inilah satu
anggapan silap yang dibuat oleh orang-orang asing mengenai dengan orang-orang
Cina. Kita boleh maafkan orang biasa di negara-negara luar jika mereka tidak
memahami kita, tetapi tidak ada sebarang sebab bagi seseorang wartawan tidak
mengetahui mengenai apa yang hendak mereka tulis. Mereka sepatutnya mengetahui
kedudukan kaum, adat resam dan adat istiadat di negara-negara yang mereka
laporkan. Begitu juga perlembagaan dan unndang-undang negara berkenaan. Jika
mereka tidak mengetahui hal-hal ini, maka sepatutnya mereka bertanya dan ambil
tahu.
Mereka tentu tahu bagaimana orang-orang Melayu telah hidup dengan
tenang dan damai sekali pun ada provokasi yang dihalakan oleh orang lain ke
atas mereka, terutama oleh Parti Komunis Malaysia dan konco-konco mereka atau
pun oleh pekampau-pelampau Cina dan India. Mereka tahu sikap persahabatan yang
telah ditunjukkan oleh Malaysia sebagai anggota Komanwel dan sumbangan yang
sentiasa kita berikan kepada cita-cita utama Komenwel. Sekalipun mereka
sepatutnya tahu hakikat-hakikat ini, mereka sengaja melupakan anasir-anasir
jahat yang mengancam kita dan tidak mengindahkan kejayaan-kejayaan kita memelihara
keamanan dan mencapai kemajuan.
Berbanding dengan akhbar asing, akhbar tempatan telah melaporkan
dengan baik suasana dalam negara pada keseluruhannya. Sikap wartawan-wartawan
tempatan itu memanglah kena pada tempatnya kerana mereka ialah rakyat negara ini,
atau pun kalau mereka bukan rakyat, mereka faham cara hidup bangsa kita, dan
dengan kerana itu mereka dapat membezakan antara khabar angin, cakap bualan dan
kenyataan-kenyataan yang sebenar.
Wartawan-wartawan tempatan terpaksa menghadapi kesulitan sebab
mereka itu sama seperti semua rakyat lain, terikat kepada undang-undang, walhal
rakan-rakan mereka wartawan-wartawan asing tidak terikat atau tidak
menghiraukan undang-undang. Wartawan-wartawan tempatan juga kebanyakannya telah
mempunyai pengalaman bagaimana hendak menulis atau membuat laporan dalam masa
darurat.
Mereka sentiasa insaf bahawa kepentingan negara sedang terancam,
tetapi mereka boleh memberi pandangan yang ikhlas dan membina, selagi ia tidak
terkeluar daripada batasan. Malangnya pada permulaan rusuhan itu berlaku,
penerbitan akhbar-akhbar tempatan terpaksa ditahan selama dua hari untuk
kepentingan awam. Akhbar-akhbar kita segera menarik perhatian Kerajaan di atas
kesilapannya itu, dan Kerajaan pun mengubah keputusannya dan membatalkan sekatan.
Malangnya rusuhan-rusuhan itu tercetus semasa pentadbiran negara
sedang dalam peralihan kerana pilihan raya baru sahaja tamat dan sebuah
Kerajaan baru belum lagi ditubuhkan. Kejadian secara kebetulan ini telah
memberi kesan kepada Kerajaan, akhbar tempatan dan pemberita-pemberita asing.
Dengan tidak semena-mena, kita dapati bahawa kita terpaksa
menghadapi krisis dan perintah berkurung terpaksa dikenakan di Kuala Lumpur.
Pejabat Perkhidmatan Penerangan boleh dikatakan telah lumpuh, lebih-lebih lagi
kerana belum ada menteri baru dilantik. Sungguhpun begitu Bernama, agensi
berita kebangsaan telah menjalankan tugas mereka setiap masa semasa kekacauan
berlaku, sekalipun pejabat besarnya terletak ditengah-tengah pinggir kawasan
tempat kekacauan itu mula berlaku. Stesen-stesen radio dan televisyen telah
bertugas terus menerus 24 jam dalam masa darurat itu untuk menyampaikan berita
dan perutusan kepada orang ramai.
Akhbar-akhbar tempatan, yang seperti biasa cekap dalam
pekerjaannya, telah menerbitkan surat khabar pada dua haripertama tetapi tidak
dapat diedarkan dengan luas. Sungguhpun begitu tempoh perolehan dalam susunan
Kerajaan itu telah memberi keuntungan kepada pemberita-pemberita asing dan
mereka menggunakan kesempatan itu dengan tidak teragak-agak .
Laporan-laporan mengenai dengan rusuhan yang disebarkan di
Singapura adalah berlainan, terutama sekali laporan-laporan yang disiarkan
melalui radio dan televisyen, dan juga di dalam penerbitan PAP “The Mirror”. Cara laporan-laporan
ini ditulis membayangkan bahawa mereka juga mahu orang lain percaya kepada
semua laporan-laporan buruk yang dilemparkan ke atas kita di Malaysia.
Perbuatan ini sungguh dikesali kerana Singapura sendiri berhadapan dengan
masalah-masalah yang sama.
