Showing posts with label Komunis. Show all posts
Showing posts with label Komunis. Show all posts

BAB 8 : Pengundi-Pengundi Membuang Undi | 13 Mei – Sebelum & Selepas



CUACA di Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia pada hari mengundi yang jatuhnya pada hari Sabtu, 10 Mei, kelihatan begitu cerah. Ini telah diberitahu kepada saya semasa saya berada di Alor Star kerana terdahulu sehari daripada hari itu saya telah melawat kawasan pilihan raya saya Pulau Langkawi. Mungkin juga boleh difahamkan bahawa pada hari itu saya bukanlah seorang Perdana Menteri lagi tetapi sebagai seorang calon yang menyerahkan nasibnya kepada pengundi-pengundi untuk mendapatkan persetujuan mereka menurut asas-asas demokrasi.

Akhirnya tamatlah kempen yang hangat yang belum pernah berlaku seumpamanya dalam sejarah negara kita yang telah timbul semata-mata dengan sebab adanya perasaan dendam politik. Hari itu adalah hari untuk menentukan nasib. Suruhanjaya pilihan raya telah mengambil tanggungjawab penuh untuk mengawal pilihan raya itu, dan sebelum pengundi-pengundi memberi mandat mereka, dan sebelum laporan-laporan diterima mengenai pengundian itu, tidak ada siapa pun yang dapat meramalkan hasil pilihan raya.

Sungguhpun terdapat kempen-kempen yang liar yang belum pernah saya alami pada  masa lalu, saya berasa begitu yakin bahawa Parti Perikatan akan menang sekali lagi dengan kelebihan dua pertiga sebagaimana dalam pilihan raya sebelumnya.           

Saya rasa adil sekiranya saya katakana bahawa keputusan yang seperti inilah yang diharap-harapkan oleh seluruh negara, kecuali ahli-ahli parti pembangkang yang telah bersungguh-sungguh hendak menumbangkan Parti Perikatan. Mereka berdoa dan berharap tetapi mereka sendiri tidak menaruh kepercayaan terhadap  kejayaan mereka.

Pilihan raya di Malaysia lebih susah daripada yang dijalankan di kebanyakan negara lain kerana pengundi-pengundi dikehendaki membuang undi mereka pada satu masa yang sama untuk memilih calon-calon bagi Parlimen dan bagi Dewan Undangan Negeri. Dengan adanya sebelas buah Dewan Undangan Negeri dan sebuah Parlimen maka bererti 12 pilihan raya  dijalankan pada satu hari yang sama.

Saya telah menjelaskan bahawa UMNO dan MCA telah menjadi sasaran hebat parti-parti pembangkang menyerang Kerajaan Perikatan dalam kempen. Tetapi apakah pula sikap yang diambil oleh parti-parti pembangkang terhadap Persatuan India Malaysia (MIC), parti yang ketiga dalam Perikatan?.

Pas telah membuat serangannya dengan cara yang jahat terhadap UMNO; parti-parti pembangkang yang lain pula, sama ada dengan perhitungan yang tertentu atau pun cuma untuk kepentingan pilihan raya, telah menumpukan serangan mereka terhadap calon-calon MCA. Manakala penyokong-penyokong Parti Komunis telah menghasut anasir-anasir pembangkang sama ada dengan cara terang atau sulit.

Parti-parti pembangkang pada umumnya tidak menunjukkan sebarang rancangan yang bersatu menentang MIC. Mereka rasa lebih berkesan kiranya mereka menggongcang dua tiang Parti Perikatan, UMNO dan MCA kerana mereka percaya MIC akan tumbang dengan sendirinya setelah mereka dapat menjatuhkan UMNO dan MCA. Berbanding dengan UMNO dan MCA, MIC Cuma mengemukakan tiga orang calon Parlimen sahaja. Oleh itu pihak pembangkang boleh menyifatkan MIC sebagai anggota Perikatan yang tidak penting.

Mereka menganggap MIC sebagai lawan yang kecil. Sungguhpun begitu, untuk menjamin kemenangan maka mereka telah memecahkan kempen-kempen mereka menentang calon-calon MIC menerusi dua parti; DAP menyerang dalam dua kawasan dan PPP menumpukan ke atas pemimpin MIC, Tun Sambanthan yang bertanding satu lawan satu.

MIC ialah satu-satunya parti untuk orang-orang India di Malaysia, sekalipun bilangan orang-orang yang berketurunan India lebih dari sejuta. Tiga buah parti pembangkang telah mengemukakan calon-calon India, iaitu Gerakan, DAP dan PPP. Calon-calon Gerakan ialah bekas ahli-ahli Parti Buruh. DAP dahulunya telah diwakili dalam Parlimen oleh seorang ahlinya sahaja, dia ialah C. Devan Nair, tetapi pada kali ini dia tidak mahu bertanding, sekalipun beliau dahulunya adalah salah seorang dari ahli-ahli Dewan Rakyat puak pembangkang yang terkenal. Mengapa dia tidak bertanding tentulah menjadi satu tanda tanya. Mungkin DAP sahaja yang tahu jawapannya. Selain dari tiga orang calon India untuk Parlimen, DAP telah mengemukakan seorang calon Melayu yang tunggal, tetapi dia kalah. Inilah rupanya yang dikatakan konsep Malaysian Malaysia!

Dalam keseluruhannya kaum India di Malaysia ini mempunyai sifat keperibadian yang berlainan dari kaum-kaum Melayu dan Cina. Orang-orang Melayu pada keseluruhannya menjadi kaum tani, sementara orang-orang Cina pula umumnya berpecah dalam lapangan perniagaan, pertanian dan perlombongan. Orang-orang India terdapat dalam semua bahagian masyarakat Malaysia, kira-kira separuh di luar bandar dan separuh dalam bandar.

Orang-orang India juga kebanyakannya menguasai kesatuan sekerja dan bergerak menerusi kesatuan-kesatuan sekerja inilah mereka menekankan pengaruh. Sesungguhnya bolehlah dikatakan bahawa orang-orang India Malaysia lebih banyak menceburkan diri dalam kesatuan daripada parti politik, dan bagi mereka yang cenderung dengan parti politik tidak pula ketinggalan daripada mengadakan hubungan yang rapat dengan kesatuan sekerja.

