Showing posts with label Tun Sambanthan. Show all posts
Showing posts with label Tun Sambanthan. Show all posts

BAB 11 : Api Menyala Malam | 13 Mei – Sebelum & Selepas



SAYA telah pulang ke Kuala Lumpur dari Alor Setar kira-kira pada tengah malam hari Selasa, 13 Mei iaitu satu hari yang telah mengubah nasib bangsa dan negara kita.

Ketua Setiausaha Sulit saya telah memberitahu saya yang dia telah menerima khabar bahawa satu tindak balas berupa tunjuk perasaan akan diadakan pada petang itu kerana orang-orang Melayu di Kuala Lumpur sangat marah dengan tunjuk perasaan anti Melayu dan perbuatan menghina dan biadab yang dilakukan oleh puak-puak pembangkang pada 12 Mei.

Dia telah memberitahu saya bahawa UMNO akan mengadakan satu perarakan untuk merayakan kemenangan parti, dan mereka yang akan mengambil bahagian akan berhimpun di rumah Menteri Besar Selangor, Dato’ Harun bin Haji Idris di Jalan Raja Muda.

Perarakan itu akan dimulakan dari rumah Menteri Besar Selangor. Menurut acara yang dicadangkan, Menteri Besar dijadualkan berucap kepada perhimpunan itu sebelum perarakan bermula.

Pada petang itu juga Tun Tan Siew Sin, Khaw Kai Boh, Dr. Lim Swee Aun, dan Tan Sri T.H. Tan telah datang berjumpa saya di Residency untuk melahirkan perasaan dukacita MCA di atas keputusan pilihan raya, dan menyatakan bahawa nyatalah orang-orang Cina telah hilang kepercayaannya kepada pemimpin-pemimpin MCA. Dengan keadaan yang demikian, mereka berpendapat bahawa tidaklah bijak bagi mereka menyertai Kabinet kerana mereka tidak lagi mewakili orang-orang Cina.

Saya telah menjawab bahawa Kabinet akan mengalami kerugian yang besar jika mereka tidak mengambil bahagian kerana perkhidmatan mereka kepada negara dan kepada Perikatan di masa yang lepas sangatlah dihargai. Saya telah berkata bahawa mungkin selepas daripada beberapa ketika mereka masuk balik dalam Kerajaan, tetapi saya menasihatkan mereka supaya mengambil masa sedikit untuk berfikir mengenai keputusan mereka itu.

Selepas itu kami telah membincangkan hal-hal yang telah berlaku di dalam beberapa hari yang lepas seperti perarakan mayat pemuda Parti Buruh, perarakan kemenangan Gerakan dan tunjuk perasaan yang haram. Selepas itu rombongan MCA itu pun meninggalkan saya, tetapi saya terus memikirkan sikap orang-orang Cina itu yang telah mengecewakan pemimpin-pemimpin yang telah berkhidmat kepada mereka dan kepada negara dengan cemerlang, dan dengan sikap mereka yang seperti itu, apakah yang mungkin berlaku lagi kemudian hari?

Tunjuk perasaan Gerakan pada 12 Mei bukan sahaja telah menimbulkan perasaan marah orang-orang Melayu bahkan juga menyakitkan hati mereka. Saya sendiri bimbang perarakan yang akan diadakan oleh UMNO itu mungkin membawa kepada kekacauan. Pada waktu itu tidaklah dapat lagi ditahan keinginan ahli-ahli UMNO hendak mengadakan perarakan kerana pihak pembangkang telah pun mengadakan perarakan-perarakan mereka. Selain daripada itu, UMNO juga telah mendapat permit untuk mengadakan perarakan yang tersebut. Saya Cuma dapat berdoa kepada Allah Subhanahu Wataala moga-moga tidak berlaku sebarang kejadian yang buruk.

Kemudian Tun Sambanthan telah datang berjumpa saya, dan kami telah membincangkan keputusan pilihan raya. Meskipun dia telah melakukan segala daya upaya untuk berkhidmat bagi kepentingan kaum India, tetapi Tun Sambanthan juga berasa bahawa MIC juga telah hilang sokongan orang-orang India di sesetengah kawasan.

Beliau juga memikirkan sama ada MIC patut meneruskan khidmat dalam Kabinet untuk mewakili orang-orang India atau sebaliknya setelah menimbangkan sikap yang telah diambil oleh MCA pada ketika itu untuk tidak menyertai Kabinet.