Saya harapkan mereka lebih bersimpati terhadap kecelakaan besar
yang telah menimpa kita. Sebaliknya mereka telah menghangatkan lagi
cerita-cerita itu sehingga mengakibatkan berlakunya beberapa kejadian di negeri
itu yang telah mengorbankan beberapa nyawa orang-orang Melayu. Kejadian ini
tidaklah sekali-kali patut berlaku. Bagi pihak kita, kita tidak
membesar-besarkan apa yang berlaku di Singapura itu kerana kita bimbang
berlakunya tindak balas di negara ini. Mari kita mengharapkan bahawa untuk
kepentingan kita bersama, maka Singapura tidak akan mengulangi perbuatan
yang sangat dikesalkan itu.
Kita berasa sungguh meradang apabila membaca berpuluh-puluh
cabutan akhbar dan majalah asing kerana kita percaya tulisan-tulisan itu dapat
mencacatkan nama baik kita. Kita meradang dengan perbuatan-perbuatan akhbar dan
majalah-majalah asing itu menyiarkan laporan yang liar, melampaui batas dan
berat sebelah, dan juga dengan lidah pengarangnya yang penuh dengan
kritikan-kritikan yang ditulis beribu-ribu batu jauhnya dari negara ini
berasaskan kepada kecetekan pengetahuan dan kejahilan mereka tentang cara hidup
dan hal ehwal orang-orang Malaysia.
Pertama sekali biarlah saya turunkan di sini satu tulisan yang
telah tersiar di dalam majalah Time
edisi 23 Mei 1969:
“Seorang lelaki telah cuba menyelamatkan dirinya daripada kereta
yang sedang terbakar, tetapi telah ditolak masuk balik ke dalam keretanya itu
oleh perusuh-perusuh dan mati.
Setelah peperangan kaum dan kekacauan awam itu berjalan selama
empat hari, maka rumah mayat di Hospital Besar Kuala Lumpur telah penuh
dengan mayat sehingga terpaksalah mayat-mayat itu dimasukkan ke dalam plastik
dan digantung pada penyangkut-penyangkut siling.
Pegawai-pegawai Kerajaan yang cuba hendak mengecilkan
kejadian itu, telah mengatakan bahawa bilangan orang-orang yang mati ialah cuma
104 sahaja. Punca-punca diplomat Barat menganggarkan hampir 600 orang mati dan
kebanyakan mangsa ialah orang Cina”.
Sekarang mari kita lihat fakta yang benar. Rumah mayat di Hospital
Besar Umum biasanya boleh memuatkan enam mayat sahaja. Tiada penyangkut
yang dipasang di siling rumah mayat, dan tidak pernah ada bag plastik
disediakan untuk mayat. Rumah mayat itu mempunyai kelengkapan moden, dan bukan
seperti bilik sejuk yang terdapat di kedai-kedai menjual daging! Pihak
yang berkuasa perubatan di negara kita ini menjaga mayat dengan penuh hormat
sebagaimana. Mayat-mayat dibalut dengan kain putih oleh penjaga-penjaga mayat
yang mendapat latihan.
Oleh kerana banyak mayat yang telah dihantar ke Hospital Besar,
maka pihak berkuasa telah membuat persediaan khas untuk mayat-mayat yang
tidak dapat diletakkan di dalam rumah mayat. Mayat-mayat itu telah dimasukkan
ke dalam ambulans dan dihantar ke rumah-rumah mayat lain di Hospital Lady
Templer, Hospital Assunta, Hospital Batuk Kering dan Hospital Universiti untuk
diselenggarakan mengikut cara yang biasa dibuat.
Mengenai dakwaan kononnya pegawai-pegawai Kerajaan cuba hendak
mengecilkan kejadian itu, apakah faedahnya perbuatan-perbuatan yang seperti
itu? Dari manakah lboleh didapati angka-angka yang betul jika tidak dari sumber
kerajaan? Dengan tujuan bukan hendak menghina “diplomat negara-negara Barat”
yang mendakwa bilangan orang yang terbunuh hampir 600 ratus orang, saya suka
mengatakan bahawa angka yang keterlaluan itu merupakan anggaran mereka sendiri
sahaja.
Saya telah mendapat angka rasmi daipada ibu pejabat polis pada
pada 15 Ogos, iaitu tiga bulan dua hari selepas rusuhan. Angka kematian
ialah 184 orang, 356 orang cedera, 753 kejadian membakar bangunan dan 211 buah
kenderaan yang terbakar atau musnah.
Laporan yang mengelirukan dalam media asing dalam minggu yang
pertama selepas rusuhan sangatlah buruk, tetapi apa yang tidak dapat dimaafkan
sama sekali ialah pandangan dan rencana yang dikarang berminggu-minggu
kemudian, iaitu apabila Kuala Lumpur telah hampir pulih seperti sediakala, dan
perintah berkurung dikurangkan menjadi empat jam dari 1.00 pagi hingga 4.00
pagi.