Sebagai contoh, orang-orang India terdapat di mana-mana jua sebagai pekerja perusahaan dan buruh kasar, terutama dalam Keretapi Malaysia, Jabatan Kerja Raya, Lembaga Pelabuhan dan Perusahaan Getah. Kesatuan Kebangsaan bagi Pekerja-pekerja Ladang (NUPW) yang sebilangan besar anggotanya terdiri adalah rang India, ialah sebuah kesatuan yang paling besar di negeri ini dan salah sebuah dari yang terbesar di Asia. Ia tidak terikat kepada mana-mana parti politik, dan pucuk pimpinannya sangat berpengaruh dalam Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia. Kongres ini juga menjauhkan dirinya daripada pengaruh parti-parti politik, tetapi pemimpin-pemimpin kongres membiarkan ahli-ahlinya memilih sendiri corak-corak politik yang mereka sukai. Orang-orang India juga sangat kuat dalam Kongres Kesatuan-kesatuan Sekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS)

Oleh yang demikian tidaklah memeranjatkan jika dikatakan bahawa orang-orang India pada keseluruhannya tidak begitu cenderung dalam lapangan politik jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain, tetapi mereka lebih mengambil berat dalam soal kenaikan gaji. Dari masa ke masa pemimpin-pemimpin kesatuan mereka telah mengangkat rayuan kepada Kerajaan menuntut kenaikan gaji bagi pekerja-pekerja kerajaan. Oleh kerana Kerajaan ialah majikan yang terbesar dalam negara, tentulah Kerajaan tidak dapat memberi sambutan terhadap setiap tuntutan kenaikan gaji itu, kerana perbelanjaan menjadi begitu besar sehingga Kerajaan tidak akan mampu membayarnya.

Contohnya dalam tahun 1965, perbelanjaan sebenar bagi gaji dan pencen serta lain-lain berjumlah RM540.7 juta atau 33.2 % dari jumlah perbelanjaan biasa. Sementara dalam tahun 1969 adalah dianggarkan bahawa angka itu meningkat kepada RM650.6 juta atau 33.8 % dari perbelanjaan. Angka-angka ini tidaka termasuk gaji bagi guru-guru dalam Perkhidmatan Guru Yang Disatukan atau pekerja-pekerja bergaji hari. Jika gaji ini dicampurkan dalam perbelanjaan gaji tahunan Kerajaan Persekutuan, maka jumlahnya akan melebihi 50 peratus daripada jumlah perbelanjaan biasa. Ini pada peringkat Persekutuan sahaja, tidak termasuk gaji yang dibayar dalam 13 buah negeri.

Pemimpin-pemimpin kesatuan yang berjuang menuntut kenaikan gaji pekerja-pekerja tidak sedar tentang kesulitan yang dihadapi oleh Kerajaan. Sekiranya semua tuntutan mereka dipenuhi, maka Kerajaan akan menghadapi keruntuhan ekonomi.

Sungguhpun begitu pemimpin-pemimpin Kesatuan Sekerja terus membuat janji  kepada pekerja bahawa mereka akan memperjuangkan soal kenaikan gaji sekiranya mereka dipilih, dan tentulah pekerja-pekerja tertarik dengan janji itu. Mereka juga berkata bahawa MIC sangat kurang menolong pekerja-pekerja.

Semasa menjalankan tugas di kementerian masing-masing, Tun Sambanthan dan Manickavasagam sentiasa mempunyai perhubungan rapat dengan pekerja-pekerja. Sungguh pun begitu oleh kerana mereka insaf bahawa Kerajaan tidak terdaya memenuhi segala tuntutan gaji, maka mereka tidak boleh membuat janji sebagaimana yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin kesatuan atau ahli-ahli politik yang memujuk pekerja-pekerja untuk kepentingan diri mereka.

Dalam kempen plihan raya, pemimpin-pemimpin politik dan kesatuan menuduh menteri-menteri ini tidak menolong untuk mendapatkan gaji yang lebih, walhal setiap orang tahu apa yang telah dibuat oleh Tun Sambanthan untuk menubuhkan syarikat-syarikat kerjasama memiliki harta di kalangan pekerja-pekerja India untuk mengatasi masalah pemecahan ladang-ladang. Sungguh pun begitu pemimpin-pemimpin kesatuan dengan tidak bertanggungjawab telah berjanji yang mereka akan mendapatkan kenaikan gaji bagi mencari sokongan pekerja-pekerja.

Satu peristiwa yang telah berlaku dalam pilihan raya lepas dapat membuktikan sejauh manakah kempen menentang Kerajaan telah diperhebatkan di kalangan pekerja-pekerja India. Tun Sambanthan telah memberitahu saya bahawa dia telah pergi ke sebuah berhala di Jalan Bangsar untuk satu istiadat, dan apabila dia keluar dari rumah berhala itu, dia dapati bendera Persekutuan di keretanya telah dikoyak. Kawasan ini ialah sebuah sarang kediaman pekerja-pekerja India, dan kerana itu tentulah orang-orang di situ jugalah yang melakukan perbuatan itu.

Peristiwa-peristiwa menentang Kerajaan yang seperti ini sangatlah mendukacitakan, terutama sekali jika diingatkan bagaimana Kerajaan telah menyediakan banyak faedah untuk pekerja-pekerja, tetapi mereka tidak menghargai jasa-jasa Kerajaan itu. Bandingkan Malaysia dengan Negara-negara lain di sekeliling kita, dan tuan-tuan akan insaf “bagaimana bertuahnya tinggal di sini”.

Pekerja-pekerja India ini telah lama menaruh perasaan dendam, tetapi ketika itu tidak dapat diagak sikap mereka sebagai pengundi dalam pilihan raya 1969. Adakah mereka akan menyokong Perikatan atau parti-parti lain?
 sebuah buku hasil karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969

BAB 7 : Upacara Pengkebumian “Pahlawan Merah” | 13 Mei – Sebelum & Selepas



KETIKA sidang perwakilan sedang memberi fikiran mereka dengan bersungguh-sungguh di dalam Persidangan Antara Bangsa yang bagitu penting, kempen pilihan raya telah berjalan dengan hebatnya di seluruh Malaysia Barat.

Dalam kempen itu timbullah perkara-perkara yang menyakitkan hati, yang boleh menimbulkan permusuhan dan pergaduhan antara satu dengan lain. Saya telah pun memberi beberapa contoh tentang apa yang telah berlaku, dan tentang bagaimana hasutan-hasutan dan fitnah telah dijalankan dengan cara terang-terangan dan umpat keji yang terlalu bersifat peribadi telah dibisikkan dari mulut ke mulut.

 Memang telah menjadi kelaziman di mana-mana jua dalam dunia bebas ini perkataan-perkataan yang pedas dan kenyataan yang tidak bijak dikeluarkan dalam kempen pilihan raya. Amalan-amalan yang serupa itu juga tentulah dijangka berlaku di Malaysia, tetapi kebebasan berucap dalam pilihan raya tidaklah sekali-kali boleh dijadikan alasan untuk mengeluarkan kata-kata yang melanggar batas, terutama di dalam sebuah negara berbilang kaum di mana perasaan penduduknya mudah tersinggung dalam perkara-perkara mengenai kaum mereka.  

 Perasaan hangat ini jelas kelihatan terutama di sebelah utara Semenanjung.  Di selatan kempen pilihan raya telah berjalan dengan cara yang lembut dan teratur tanpa  sebarang kejadian yang tidak diingini.