Saya kemudian telah menasihatkan beliau bahawa demi kepentingan Perikatan dan bangsa adalah bijak bagi beliau dan Manickavasagam (timbalannya) terus tinggal di Kabinet. Saya merasa gembira bila Tun Sambanthan bersetuju menerima nasihat saya itu.

Dalam masa kami melanjutkan perbualan itu, satu panggilan telefon telah diterima pada jam 6.45 petang, menyatakan bahawa satu kejadian yang ngeri telah berlaku di Jalan Raja Muda dalam mana beberapa orang Cina diserang.

Tidak lama kemudian Mansor, Ketua Lalulintas Polis Kuala Lumpur, dan beberapa orang lagi telah dating berjumpa saya dan memberitahu bahawa beberapa kejadian pembunuhan telah berlaku. Bandar Kuala Lumpur terus diletakkan di bawah perintah berkurung mulai  jam 7.00 petang. Pasukan-pasukan keselamatan telah keluar mengawal dan askar-askar telah dipanggil untuk membantu.

Saya telah memberitahu mereka bahawa saya suka hendak pergi ke tempat kejadian itu untuk melihat apa yang dapat saya buat, tetapi saya telah dinasihatkan supaya pergi ke Ibu Pejabat Polis untuk mendengar laporan-laporan yang diterima dari masa ke masa.

Setelah menunaikan sembahyang Maghrib, saya terus pergi ke Ibu pejabat Polis Selangor di Jalan Bandar. Selepas saya mendengar laporan-laporan pihak polis, saya pulang ke Residency untuk makan malam dan saya telah mengaturkan supaya Radio Malaysia menghantar seorang pegawainya supaya dapat saya merakam satu ucapan. Apabila pegawai itu datang iaitu kira-kira jam 9.30 malam, saya sedang berada di dalam dikacita yang amat sangat sehingga saya berasa susah hendak berfikir. Oleh kerana saya sedar bahawa satu tindakan perlu diambil dengan serta-merta, maka saya terus merakamkan ucapan saya itu dengan tidak membuat apa-apa persediaan pun. Perkataan saya pada malam yang malang itu ialah:

UCAPAN TUNKU PERDANA MENTERI MELALUI RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA PADA 13 HARIBULAN MEI 1969;

“Kejadian yang tidak diingini telah pun berlaku di Kuala Lumpur dan pasukan-pasukan keselamatan telah pun mengawal dengan kuatnya di serata tempat dan penjuru-penjuru jalan. Dengan keadaan yang demikian, saya terpaksa mengisytiharkan darurat di Kuala Lumpur. Curfew pun telah dimulakan dan dijalankan. Dan saya telah memberikan kuasa mengisytiharkan buat darurat atau pun state emergency di serata negeri lagi, sekiranya wajib dibuat demikian kerana hendak menjaga keamanan negeri, nyawa dan harta benda dan dengan ini adalah menjadi tanggungjawab saya dan saya akan menjalankan dengan sekuat-kuatnya kuasa saya itu.

Saya meminta pertolongan semua pihak yang bertanggungjawab supaya bekerja sama dengan pegawai-pegawai keamanan kerana menolong menjaga keamanan di negeri kita ini dan penduduk-penduduknya. Kejadian yang berlaku itu tidak ada sebab. Apa yang diperbuat oleh parti pembangkang semalam kita tidak ingini dan saya pegang dan tuduh mereka telah memulakan kejadian yang jahat dan khianat itu. Tetapi balas membalas bukan boleh menimbulkan baiknya.

Saya rasa sangat susah hati di atas apa yang telah berlaku kerana dua bulan lamanya saya telah berpusing di tempat-tempat memberi sayarahan dan mengingatkan kepada semua penduduk segala dakyah anti itu bangsa  boleh menimbulkan pergaduhan yang besar di antara bangsa-bangsa, penduduk-penduduk di negeri kita ini. Oleh sebab negeri ini adalah berbilang bangsa, saya rasa hal seumpama ini harus berlaku, hal pergaduhan yang seumpama ini harus berlaku dan sekarang ini telah pun berlaku, sungguhpun caranya sederhana.

Semua yang bertanggungjawab mestilah menjalankan kepentingan mereka supaya hal ini tidak merebak.