Sebagai contohnya, saya suka merujuk kepada satu karangan dua muka
penuh yang diterbitkan oleh majalah “Life”
bertarikh 21 Julai, lebih sembilan minggu selepas 13 Mei. Rencana itu bertajuk
“A Quiet Coup in KL” (Rampasan kuasa secara senyap di KL).
Saya peturunkan cabutan daripada rencana yang menakjubkan itu:
“Menurut satu cerita yang disahkan oleh beberapa sumber punca,
lima buah lori askar telah tiba di Pusat Orang-orang Sakit Kusta di Sungai
Buluh, yang terletak di luar Kuala Lumpur, dengan membawa askar-askar yang
mabuk dan mayat-mayat yang dicat hitam supaya susah hendak dikenali kaum
orang0orang yang mati itu.
Askar-askar itu telah memanggil pesakit-pesakit kusta,
memberikan mereka brandy dan kemudiannya memerintahkan supaya mereka menggali
sebuah lubang yang besar. Pusat kusta itu telah dipilih kerana
askar-askar itu sendiri malas hendak menanam mayat-mayat yang tersebut, dan mereka
fikir tiada siapa yang akan pergi bercakap dengan pesakit-pesakit kusta.
Bukti-bukti menunjukkan bahawa ada lagi kubur beramai-ramai selain daripada
ini.”
Sekarang mari kita lihat fakta sebenar. Sejumlah 102 mayat telah
ditanam ditanah perkuburan Pusat Kusta Sungai Buluh yang telah diangkut dengan
kereta-kereta Polis selama lima hari mulai dari 18 Mei.
Sebenarnya pertolongan secara sukarela yang telah diberikan oleh
pesakit-pesakit kusta yang telah sembuh itu untuk menanam mayat-mayat yang
tersebut adalah dengan persetujuan pihak yang berkuasa Pusat Penyakit Kusta itu
sendiri. Tidak ada ‘brandy’ ditempat itu kerana pesakit-pesakit kusta ditegah
meminum arak. Kerja menanam mayat itu telah dijalankan oleh pihak yang berkuasa
Rumah Sakit dengan pertolongan polis dan bukannya tentera. Tidak ada satu mayat
pun yang dicat hitam, tetapi ada juga mayat-mayat yang telah hangus dan tidak
dapat dikenali.
Setiap mayat itu telah dibalut dengan kain putih, dan telah
ditanam dalam kubur yang berasingan; satu mayat dalam satu liang. Polis telah
mengambil gambar setiap mayat, dan memberikan bilangan, dan bilangan
inilah juga yang telah ditulis di atas kubur masing-masing. Ini telah dilakukan
supaya mayat-mayat yang masih boleh dikenali dapat dituntut oleh keluarga mereka.
Selain yang ditanam di Sungai Buluh itu, 11 lagi mayat orang Islam
telah dibawa ke tanah perkuburan Gombak, Kuala Lumpur untuk dikebumikan.
Akhirnya saya suka menyatakan bahawa tidak ada liang kubur beramai-ramai di
Kuala Lumpur untuk nenanam mayat mangsa rusuhan itu.
Salah satu sebab saya menulis buku ini ialah untuk membetulkan
segala kesilapan dengan memberi kenyataan yang sebenar.
Hal inilah yang kebanyakan wartawan asing tidak mengambil
perhitungan. Mereka tidak membuat penyiasatan yang bersungguh-sungguh untuk
mengetahui punca kekacauan itu berlaku dengan tiba-tiba. Mereka mesti
menghantar laporan pada waktu yang ditentukan, dan mereka berlumba-lumba sesama
sendiri untuk menyiarkan berita lebih dahulu daripada rakan-rakan mereka.
lnilah yang mereka pentingkan.
Sekiranya pemberita-pemberita asing itu pada keseluruhannya
terdiri dari orang-orang yang mempunyai pengalaman atau pengetahuan yang luas
tentang Malaysia, maka saya percaya tidak ada sebarantg sebab jua pun untuk
saya membuat tuduhan-tuduhan ke atas mereka. Malangnya wartawan-wartawan asing
itu terlampau singkat masa perkhidmatannya di sini kerana mereka datang dan
pergi. Jadi tentulah mereka mudah membuat kesilapan yang besar dalam
pertimbangan dan penilaian mereka.
Tatkala saya memikirkan sikap dan perbuatan wartawan-wartawan
asing sebagaimana yang tertulis dalam bab yang menyedihkan ini, cerita-cerita
yang mustahil yang kita baca dari tulisan-tulisan mereka, maka terlintas dihati
saya untuk mengikuti jejak Iangkah yang telah diambil oleh Putra Sihanouk dan
pemimpin-pemimpin Asia yang lain yang nama baik negara-negara mereka telah
dicermarkan oleh laporan-laporan yang tidak bertanggungjawab media Barat.
Sungguhpun begitu saya tidak akan mengambil langkah seperti itu sekalipun
keinginan untuk berbuat demikian sangatlah kuat.
sebuah buku hasil karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969
No comments:
Post a Comment
Sila gunakan bahasa yang sopan.
Please use proper language.