 Dalam suasana yang seperti inilah komunis telah meresap masuk di kalangan mereka. Tujuan utama mereka semakin jelas kelihatan dari hari ke hari. Mereka berazam untuk menjatuhkan Perikatan dari memegang kuasa dengan memecahkan pengaruhnya sama ada dengan cara baik atau jahat. Mereka mengamalkan pengaruh jahat menerusi dua saluran dan menghalakan serangan-serangan mereka kepada dua sasaran besar – melemahkan UMNO melalui PAS, dan melumpuhkan MCA menerusi Gerakan dan parti-parti politik Cina yang lain.

 Pada pendapat mereka pilihan raya telah memberikan kesempatan yang sangat baik kepada komunis untuk melakukan perbuatan-perbuatan provokasi supaya timbul peristiwa, sama ada besar atau kecil, dengan tujuan hendak menjayakan rancangan mereka memulaukan pilihan raya umum. Lebih luas mereka dapat menyebarkan perasaan bimbang, atau kecewa, atau pun takut, maka lebih besarlah harapan mereka untuk menjayakan pemulauan ini.

 Apabila kempen pilihan raya itu telah berjalan separuh, mereka telah melancarkan kempen menulis dengan cat merah cogan kata dan tanda di atas jalan raya dan tembok. Merah ialah warna pertubuhan Komunis. Cogan kata yang ditulis menggesa setiap orang supaya memulaukan pilihan raya dan yang lain mengandungi perkataan-perkataan yang menyanjung tinggi sifat-sifat dan ajaran-ajaran Mao Tze Tung. Mereka tidak peduli bahawa perbuatan mereka itu melanggar undang-undang, dan amatlah sukar bagi Kerajaan hendak menangkap mana-mana orang yang menulis cogan kata itu kerana ia ditulis pada malam yang gelap, tetapi tulisannya dapat dibaca dengan jelas oleh semua orang pada  siang hari yang terang benderang.

 Mereka memperhebatkan kempen dengan menggunakan ancaman terhadap keselamatan orang ramai, dan menyebarkan risalah di kalangan orang-orang Cina untuk menggesa mereka supaya memulaukan pilihan raya. Tujuan mereka jelas untuk menunggu berlakunya sesuatu peristiwa yang boleh mereka gunakan untuk mengambil kesempatan bagi menjayakan rancangan mereka itu.

 Kesempatan timbul apabila satu peristiwa telah berlaku pada 24 April, iaitu kira-kira dua minggu sebelum hari mengundi. Pada kira-kira jam 8.30 malam itu seorang pekerja UMNO bernama Kassim Omar yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya telah melihat beberapa orang berkumpul di kawasan Jelutong, Pulau Pinang. Dia telah memberhentikan motosikal yang sedang dinaikinya untuk melihat dan bertanya kerana pada fikirannya satu kemalangan telah berlaku. Ketika itu juga dia telah diserang oleh kumpulan yang ada di situ dan telah dibunuh dengan kejamnya. Setelah itu mereka mencontengkan cat merah ke seluruh badan mayat orang yang telah mereka bunuh itu. Perbuatan mereka adalah satu pembunuhan yang disengaja dan boleh berlaku ke atas sesiapa pun. Pembunuh-pembunuhnya adalah pemuda-pemuda Parti Buruh.

 Pembunuhan yang kejam ini tentulah telah menimbulkan rasa cemas di kalangan pasukan keselamatan kerana kejadian itu boleh mencetuskan rusuhan kaum. Oleh kerana bimbang berlakunya tindak balas, maka Kerajaan telah meminta keluarga si mati dan pemimpin-pemimpin Melayu di Pulau Pinang supaya bersabar, dan mereka telah bersetuju tidak menyebarkan berita pembunuhan itu supaya Komunis tidak akan mendapat kesempatan untuk menghalang pilihan raya. Kesabaran mereka itu telah memberi pertolongan yang sangat besar untuk menyekat buat sementara cita-cita Komunis, tetapi mereka telah bertanggungjawab mengalirkan darah.

 Sepuluh hari kemudian, iaitu pada 4 Mei, Komunis telah mendapat peluang yang selama ini ditunggu-tunggunya apabila satu kejadian berlaku di negeri Selangor. Kejadian ini berlaku enam hari sebelum hari membuang undi. Pada pagi itu, tiga orang mata-mata (konstabel polis) yang sedang meroda telah bertembung dengan sekumpulan pemuda di Kepong, yang terletak di pinggir Kuala Lumpur. Pemuda-pemuda itu sedang menulis dengan cat tanda-tanda  di jalan raya. Apabila dicabar, mereka telah menentang anggota-anggota polis mata-mata itu dengan membaling kayu api, besi tajam, dan ketulan besi, dan kemudian mereka telah berundur masuk ke kawasan sebuah pasar lama yang berdekatan.

 Selepas mengenalkan diri mereka, ketiga-tiga orang mata-mata itu pun menghambat pemuda-pemuda tersebut. Rupa-rupanya mereka keluar bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan memang hendak mencari gaduh, dan sekarang mereka telah dapat apa yang mereka mahu. Mereka telah melawan bersungguh-sungguh sehingga mata-mata itu terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri. Akhirnya seorang daripada pengacau itu telah tercedera dan kemudiannya mati di hospital. Namanya ialah Lim Soon Seng, berumur 24 tahun. Keluarga dan rakan-rakannya telah membawa mayat si mati untuk di simpan di rumah mayat di Jalan Sultan, jalan yang paling sibuk di kawsan Cina di bandar Kuala Lumpur. Mayat itu sepatutnya dibawa balik ke rumahnya di Kepong.

 Si mati bukanlah seorang yang terkenal dan pada lazimnya mayatnya itu memadailah dikebumikan secara sederhana, tetapi Komunis tidak hendak melepaskan peluang yang begitu baik untuk membuat sesuatu yang boleh mendatangkan faedah kepada perjuangan mereka. Akhirnya mereka dapat juga seorang daripada rakan seperjuangan untuk disanjung sebagai “pahlawan” yang akan menjadi lambang perjuangan mereka.

 Polis telah menerima permohonan untuk mengadakan satu perarakan mayat pada 10 Mei, iaitu hari mengundi. Tujuan mereka hendak mengadakan perarakan itu pada 10 Mei sangatlah jelas. Anasir-anasir yang menganjurkan perarakan itu berniat hendak menimbulkan satu kejadian yang akan menghalang pilihan raya atau pun mencegah pembuangan undi pada hari itu.

 Polis telah mengambil keputusan yang bijak dengan menolak permohonan hendak mengadakan perarakan pada hari itu, tetapi setelah ibubapa si mati dan pemimpin-pemimpin Parti Buruh Kepong bertalu-talu membuat rayuan hendak mengadakan istiadat pengkebumian secara terhormat, maka polis bersetuju membenarkan perarakan mayat itu diadakan pada 9 Mei. Ketika membenarkannya, polis telah meletakkan syarat-syarat yang ketat supaya perarakan itu melalui jalan-jalan yang tertentu, dan mereka yang hadir atau mengiringi mayat itu hendaklah dihadkan kepada satu bilangan kecil orang yang berkabung. Ringkasnya, istiadat pengkebumian itu hendaklah diadakan menurut sebagaimana yang lazim dibuat sahaja.