Mahulah setiap tempat melantik jawatankuasa muhibbah secara serata tempat itu boleh menjaga keselamatan dan perasaan baik sangka antara satu kaum dengan kaum yang lain. Negeri ini bergantung kepada tuan-tuan sekalian. Tolong masing-masing yang jujur dan ikhlas kepada saya yang menjaga negeri ini supaya tidak berbangkit hal-hal yang bahaya. Negeri yang kita kasihi ini adalah berkehendak pertolongan tuan-tuan sekalian. Saya doakan ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala. Selamatkanlah semua penduduk.

Setelah itu saya menaiki kereta untuk pergi ke Televisyen Malaysia. Setibanya saya di sana saya terus berucap menerusi televisyen di tengah-tengah satu rancangan yang disukai ramai. Apabila menghadapi kamera televisyen, perasaan saya telah begitu memuncak sehingga kadang-kadang saya susah hendak mengeluarkan perkataan, tetapi oleh kerana adanya azam saya yang kuat, maka dapatlah juga saya mengulangi dalam bahasa Melayu dan Inggeris apa yang telah saya rakamkan di Residency. Pada masa itu waktunya ialah 10.32 malam.

Pada kira-kira jam 11.00 malam, semasa saya dalam perjalanan balik ke Residency, saya telah mengambil keputusan untuk pergi ke Ibu pejabat Polis di Jalan Bandar sekali lagi dan langsung menyuruh pemandu kereta saya berpusing ke jalan yang menghala ke Ibu pejabat Polis itu. Semasa kereta saya masuk ke satu jalan kecil yang menghala ke Jalan Bandar, saya telah nampak beberapa orang samseng, tetapi apabila mereka melihat kereta saya, mereka pun lari. Saya telah sampai ke Ibu pejabat Polis dan duduk di sana sehingga lepas tengah malam. Peristiwa pada petang itu tidaklah mudah hendak dilupakan seumur hidup saya.

Saya tidak dapat tidur pada malam itu kerana mengenangkan kejadian sedih yang telah menimpa ibu kota dan negara kita yang aman ini. Saya telah merasa gelisah dan berjalan mundar-mandir, serta menghabiskan masa saya di atas tikar sembahyang untuk berdoa kepada Allah. Saya berdiri di beranda di luar bilik tidur saya dan menghalakan pandangan saya ke bandar Kuala Lumpur sambil memerhatikan api yang telah menjulang tinggi di beberapa kawasan berhampiran dengan Kampung Baharu dan di sebelah utara.

Kuala Lumpur telah menjadi satu bandar yang terang dengan api kebakaran dan dapat dilihat dengan jelas dari rumah saya yang terletak di atas bukit. Inilah satu pandangan yang sangat menyedihkan dan saya tidak sangka saya akan menyaksikan kejadian yang seperti itu semasa hayat saya. Api yang menjilat bangunan itu telah menghanguskan segala usaha saya dalam beberapa tahun yang lepas untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bahagia dan aman, dan juga menghancurkan impian saya hendak menjadi Perdana Menteri yang paling bahagia di dunia.

Ketika saya memerhatikan api yang menjulang tinggi itu terbayanglah di mata saya kejadian-kejadian dahsyat yang sedang berlaku di malam yang mengerikan itu, dan terkenanglah saya kepada peritiwa-peristiwa yang lepas yang menyebabkan timbulnya malapetaka itu. Pada waktu itu saya sedar dan insaf bahawa jika hendak difahami sebab-sebab kenapa boleh tercetus peristiwa yang buruk itu, maka perlulah dikaji satu persatu kejadian-kejadian yang telah lepas.

Pada hari itu saya telah menerima laporan mengenai perarakan Gerakan yang telah diadakan dahulu semalam. Mereka telah melemparkan kata nesta terhadap orang-orang Melatu dan menyuruh orang0orang Melayu pulang kampung-kampung dan desa kerana kapal layar (lambing Perikatan) telah ditenggelamkan. Kesemua hal-hal ini terbayang di dalam ingatan saya yang merupakan sebahagian dari sebab-sebab berlakunya rusuhan itu.

Kelakuan yang keji dan perbuatan provokasi terhadap orang-orang Melayu yang dilakukan oleh mereka itu telah melampaui batas kesopanan manusia sehingga telah menimbulkan api kemarahan yang tidak terhingga di kalangan orang-orang Melayu. Sebab itulah ahli-ahli UMNO telah berhimpun di rumah Menteri Besar di Jalan Raja Muda pada petang 13 Mei. Sebagai Pengerusi UMNO bagi negeri Selangor, Dato’ Harun bersetuju dengan permintaan ahli-ahli parti hendak mengadakan satu perarakan yang sama bagi merayakan kemenangan Perikatan, dan oleh kerana kebenaran telah pun diperoleh, maka perarakan itu mestilah berjalan sebagaimana yang telah diatur.

Ketika mereka sedang berhimpun di halaman rumah Dato’ Harun, tiba-tiba khabar telah diterima yang menyatakan bahawa orang-orang Cina telah menyerang orang-orang Melayu di Setapak, kira-kira satu atau dua batu hala ke utara, semasa orang-orang Melayu itu sedang dalam perjalanan hendak mengambil bahagian dalam perarakan yang akan bergerak dari Jalan Raja Muda. Perkhabaran menaikkan berang orang-orang Melayu yang sedang berhimpun, dan mereka terus mengamuk dengan tidak dapat dikawal lagi. Dua orang Cina yang melalui jalan itu dengan menunggang motosikal telah diserang dan dibunuh. Dengan itu bermulalah rusuhan 13 Mei yang meletuskan kekacauan yang belum pernah berlaku sepertinya dalam sejarah Malaysia.

Saya suka menceritakan di sini kejadian-kejadian lain yang berlaku lebih dahulu pada petang 13 Mei itu juga di Jalan Ipoh, jalan besar hala ke utara. Beberapa hari kemudian seorang saksi yang menyaksikan sendiri kejadian itu telah melaporkan kepada saya bahawa bas-bas yang datang dari utara, dari tempat-tempat seperti Selayang (kira-kira 20 batu jauhnya) telah ditahan oleh sekumpulan pemuda Cina untuk mencari orang-orang Melayu, sambil melaung-laungkan perkataan “Darah bayar darah”. Perkataan seperti inilah yang telah kedengaran dalam perarakan mayat.

Dengan itu bolehlah dikatakan bahawa peristiwa-peristiwa 13hb. Mei itu sebenarnya telah dicetuskan oleh pemuda-pemuda Cina Komunis; pemuda-pemuda ini boleh jadi orang yang sama yang telah mengambil bahagian dalam perarakan mayat, atau pun orang-orang yang sejenis dengan mereka. Tulisan “Darah bayar darah” adalah di antara cogankata yang telah tertulis di atas sepanduk-sepanduk yang diarak dalam perarakan mayat oleh pemuda-pemuda Parti Buruh pada 9 Mei; cogankata yang dilaungkan oleh mereka sepanjang perarakan itu.

Sesungguhnya kita boleh mendakwa bahawa cogankata “Darah bayar darah” dan tindakan-tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh ahli-ahli Parti Gerakan dan DAP apabila mengadakan perarakan kemenangan mereka, dan juga tunjuk perasaan yang diadakan kemudiannya oleh samseng-samseng yang tidak bertanggungjawab adalah unsur-unsur yang akhirnya mencetuskan kekacauan 13 Mei.

Tatkala saya sedang termenung di beranda rumah saya itu, maka terkenanglah saya kembali kepada keadaan yang terpaksa dihadapi oleh negara dalam tahun 1948 sebab pihak yang berkuasa British pada ketika itu tidak segera mengambil tindakan yang tegas terhadap pengacau-pengacau. Kecuaian mereka itu telah menyebabkan timbulnya darurat sehingga banyak nyawa yang terkorban dan harta benda yang binasa. Keganasan yang berlaku dalam masa darurat itu telah berjalan selama 10 tahun di bawah di bawah pentadbiran penjajah dan dua tahun lagi dalam masa Kerajaan Malaya yang merdeka. Kebinasaan dan kecelakaan yang telah menimpa negara dan rakyat semasa darurat itu berlaku adalah semata-mata kerana pihak yang berkuasa enggan mengambil tindakan yang keras dari awal.

Maka jelaslah kepada saya bahawa jika satu tindakan yang segera tidak diambil, maka segala tanda-tanda yang dapat disaksikan di dalam kempen pilihan raya dan rusuhan serta perbuatan bakar-membakar yang sedang dilakukan pada ketika itu di Kuala Lumpur menunjukkan bahawa satu kecelakaan yang sama seperti yang telah dirasai dalam tahun 1948 dahulu akan berulang lagi.

Oleh itu saya dengan serta-merta mengambil keputusan bahawa Kerajaan mestilah bertindak dengan cepat dan mengambil segala langkah yang perlu bagi mencegah kekacauan di Kuala Lumpur ini daripada merebak atau menjadi lebih buruk bagi keseluruhan negara.