 Meskipun begitu, apa yang berlaku ialah perarakan mayat itu telah bertukar menjadi satu perarakan yang terbesar pernah dilihat di Kuala Lumpur. Dalam hal ini Komunislah yang bertanggungjawab. Ia tidak sekali-kali merupakan satu perarakan mayat, tetapi lebih merupakan satu tunjuk perasaan politik yang sangat liar. Gambar-gambar yang saya siarkan dalam buku ini dapat menceritakan sendiri peristiwa itu dan dapat membuktikan bahawa Komunis dan anasir-anasir jahat lain adalah bertanggungjawab di atas kejadian yang buruk itu. Tunjuk perasaan itu berjalan sejauh lapan batu dengan beribu-ribu orang mengambil bahagian di dalamnya atau menyaksikannya dari kaki lima atau pun di tepi-tepi jalan.

 Saya siarkan kenyataan-kenyataan itu di sini supaya orang ramai di Malaysia ini dapat mengetahuinya dengan sejelas-jelasnya, selain daripada apa yang telah tersiar dan dibaca dalam akhbar, mengenai segala hal yang telah terjadi dan siapa yang berdiri di belakang perarakan itu hingga menimbulkan pelbagai rupa perbuatan provokasi sebelum hari mengundi.

 Abu Bakar bin Abdul Aziz, Pegawai Penjaga Daerah Polis Kuala Lumpur, telah menyatakan :

“Pada 7 Mei 1969, bapa si mati (Lim) telah dipanggil berjumpa saya untuk menyiapkan peraturan bagi perarakan mayat anaknya. Selepas berjumpa dengan saya, dia telah bersetuju mengadakan perarakan mayat itu pada hari Jumaat 9 Mei 1969. Sungguhpun begitu dia mengaku kepada saya yang dia tidak bertanggungjawab di atas segala persiapan bagi perarakan itu dan dia akan bawa kemudian orang-orang yang bertanggungjawab membuat persiapan itu untuk berjumpa saya.

“Kemudian datang orang lain bernama Yap Kau, Miss Tan Siew Eng dan seorang Melayu ke pejabat saya. Mereka berkata yang mereka telah menentukan sendiri jalan-jalannya dengan menunjukkan kepada saya di atas sekeping kertas. Kemudia saya berhubung dengan Encik Mansor, Pegawai Penjaga Lalulintas, yang kemudiannya telah datang ke pejabat saya. Setelah itu kami telah membincangkan bersama-sama jalan-jalan yang akan dilalui itu. Jalan-jalan itu ialah sebagaimana yang diterangkan oleh Encik Mansor dalam kenyataannya.

“Yap kau telah memperkenalkan Miss Tan kepada saya sebagai salah seorang dari ahli-ahli yang mengaturkan perarakan mayat itu, dan kemudiannya memperkenalkan Syed Hamid sebagai seorang ahli Jawatankuasa Penyelenggara yang menjaga hal-hal mayat bagi perarakan itu. Kemudian saya telah memperkenalkan Encik Mansor kepada tiga orang itu.”

“Kedua-dua orang cina itu iaitu Yap Kau dan Miss Tan telah bercakap kepada kami dalam bahasa Melayu dan mereka faham bahasa itu. Syed Hamid telah hadir bersama. Apakala saya tanya Syed Hamid kenapa dia datang, dia berkata dia datang untuk memperhatikan supaya tidak timbul silap faham di atas apa yang telah di persetujui, dan juga kerana dia salah seorang ahli jawatankuasa yang bertanggungjawab untuk menguruskan perarakan mayat itu.

“Sebelum Syed Hamid meninggalkan pejabat saya, dia telah berkata “sekarang kita telah bersetuju,” Tujuannya berkata demikian ialah supaya kami tidak boleh lagi mengubah jalan-jalan yang telah pun dipersetujui.

“Miss Tan juga berkata iaitu untuk mengelakkan dari menyakitkan hati mereka yang mengambil bahagian dalam perarakan itu, lebih baik polis tidak menghantar orang-orangnya yang memakai uniform menjaga perarakan itu lebih-lebih lagi anggota-anggota Pasukan Simpanan (FRU). Dia berkata bahawa dengan adanya anggota-anggota polis yang beruniform dari Pasukan Simpanan, maka orang-orang yang akan mengambil bahagian dalam perarakan akan merasa sakit hati kerana si mati yang telah ditembak oleh polis itu dianggap oleh mereka sebagai seorang ‘Pahlawan’. Mereka minta supaya lesen itu dikeluarkan atas nama Yap Kau”

Yap Kau yang tersebut dalam kenyataan Abu Bakar itu ialah seorang Ahli Jawatankuasa Parti Buruh Cawangan Kepong. Miss Tan Siew Eng ialah Naib Pengerusi bagi cawangan itu. Orang Melayu yang mengenalkan dirinya sebagai Syed Hamid ialah Syed Hamid bin Syed Ali yang menjadi Yang Dipertua Persatuan Penuntut-penuntut Universiti Malaya. Anggota-anggota F.R.U. ialah Pasukan Simpanan Persekutuan, iaitu anggota-anggota pasukan polis yang mendapat latihan yang tinggi mutunya, terutama sekali dalam kerja-kerja menyuraikan tunjuk perasaan dan rusuhan.

 Dari kenyataan itu dan dengan adanya tiga orang yang tersebut tadi, maka nyatalah bahawa perarakan mayat itu telah diambil alih dari keluarga si mati oleh anasir-anasir politik yang mempunyai tujuan-tujuan yang jahat supaya peluang ini dapat dipergunakan untuk membangkitkan ancaman politik yang berpanjangan.

Sebenarnya perkara membawa mayat ini hanyalah satu perkara yang mudah dan kecil sahaja, tetapi mereka sengaja membesarkannya.

“Pada jam 9.55 pagi, hari Khamis, 8. Mei 1969, saya telah berada di pejabat OCPD (Ketua Polis Daerah)  untuk berunding dengannya mengenai jalan-jalan yang akan dilalui oleh perarakan mayat Lim Soon Seng. Pada jam 10.15 pagi, tiga orang telah datang ke pejabat OCPD. itu – mereka ialah Yap Kau, Tan Siew Eng (seorang perempuan cina) Naib Pengerusi Parti Buroh Selangor, dan seorang Melayu, Syed Hamid bin Syed Ali

“Ketiga-tiga orang ini telah datang ke pejabat dan memohon kebenaran mengadakan perarakan mayat Lim Soong Seng. Mereka menuntut supaya perarakan itu melalui jalan-jalan yang telah ditetapkan oleh mereka, tetapi OCPD dan saya tidak bersetuju dengan jalan-jalan yang dicadangkan.

“Saya berkeras supaya jalan-jalan yang patut dilalui ialah daripada Jalan Sultan terus ke Jalan Kuching, Jalan Maxwell, Jalan Ipoh, kemudian terus ke Kepong. Sebaliknya mereka menuntut jalan-jalan yang lain iaitu  Jalan Petaling, Jalan Kinabalu, Jalan Raja, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Ipoh.