Saya juga berazam bahawa rancangan yang akan dilaksanakan itu akan merupakan tindakan-tindakan yang boleh mendatangkan kesan yang berpanjangan supaya dapatlah kita mencegah kejadian seperti itu daripada berulang pada masa akan datang. Tidak ada sesiapa yang mahu kejadian itu berlaku lagi sama ada orang-orang Cina, India atau Melayu. Tidak ada siapa di Malaysia ini yang suka melihat negara yang aman ini terjerumus ke dalam lembah kekacauan kecuali Komunis dan mereka yang bersimpati dengannya, dan juga ahli-ahli politik yang bersubahat dengan anasir-anasir ini atau pun membiarkan diri mereka digunakan oleh anasir-anasir yang tersebut untuk kepentingan politik mereka. Sesungguhnya setelah menikmati kejayaan, keamanan dan kemakmuran sejak beberapa tahun yang lepas, maka sesuatu kecelakaan yang seperti itu tentulah merupakan satu bencana yang dahsyat.
 sebuah buku hasil karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969

BAB 8 : Pengundi-Pengundi Membuang Undi | 13 Mei – Sebelum & Selepas



CUACA di Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia pada hari mengundi yang jatuhnya pada hari Sabtu, 10 Mei, kelihatan begitu cerah. Ini telah diberitahu kepada saya semasa saya berada di Alor Star kerana terdahulu sehari daripada hari itu saya telah melawat kawasan pilihan raya saya Pulau Langkawi. Mungkin juga boleh difahamkan bahawa pada hari itu saya bukanlah seorang Perdana Menteri lagi tetapi sebagai seorang calon yang menyerahkan nasibnya kepada pengundi-pengundi untuk mendapatkan persetujuan mereka menurut asas-asas demokrasi.

Akhirnya tamatlah kempen yang hangat yang belum pernah berlaku seumpamanya dalam sejarah negara kita yang telah timbul semata-mata dengan sebab adanya perasaan dendam politik. Hari itu adalah hari untuk menentukan nasib. Suruhanjaya pilihan raya telah mengambil tanggungjawab penuh untuk mengawal pilihan raya itu, dan sebelum pengundi-pengundi memberi mandat mereka, dan sebelum laporan-laporan diterima mengenai pengundian itu, tidak ada siapa pun yang dapat meramalkan hasil pilihan raya.

Sungguhpun terdapat kempen-kempen yang liar yang belum pernah saya alami pada  masa lalu, saya berasa begitu yakin bahawa Parti Perikatan akan menang sekali lagi dengan kelebihan dua pertiga sebagaimana dalam pilihan raya sebelumnya.           

Saya rasa adil sekiranya saya katakana bahawa keputusan yang seperti inilah yang diharap-harapkan oleh seluruh negara, kecuali ahli-ahli parti pembangkang yang telah bersungguh-sungguh hendak menumbangkan Parti Perikatan. Mereka berdoa dan berharap tetapi mereka sendiri tidak menaruh kepercayaan terhadap  kejayaan mereka.

Pilihan raya di Malaysia lebih susah daripada yang dijalankan di kebanyakan negara lain kerana pengundi-pengundi dikehendaki membuang undi mereka pada satu masa yang sama untuk memilih calon-calon bagi Parlimen dan bagi Dewan Undangan Negeri. Dengan adanya sebelas buah Dewan Undangan Negeri dan sebuah Parlimen maka bererti 12 pilihan raya  dijalankan pada satu hari yang sama.

Saya telah menjelaskan bahawa UMNO dan MCA telah menjadi sasaran hebat parti-parti pembangkang menyerang Kerajaan Perikatan dalam kempen. Tetapi apakah pula sikap yang diambil oleh parti-parti pembangkang terhadap Persatuan India Malaysia (MIC), parti yang ketiga dalam Perikatan?.

Pas telah membuat serangannya dengan cara yang jahat terhadap UMNO; parti-parti pembangkang yang lain pula, sama ada dengan perhitungan yang tertentu atau pun cuma untuk kepentingan pilihan raya, telah menumpukan serangan mereka terhadap calon-calon MCA. Manakala penyokong-penyokong Parti Komunis telah menghasut anasir-anasir pembangkang sama ada dengan cara terang atau sulit.

Parti-parti pembangkang pada umumnya tidak menunjukkan sebarang rancangan yang bersatu menentang MIC. Mereka rasa lebih berkesan kiranya mereka menggongcang dua tiang Parti Perikatan, UMNO dan MCA kerana mereka percaya MIC akan tumbang dengan sendirinya setelah mereka dapat menjatuhkan UMNO dan MCA. Berbanding dengan UMNO dan MCA, MIC Cuma mengemukakan tiga orang calon Parlimen sahaja. Oleh itu pihak pembangkang boleh menyifatkan MIC sebagai anggota Perikatan yang tidak penting.

Mereka menganggap MIC sebagai lawan yang kecil. Sungguhpun begitu, untuk menjamin kemenangan maka mereka telah memecahkan kempen-kempen mereka menentang calon-calon MIC menerusi dua parti; DAP menyerang dalam dua kawasan dan PPP menumpukan ke atas pemimpin MIC, Tun Sambanthan yang bertanding satu lawan satu.

MIC ialah satu-satunya parti untuk orang-orang India di Malaysia, sekalipun bilangan orang-orang yang berketurunan India lebih dari sejuta. Tiga buah parti pembangkang telah mengemukakan calon-calon India, iaitu Gerakan, DAP dan PPP. Calon-calon Gerakan ialah bekas ahli-ahli Parti Buruh. DAP dahulunya telah diwakili dalam Parlimen oleh seorang ahlinya sahaja, dia ialah C. Devan Nair, tetapi pada kali ini dia tidak mahu bertanding, sekalipun beliau dahulunya adalah salah seorang dari ahli-ahli Dewan Rakyat puak pembangkang yang terkenal. Mengapa dia tidak bertanding tentulah menjadi satu tanda tanya. Mungkin DAP sahaja yang tahu jawapannya. Selain dari tiga orang calon India untuk Parlimen, DAP telah mengemukakan seorang calon Melayu yang tunggal, tetapi dia kalah. Inilah rupanya yang dikatakan konsep Malaysian Malaysia!

Dalam keseluruhannya kaum India di Malaysia ini mempunyai sifat keperibadian yang berlainan dari kaum-kaum Melayu dan Cina. Orang-orang Melayu pada keseluruhannya menjadi kaum tani, sementara orang-orang Cina pula umumnya berpecah dalam lapangan perniagaan, pertanian dan perlombongan. Orang-orang India terdapat dalam semua bahagian masyarakat Malaysia, kira-kira separuh di luar bandar dan separuh dalam bandar.

Orang-orang India juga kebanyakannya menguasai kesatuan sekerja dan bergerak menerusi kesatuan-kesatuan sekerja inilah mereka menekankan pengaruh. Sesungguhnya bolehlah dikatakan bahawa orang-orang India Malaysia lebih banyak menceburkan diri dalam kesatuan daripada parti politik, dan bagi mereka yang cenderung dengan parti politik tidak pula ketinggalan daripada mengadakan hubungan yang rapat dengan kesatuan sekerja.

Sebagai contoh, orang-orang India terdapat di mana-mana jua sebagai pekerja perusahaan dan buruh kasar, terutama dalam Keretapi Malaysia, Jabatan Kerja Raya, Lembaga Pelabuhan dan Perusahaan Getah. Kesatuan Kebangsaan bagi Pekerja-pekerja Ladang (NUPW) yang sebilangan besar anggotanya terdiri adalah rang India, ialah sebuah kesatuan yang paling besar di negeri ini dan salah sebuah dari yang terbesar di Asia. Ia tidak terikat kepada mana-mana parti politik, dan pucuk pimpinannya sangat berpengaruh dalam Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia. Kongres ini juga menjauhkan dirinya daripada pengaruh parti-parti politik, tetapi pemimpin-pemimpin kongres membiarkan ahli-ahlinya memilih sendiri corak-corak politik yang mereka sukai. Orang-orang India juga sangat kuat dalam Kongres Kesatuan-kesatuan Sekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS)

Oleh yang demikian tidaklah memeranjatkan jika dikatakan bahawa orang-orang India pada keseluruhannya tidak begitu cenderung dalam lapangan politik jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain, tetapi mereka lebih mengambil berat dalam soal kenaikan gaji. Dari masa ke masa pemimpin-pemimpin kesatuan mereka telah mengangkat rayuan kepada Kerajaan menuntut kenaikan gaji bagi pekerja-pekerja kerajaan. Oleh kerana Kerajaan ialah majikan yang terbesar dalam negara, tentulah Kerajaan tidak dapat memberi sambutan terhadap setiap tuntutan kenaikan gaji itu, kerana perbelanjaan menjadi begitu besar sehingga Kerajaan tidak akan mampu membayarnya.