“Ini bererti perarakan itu akan melalui jalan-jalan di tengah-tengah  ibu kota. Mereka berkeras hendak melalui jalan-jalan ini, sambil berkata bahawa sama ada polis bersetuju atau pun tidak, mereka akan melalui juga jalan-jalan itu. Oleh yang demikian saya terpaksa bersetuju dengan syarat bilangan orang-orang yang akan mengikut dalam perarakan itu tidak boleh lebih dari seribu. Kemudian OCPD telah mengeluarkan lesen”

 Dari kenyataannya itu dapatlah kita saksikan bahawa jalan-jalan yang dicadangkan oleh polis akan membawa perarakan itu melalui jalan-jalan yang kebanyakannya bersempadan dengan sepanjang sungai, iaitu jalan-jalan besar yang tidak melalui kawasan yang penuh dengan bangunan-bangunan. Sementara jalan-jalan yang dicadangkan oleh pihak yang menguruskan perarakan itu ialah jalan-jalan dari Utara ke Selatan yang melalui tengah-tengah kota yang penuh dengan kedai-kedai perniagaan. Jalan-jalan ini pada lazimnya penuh sesak dengan orang ramai sepanjang siang hinggalah ke tengah malam.

 Keadaan pada ketika itu meletakkan pihak polis berada dalam kedudukan yang terdesak, kerana keesokan harinya ialah hari mengundi. Untuk kepentingan negara, maka mustahaklah diambil segala langkah yang perlu bagi menghindarkan dari berlakunya sesuatu perkara yang boleh menghalang pilihan raya. Sebagai pihak yang bertanggungjawab untuk menjaga undang-undang dan keamanan, pihak polis tidak bertujuan hendak membuka sebarang peluang kepada pihak-pihak yang liar untuk melakukan kekacauan.

 Keluarga si mati mempunyai hak untuk membawa mayat, dan mengikut sebagaimana biasa, kenalah mereka mendapat kebenaran dari polis bagi mengadakan satu perarakan. Inilah cara hidup kita di Malaysia, dan boleh katakana hampir setiap hari kita dapat melihat perarakan yang seumpama itu di Kuala Lumpur. Polis tidak dapat membantah langkah menyerah persiapan mengadakan perarakan mayat itu kepada Parti Buruh cawangan Kepong dan juga kepada anasir-anasir yang lain yang tidak ada kaitan dengan keluarga si mati, tetapi pihak polis sebenarnya faham dan mengerti tujuan pihak-pihak yang menganjurkan perarakan itu.

 Oleh yang demikian tentulah pihak polis perlu bersiap sedia untuk menjalankan kewajipan mereka yang biasa dan berjaga-jaga untuk menghadapi sebarang tunjuk perasaan yang mungkin timbul semasa perarakan itu, tetapi mereka juga mesti berhati-hati supaya kekacauan yang mungkin timbul itu tidak akan berlanjutan. Mereka cuma dapat meletakkan syarat-syarat yang tertentu untuk perarakan itu, dan ini telah dipersetujui antara kedua-dua belah pihak dan juga pihak keluarga si mati. Bagaimana persetujuan itu akan dilaksanakan tidaklah dapat diagakkan sehingga keesokan harinya.

 Di dalam satu kenyataan, Mansor bin Mohd Noor telah melaporkan sebagaimana berikut:

“Pada jam 8.45 pagi, 9 Mei 1969 saya telah pergi ke rumah mayat (Chik Sin Tong) di Jalan Sultan untuk menyaksikan sama ada persiapan dan peraturan bagi perarakan mayai itu di jalankan sebagaimana yang telah dipersetujui oleh polis. Sekumpulan besar orang ramai telah berhimpun di situ. Menurut lesen yang telah dikeluarkan, perarakan itu patutlah dimulakan pada jam 9.30 pagi, tetapi tidak dimulakan sehingga 9.55 pagi.

“Perarakan itu sepatutnya membelok ke kiri dari Jalan Sultan menghala ke Bulatan Merdeka, tetapi sebaliknya telah membelok ke kanan dan berjalan melalui Jalan Petaling, mereka telah menyorak-nyorak dan mengejek Polis Lalulintas yang sedang bertugas dengan tujuan hendak menaikkan kemarahan mereka (polis) itu. Dengan membelok ke kanan, maka mereka telah melanggar syarat yang pertama.”

“Kemudian perarakan itu telah berhenti dipenjuru Jalan Petaling dengan Jalan Cecil. Semasa di situ mereka telah mula berucap kepada orang ramai, menyanyi lagu-lagu dan menyebarkan risalah-risalah ajaran Mao, dan menampalkan risalah-risalah di tembok-tembok dan tiang-tiang rumah kedai. Salah satu risalah itu berbunyi “Rejim Tunku Abdul Rahman Kejam” dan yang satu lagi berbunyi “Ajaran Mao sahaja yang boleh diamalkan di sini.” Mereka telah membawa sepanduk-sepanduk gambar Mao dalam perarakan itu. Saya tidak dapat menyatakan berapa banyakkah sepanduk gambar itu.

“Saya telah mendahului perarakan itu untuk pergi ke Foch Avenue dan telah menyoal ketua mereka yang berada di kepala perarakan (kerana mereka telah mengikut jalan yang salah), “Kamu hendak ikut jalan mana?” Jawabnya “Aku tak tahu dan aku tak peduli.

“Perarakan itu telah berhenti setiap lima atau enam ela untuk berucap kepada beribu-ribu orang yang membanjiri kedua-dua belah jalan raya. Ketika itu saya sedang berdiri di hadapan Bangunan Malayan Banking di mana saya dapat menyaksikan orang ramai telah bertambah ramai. Bilangannya sudah pun meningkat beribu-ribu orang, iaitu berkali ganda melebihi daripada seribu orang yang telah dipersetujui. Mereka menjerit “Polis anjing buruan Kerajaan!”

 Dari laporan itu jelaslah bahawa pihak polis telah bersabar daripada melakukan tindakan ke atas perarakan. Sekalipun perarakan itu baru bergerak kira-kira satu batu jauhnya, tetapi jelaslah bahawa mereka yang mengambil bahagian dalam perarakan itu bukan sahaja terdiri daripada orang-orang yang berkabung, sama ada yang diupah atau sebaliknya, bahkan juga penunjuk-penunjuk perasaan yang cuba hendak membangkitkan kekacauan, dan pemimpin-pemimpinnya tidak terdaya hendak mengawal perarakan itu. Penunjuk-penunjuk perasaan itu tahu bahawa polis tidak akan menjalankan sebarang tindakan kecuali ada sebab-sebab yang besar untuk mereka berbuat begitu. Perbuatan-perbuatan provokasi adalah sebahagian daripada rancangan mereka tetapi usaha dan cabaran mereka tidak berjaya menyentuh perasaan polis.