Contohnya dalam tahun 1965, perbelanjaan sebenar bagi gaji dan pencen serta lain-lain berjumlah RM540.7 juta atau 33.2 % dari jumlah perbelanjaan biasa. Sementara dalam tahun 1969 adalah dianggarkan bahawa angka itu meningkat kepada RM650.6 juta atau 33.8 % dari perbelanjaan. Angka-angka ini tidaka termasuk gaji bagi guru-guru dalam Perkhidmatan Guru Yang Disatukan atau pekerja-pekerja bergaji hari. Jika gaji ini dicampurkan dalam perbelanjaan gaji tahunan Kerajaan Persekutuan, maka jumlahnya akan melebihi 50 peratus daripada jumlah perbelanjaan biasa. Ini pada peringkat Persekutuan sahaja, tidak termasuk gaji yang dibayar dalam 13 buah negeri.

Pemimpin-pemimpin kesatuan yang berjuang menuntut kenaikan gaji pekerja-pekerja tidak sedar tentang kesulitan yang dihadapi oleh Kerajaan. Sekiranya semua tuntutan mereka dipenuhi, maka Kerajaan akan menghadapi keruntuhan ekonomi.

Sungguhpun begitu pemimpin-pemimpin Kesatuan Sekerja terus membuat janji  kepada pekerja bahawa mereka akan memperjuangkan soal kenaikan gaji sekiranya mereka dipilih, dan tentulah pekerja-pekerja tertarik dengan janji itu. Mereka juga berkata bahawa MIC sangat kurang menolong pekerja-pekerja.

Semasa menjalankan tugas di kementerian masing-masing, Tun Sambanthan dan Manickavasagam sentiasa mempunyai perhubungan rapat dengan pekerja-pekerja. Sungguh pun begitu oleh kerana mereka insaf bahawa Kerajaan tidak terdaya memenuhi segala tuntutan gaji, maka mereka tidak boleh membuat janji sebagaimana yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin kesatuan atau ahli-ahli politik yang memujuk pekerja-pekerja untuk kepentingan diri mereka.

Dalam kempen plihan raya, pemimpin-pemimpin politik dan kesatuan menuduh menteri-menteri ini tidak menolong untuk mendapatkan gaji yang lebih, walhal setiap orang tahu apa yang telah dibuat oleh Tun Sambanthan untuk menubuhkan syarikat-syarikat kerjasama memiliki harta di kalangan pekerja-pekerja India untuk mengatasi masalah pemecahan ladang-ladang. Sungguh pun begitu pemimpin-pemimpin kesatuan dengan tidak bertanggungjawab telah berjanji yang mereka akan mendapatkan kenaikan gaji bagi mencari sokongan pekerja-pekerja.

Satu peristiwa yang telah berlaku dalam pilihan raya lepas dapat membuktikan sejauh manakah kempen menentang Kerajaan telah diperhebatkan di kalangan pekerja-pekerja India. Tun Sambanthan telah memberitahu saya bahawa dia telah pergi ke sebuah berhala di Jalan Bangsar untuk satu istiadat, dan apabila dia keluar dari rumah berhala itu, dia dapati bendera Persekutuan di keretanya telah dikoyak. Kawasan ini ialah sebuah sarang kediaman pekerja-pekerja India, dan kerana itu tentulah orang-orang di situ jugalah yang melakukan perbuatan itu.

Peristiwa-peristiwa menentang Kerajaan yang seperti ini sangatlah mendukacitakan, terutama sekali jika diingatkan bagaimana Kerajaan telah menyediakan banyak faedah untuk pekerja-pekerja, tetapi mereka tidak menghargai jasa-jasa Kerajaan itu. Bandingkan Malaysia dengan Negara-negara lain di sekeliling kita, dan tuan-tuan akan insaf “bagaimana bertuahnya tinggal di sini”.

Pekerja-pekerja India ini telah lama menaruh perasaan dendam, tetapi ketika itu tidak dapat diagak sikap mereka sebagai pengundi dalam pilihan raya 1969. Adakah mereka akan menyokong Perikatan atau parti-parti lain?
 sebuah buku hasil karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969