 Kenyataan Mansor Bin Mohd. Noor selanjutnya memberikan gambaran yang umum mengenai perarakan itu, dan menunjukkan kelakuan mereka yang telah mengambil bahagian, dan juga apa yang telah berlaku di beberapa tempat di sepanjang jalan yang dilalui oleh perarakan itu. Kenyataan itu adalah sebagaimana berikut :

“Apakala perarakan itu tiba di penghujung Jalan Petaling berhadapan dengan Malayan Banking, mereka telah membelok ke kanan masuk ke Jalan Yap Ah Loy, iaitu jalan yang tidak dibenarkan, menghala ke Jalan Klyne dan kemudianya berpusing masuk ke Jalan Mountbatten – semua jalan-jalan ini adalah jalan yang di tegah masuk.

“Kemudian mereka bergerak melalui Jalan Mountbatten hingga mereka sampai di penjuru Jalan Mountbatten dengan Jalan Tuanku Abdul Rahman. Pada jam 11.25 pagi perarakan itu telah tiba di penjuru jalan ini. Kemudian mereka bergerak perlahan-lahan menuju ke Jalan Ipoh.

“Di hadapan Bangunan MARA kira-kira 500 orang yang menaiki motosikal yang sedang menuju ke situ telah menyertai perarakan. Pada ketika itu saya telah menulis seberapa banyak nombor-nombor motosikal itu. Mereka telah berhenti di hadapan Bangunan MARA untuk sekali lagi membuat ucapan kepada orang ramai.

“Pada jam 12.35 tengah hari mereka telah sampai di hadapan Ibu Pejabat UMNO dan sekali lagi membuat ucapan kepada orang ramai dan mengeluarkan kata-kata yang menghina.

“Pada jam 3.00 petang mereka telah tiba di Ibu Pejabat Parti Buruh Malaysia, Kepong. Di Kepong beribu-ribu orang telah beratur di kiri dan kanan jalan untuk memberi minuman kepada mereka. Mereka telah berhenti selama 45 minit di tempat itu untuk menyusun semula perarakan tersebut.

“Pada jam 5.00 petang mereka telah sampai ke Balai Polis Kepong dan bergerak sehela demi sehela sambil memberi ucapan kepada orang ramai dengan menyebarkan ajaran-ajaran Mao dan memaki polis. Perasaan orang ramai telah mula menjadi hangat dan kami menjangka kekacauan akan meletus pada saat itu.

“Pada jam 5.30 petang mereka telah tiba di penjuru jalan kecil yang menuju masuk ke tanah perkuburan dan terus berjalan menghala ke perkuburan.

“Setelah itu saya telah balik dan tiba untuk membuat laporan di pusat kawalan pada jam 6.00 petang.

“Kelakuan orang-orang yang mengikuti perarakan mayat itu amatlah liar dan merupakan perbuatan provokasi, dan sekiranya pihak polis tidak dapat menahan kesabaran maka tentulah kekacauan telah tercetus pada hari itu juga. Bilangan mereka tidak kurang 10,000 orang. Beribu-ribu orang mungkin terbunuh sekiranya kami tidak menahan sabar. Saya tidak syak lagi inilah yang mungkin berlaku. Mereka memang telah mengatur segala-galanya dengan rapi.

“Menurut Inspektor Sakunathan, dia telah melihat senjata-senjata disembunyikan di dalam keranda dan mayat si mati telah di usung di luar keranda itu dan dibalut dengan kain. Ini telah disahkan oleh Inspektor itu.”

Sikap polis yang bijak menghadapi keadaan yang sangat berbahaya yang telah ditimbulkan oleh Komunis dan puak-puak pelampau kiri untuk mengambil kesempatan daripada perarakan mayat itu patutlah diberi kepujian yang setinggi-tingginya. Memandang kepada peristiwa-peristiwa yang telah berlaku kemudiannya, dan kepada perasaan yang semakin bertambah hangat apakala perarakan itu semakin dekat dengan tanah perkuburan, maka kenyataan Mansor itu bolehlah dikatakan sederhana. Biarlah saya mengulanginya “beribu-ribu orang mungkin terbunuh sekiranya kami tidak menahan sabar. Saya tidak syak lagi inilah yang mungkin berlaku.” 

 Dari gambar-gambar yang telah diambil dan laporan-laporan yang telah dibuat, maka nyatalah tunjuk perasaan yang besar ini telah dirancang dan diatur dengan rapi. Nyatalah bahawa dari saat Parti Buroh dengan secara kebetulan mendapat seorang ‘Pahlawan’, maka Komunis dan puak pelampau kiri ini bertujuan hendak mengambil kesempatan itu untuk kepentingan mereka dengan sepenuhnya.

 Mereka telah Berjaya mengambil alih untuk mengaturkan perarakan mayat itu. Mereka menuntut supaya perarakan mayat itu diadakan pada hari mengundi. Mereka mengarahkan semua cawangan dan penyokong-penyokong parti itu supaya bersiap sedia untuk menggunakan sepenuhnya perarakan mayat itu bagi kepentingan mereka. Dalam masa 5 hari mereka telah sibuk menyediakan beribu-ribu poster dan cogankata. Mereka telah mengaturkan satu persatunya dengan tersusun rapi.

 Tidaklah mudah hendak mengumpulkan 500 buah motosikal untuk berada di satu tempat dan satu masa yang tertentu, kecuali untuk perlumbaan motosikal, tetapi mereka telah berada dan menunggu untuk bersama-sama menyertai perarakan itu di petengahan jalan. Kita tentu dapat menggambarkan bagaimana bising bunyi enjin motosikal yang beratus-ratus itu dapat menaikkan lagi perasaan di dalam suasana yang telah pun sedia hangat.

 Ini mungkin bukan satu kejadian yang berlaku secara kebetulan, dan bukannya perhimpunan yang terjadi dengan sendiri. Ia telah diatur dan dirancang terlebih dahulu. Perarakan motosikal inilah satu-satunya peristiwa yang dapat menggambarkan bagaiman pihak Komunis telah bersungguh-sungguh berusaha untuk menggunakan perarakan mayat itu sebagai satu helah untuk menimbulkan suasana yang tegang yang boleh merebak sehingga tidak terkawal lagi. Dengan itu mereka mengharapkan supaya kota Kuala Lumpur dan seluruh negara terperangkap di dalam kedaan huru-hara.

 Mereka telah gagal dalam usaha mereka yang besar ini. Sekarang soalnya ialah sama ada mereka akan mencuba sekali lagi. Ketika itu tidaklah dapat hendak diramal setakat manakah kesan daripada peristiwa-peristiwa tegang di sepanjang hari Jumaat itu akan mencacatkan pilihan raya pada keesokan harinya. Satu perkara yang nampak dengan jelas pada malam itu ialah sekalipun adanya seruan supaya memulaukan pilihan raya, tetapi pilihan raya tetap  berlangsung sebagaimana yang telah ditetapkan. Komunis sekali lagi gagal kerana bilangan pengundi yang telah keluar untuk mengundi pada keesokannya ialah paling ramai dalam sejarah Malaysia.


sebuah buku hasil karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969

BAB 2 : Bayangan Masa Lampau | 13 Mei – Sebelum & Selepas



ADA orang berkata bahawa peristiwa yang lepas boleh dijadikan alamat bagi peristiwa-peristiwa yang akan datang, tetapi hanya seorang wali sahaja yang mungkin dapat meramalkan bahawa faktor-faktor penting yang membawa kepada kekacauan yang telah berlaku itu ialah detik-detik kejadian yang berlaku dalam pilihan raya umum tahun 1969.

Sungguhpun begitu, sebelum saya menghuraikan satu persatu tentang peristiwa ini, sukalah saya jelaskan beberapa perkara. Pertama, pilihan raya tahun 1969 dan huru-hara yang berlaku pada 13 Mei itu ada kait-mengait. 

Kesemua pilihan raya yang lepas di negara ini telah dijalankan dengan sempurna dalam suasana muhibah dan saling mengerti. Begitu jugalah  pada hari mengundi pilihan raya 1969 yang jatuh pada hari Sabtu, 10  Mei di Malaysia Barat, kesemuanya telah berjalan dengan licin sebagaimana pilihan-pilihan raya yang telah lalu dengan tidak ada satu pun kejadian yang boleh menghalangnya. Sungguhpun begitu, semasa kempen, perbuatan-perbuatan liar telah dilakukan dan ucapan-ucapan tidak bertanggungjawab telah dikeluarkan. Oleh itu perlulah kita mengkaji apa yang telah berlaku sebelum pilihan raya, dan semasa pilihan raya itu berjalan hinggalah selesai pilihan raya dengan tujuan untuk mencari dan memahami mengapa dan bagaimana rusohan  meletus secara tiba-tiba.

Perkara kedua yang saya suka hendak tegaskan ialah pengaruh fahaman komunis. Tidak  ada negara dalam dunia ini yang boleh berdiri keseorangan, dengan mengasingkan diri untuk menentang pengaruh ideologi atau fahaman dari luar. Malaysia dan semua negara  di Asia pada hari ini sedang menghadapi ancaman dari China. Dengan adanya kemudahan alat-alat perhubungan saperti yang terdapat di zaman kita ini, maka mustahil kita terselamat daripada pengaroh ajaran Komunis yang dipancarkan dari Peking, dan kemudian disebarkan di sini secara tergila-gila  oleh pihak-pihak yang tertentu.

Ada juga sesetengah orang yang mempersendakan saya dengan mengatakan saya terlampau takut kapada Komunis, seolah-olah  ada Komunis di dalam setiap semak, tetapi adalah menjadi kewajipan saya sebagai Perdana Menteri untok menjaga keselamatan negara daripada sabarang ancaman dalam dan luar negara kerana saya sentiasa mendapat maklumat dan laporan sulit. Saya tidak pernah memperkecilkan pengaruh yang ditanam oleh Komunis. Kita mesti sentiasa berwaspada untok mengamati pada sebarang waktu kesan dan pengaruh fahaman Komunis yang mungkin telah meresap ke dalam hati dan fikiran orang-orang  kita, terutama belia.

Peristiwa yang berlaku di Pulau Pinang pada 19 November 1967 adalah satu contoh yang menggambarkan sejauh mana penyokong-penyokong Komunis, sama ada yang bergerak secara terang  atau sulit,. sanggup melakukan sesuatu yang merosakkan kepentingan Malaysia.

Pergaduhan kaum telah timbul di sana apabila anggota-anggota Cina dalam Gerakan Belia Mao Tse-Tung telah mengambil kesempatan atas langkah Kerajaan menurunkan nilai mata wang lama Malaysia sebagai alasan untok melancarkan hartal. Pertemporan-pertempuran telah berlaku, dan orang-orang Melayu dan penyokong-penyokong yang setia kapada Kerajaan menjadi sasaran serangan mereka. Beberapa orang yang terperangkap dalam kejadian itu telah terbunuh atau cedera. Pasukan-pasukan  keselamatan telah berjaya mengembalikan ketenteraman dengan serta-merta dengan mengenakan perintah berkurung dan menangkap orang-orang  yang disyaki.

Tujuan Komunis itu ialah hendak melancarkan hartal ke seluroh negara, tetapi mereka gagal kerana pendudok di tempat-tempat  lain tidak mengindahkan seruan mereka dan menjalankan perniagaan masing-masing  seperti biasa.

Dalam bulan Jun, 1968, hukuman gantung hampir hendak dijalankan ka atas 11 orang Cina yang menjadi anggota Parti Komunis Malaya yang telah dihukum bunuh kerana membantu orang-orang  Soekarno menyerang Selatan (Semenanjung) Malaysia. Perintah hukuman gantung yang sama telah juga ditandatangani ka atas dua orang Melayu di Perak.

Dr. Tan Chee Khoon, yang pada ketika itu menjadi Anggota Parlimen Parti Buruh bagi Kawasan Batu telah membuat rayuan untuk menahan hukuman gantung itu. Bersama-sama  dengan ahli-ahli Parti Buruh dan penyokong-penyokong Komunis, dia telah melancarkan satu kempen yang besar dari rumah ke rumah untuk memungut tandatangan dengan tujuan hendak menimbulkan rasa simpati di kalangan orang ramai terhadap 11  orang yang dihukum bunuh itu.

Akhbar juga memainkan peranan yang besar dalam kempen ini.

Anasir-anasir pro-Komunis telah menghasut ibu bapa dan waris pemuda-pemuda yang dihukum bunuh itu supaya mengadakan perjumpaan untok membantah. Sungguhpun bagitu, rayuan mereka telah ditolak oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dan Sultan Perak.

Sementara itu, tarikh bagi menjalankan hukuman gantung itu telah hampit. Di luar pintu Penjara Pudu di Kuala Lumpur dan di sepanjang  jalan menuju ke penjara itu, tunjuk  perasaan secara liar telah dilakukan oleh orang-orang  tertentu termasuk belia Komunis. Mereka menbaling batu ka atas kereta yang lalu di situ dan menghalang lalu lintas.

Untuk mengelakkan daripada timbulnya pergaduhan di seluroh negara yang mungkin membawa kapada rusuhan antara kaum yang boleh menumpahkan darah, maka saya sendiri telah menyembahkan rayuan kapada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak bagi pihak orang-orang  yang dihukum gantung itu, dan kedua-dua baginda telah berkenan meringankan hukuman itu kapada penjara seumor hidup. Sama ada tindakan saya itu betul atau pun salah, tujuan saya ialah semata-mata  hendak menyelamatkan 11 orang Komunis di Johor dan dua orang penderhaka Melayu di Perak daripada mati di tali gantung.

Tunjuk-tunjuk perasaan itu berhenti dan keamanan telah dipulihkan. Sungguhpun begitu masih lagi terdapat rasa gelisah saperti api dalam sekam, dan Kerajaan sedar mungkin perkara ini tidak habis setakat itu sahaja. Jadi Kerajaan telah berusaha sedaya upaya untuk mencegah daripada berlakunya lagi sebarang kekacauan, dengan jalan melipat-gandakan lagi pengawasan sebagai langkah berjaga-jaga. Api dalam sekam perlu diawasi dengan cermat.

Komunis telah mendapat pengalaman dan pengajaran daripada kejadian-kejadian  itu sebagaimana yang terbukti daripada peristiwa-peristiwa yang telah berlaku kemudiannya. Mereka sengaja menaikkan perasaan orang ramai dalam soal 11 orang Cina itu sahaja, tetapi tidak ada langsung suara yang timbul bagi pihak dua orang Melayu. Hasil daripada pengajaran ini, sekiranya orang ramai dapat diapi-apikan hingga sampai pada satu keadaan yang boleh menimbulkan kekacauan dalam garis undang-undang, maka kemungkinan untuk melakukan kekacauan dengan mengapi-apikan perasaan perkauman di luar undang-undang tentulah akan lebeh menggoncangkan seluruh negara. Mereka cuma perlu meniup api itu untuk memarakkan satu kebakaran yang dahsyat.

Sebenarnya anasir-anasir puak pelampau kiri yang sentiasa menunggu  kesempatan untuk menimbulkan kekacauan, tidak belengah-lengah lagi daripada  menunjukkan jalan untuk bertindak pada masa hadapan, bertentangan dengan kepentingan negara. Selepas enam minggu sahaja daripada tarikh  Komunis dan pengkhianat-pengkhianat itu diringankan hukuman pada 13. Oktober, Parti Buruh (iaitu Sosialis) telah mengisytiharkan yang mereka akan memulaukan pilihan raya yang hendak diadakan pada 1969.

Saya tidak mengerti kenapa ahli-ahli politik boleh terpengaruh dengan cara memulaukan pilihan raya kerana percubaan-percubaan yang seperti itu di Malaysia dan Sinagpura pada masa yang lepas sentiasa menemui kegagalan.

Langkah Parti Buruh ini semata-mata meniru taktik Barisan Sosialis Singapura yang telah enggan mengambil bahagian dalam pilihan raya, dan dengan kedegilannya berpegang kapada polisi ini, parti itu akhir-nya telah lenyap. Mereka telah menarik keluar ahli-ahli mereka dari  Dewan Undangan Singapura, tetapi selain daripada itu mereka tidak melakukan sebarang tindakan kekerasan. Mungkin kerana Kerajaan di Singapura itu dipegang oleh kebanyakannya pemimpin-pemimpin Cina, maka Barisan Sosialis mendapati sesuai dengan tujuannya untok mengekalkan negara  itu sebagai tapak untuk kemasukan anasir-anasir subversif Komunis.

Parti Buroh di Malaysia telah mengikut jejak yang buruk itu dan barangkali juga mereka bertujuan hendak menjadi satu parti yang kaku sebagaimana Barisan Sosialis. Pemimpin-pemimpinnya tentulah tidak dapat meramalkan perkembangan yang harus timbul, tetapi mereka berpendapat bahawa sikap mereka yang baru itu mungkin akan menimbulkan bencana yang mereka harap-harapkan. Memanglah menjadi taktik Komunis menyalakan api di bawah seberapa banyak cerek yang boleh, dengan harapan moga-moga salah satu daripadanya akan meletup dengan sendiri-nya.

Terdahulu daripada kejadian itu, tahun 1968 bolehlah dikatakan aman di dalam gelanggang politik setakat yang mengenai dengan parti-parti pembangkang. Satu sahaja perkembangan baru yang telah berlaku, iaitu pengisytiharan bagi menubuhkan sebuah Badan Politik yang baru dalam bulan April, ia-itu Parti Gerakan, yang terdiri dari mereka yang menggelarkan diri mereka bijak pandai dan orang-orang terpelajar yang pendiriannya menentang dasar kerajaan Perikatan.

Ketika itu pengisytiharan hendak mengadakan pilihan raya belum lagi dibuat. Perikatan berkuasa mengisytiharkan satu pilihan raya mengejut pada bila-bila masa di dalam tahun yang penghabisan bagi tempoh perkhidmatannya, tetapi sebaliknya saya telah mengisytiharkan bahawa Kerajaan akan memenuhi tempoh perkhidmatannya selama lima tahun.

Parti Buruh menyifatkan sikap saya ini sebagai satu muslihat, kerana mereka yakin bahawa saya akan melakukan sesuatu yang memeranjatkan. Menurut Perlembagaan, jika pilihan raya tidak diadakan lebih awal, maka ia mestilah diadakan dalam tempoh 95 hari daripada tarikh tamat tempoh perkhidmatan lima tahun yang lepas. Ini bererti  selambat-lambatnya menjelang akhir bulan April 1969.

Tiba-tiba Parti Buruh telah meniru satu lagi perbuatan Barisan Sosialis, iaitu satu langkah yang belum pernah terjadi di dalam negara kita yang demokratik semenjak merdeka. Mereka telah mengisytiharkan bahawa mereka akan menarik keluar dengan serta-merta kesemua ahlinya dari Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Dalam Parlimen mereka mempunyai dua orang ahli iaitu Dr. Tan Chee Khoon dan Lim Kean Siew.

Keputusan ini telah menimbulkan keadaan kelam-kabut dan perpechaan di kalangan ahli-ahli mereka sendiri. Jelaslah kapada orang ramai bahawa tindakan yang baru ini telah disokong sebulat suara oleh kesemua ahli Parti Buruh. Encik Lim mengambil masa berminggu-minggu untuk menbuat keputusan bagi mematuhi keputusan ini, tetapi Dr. Tan telah enggan menarik diri dari Parlimen, kemudian telah meninggalkan rakan-rakannya dalam Parti Buruh dan dengan serta-merta masuk Parti Gerakan yang baru ditubuhkan.

Mungkin juga hal ini satu muslihat dan tipu-helahnya atau partinya untuk menutup kekalahan puak-puak Sosialis dalam pilihan-pilihan raya yang  lepas. Parti baru yang Dr. Tan sendiri menjadi Setiausaha Agongnya telah mendapat sokongan yang kuat daripada ahli-ahli Parti Buroh yang telah lumpuh itu dan juga daripada mereka yang dengan bersulit-sulit  mempunyai simpati terhadap Komunis.

Dengan itu tamatlah perkembangan politik bagi tahun 1968, iaitu dengan bermulanya bulan puasa pada pertengahan November dan perayaan  bersama Hari Raya dan Hari Krismas selama tiga hari berturut-turut. Kehidupan orang-orang Malaysia telah berjalan seperti biasa dengan penuh semangat persahabatan. Begitu-lah kepercayaan dan perasaan kita pada hari menjelangnya tahun baru. Kita tidak dapat meramalkan apa yang terjadi dalam tahun baru itu, tetapi tidak seorang pun berasa waham tentang kejayaan kita di masa hadapan.


sebuah buku hasil karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969