Showing posts with label 13 Mei – Sebelum & Selepas. Show all posts
Showing posts with label 13 Mei – Sebelum & Selepas. Show all posts

BAB 23 : Mimpi Dan Alamat | 13 Mei – Sebelum & Selepas



PADA satu malam bulan penuh purnama yang terjatuh pada hari Jumaat, 2 Mei 1969, lapan hari sebelum hari mengundi dan 11 hari sebelum rusuhan berlaku, saya telah mendapat satu mimpi yang boleh dikatakan luar biasa.

Dalam mimpi itu saya dapati saya berada di lorong belakang di antara dua deretan rumah. Lorong itu sempit, becak, berlumpur dan kotor; sampah sarap dan kekotoran yang seperti itu tidak pernah saya lihat dahulu. Sedang saya berdiri di situ dengan tidak tahu apa yang hendak di buat, tiba-tiba tikus-tikus longkang sebesar kucing berduyun-duyun keluar dari parit sebelah kiri dan datang ke tengah-tengah lorong yang tersebut memakan sampah dan kotoran yang ada di situ. 

Tikus itu nampaknya bengis, dan memamah sampah sarap dengan ganasnya. Saya cuba hendak pergi ke sebelah sana lorong itu yang tidak dipenuhi oleh tikus-tikus itu, tetapi dengan tiba-tiba berterbangan keluar lalat-lalat hijau yang kotor dari sebuah parit disebelah kanan, dan memenuhi kawasan yang kosong itu. Dengan itu maka saya telah terperangkap kerana tidak ada lagi jalan yang boleh saya lalui.

Tikus-tikus dan lalat-lalat itu terus juga keluar dari kedua-dua belah parit, dan saya pun mengambil keputusan untuk keluar dari situ dengan merempuh mereka. Oleh kerana saya fikir tikus-tikus itu akan menyerang saya, maka saya tidak megikuti jalan yang ada tikus-tikus itu tetapi merempuh lalat-lalat hijau itu sambil menutup mata dan muka saya dengan lengan. Lalat hijau itu berterbangan dan berdesing-desing di sekeliling saya dan mengikut saya seketika, tetapi akhirnya saya dapat lepas daripada mereka dan terus keluar ke jalan yang bersih dan udara yang segar.

Apabila terkejut daripada tidur saya tidak dapat mentadbirkan mimpi itu. Saya beritahu isteri saya dan meminta beliau memikirkan apa erti mimpi yang pelik dan dahsyat itu. Beliau berkata beliau juga tidak dapat mentabirkan mimpi itu tetapi nyatalah ia memberi alamat bahawa satu kejadian buruk akan berlaku, dan kejadian itu akan mendatangkan kesusahan besar kepada saya.

Pada ingatan saya tikus-tikus dan lalat-lalat hijau itu adalah merupakan dua binatang yang kotor sekali dalam dunia. Oleh itu mimpi saya itu tentulah menandakan bahawa ada satu perkara yang dahsyat akan berlaku. Saya beritahu isteri saya bahawa saya rasa ada musuh-musuh yang berusaha hendak menjahanamkan saya, atau sekurang-kurangnya hendak menyekat usaha-usaha saya untuk keamanan dan kebahagiaan. Saya segera mencatatkannya dalam buku ingatan saya supaya kemudian kelak dapatlah saya mengerti tujuan mimpi saya itu.

Dalam masa beberapa hari sejak mimpi itu, saya berkali-kali cuba hendak mencari makna tikus dan lalat hijau itu. Saya tidak dapat hendak melupakan mimpi itu kerana semua yang berlaku sangatlah jelas, dan merupakan satu alamat yang sangat buruk.

Pada pagi hari mengundi satu lagi kejadian yang merunsingkan telah berlaku selepas sembahahyang subuh. Apakala saya hendak bangkit dari tikar sembahyang, tasbih yang saya gunakan telah tersangkut di penjuru meja dan putus talinya sehingga biji-biji tasbih itu bertaburan di atas lantai.

Kejadian ini juga tentu mempunyai makna. Saya telah gunakan tasbih ini selama beberapa tahun untuk berzikir selepas sembahyang tetapi kejadian yang seperti ini tidak pernah berlaku sebelum itu. Tuhan sahaja yang maha mengetahui kenapa tasbih itu putus talinya pada pagi itu, iaitu hari mengundi. Saya mula berasa gelisah dengan kejadian-kejadian yang pelik ini, mungkin ia mempunyai alamat yang tidak baik.

Sekarang baru saya tahu apa yang dimaksudkan oleh mimpi itu. Tikus-tikus itu nyatalah merupakan komunis-komunis Malaysia atau konco-konco dan penyokong-penyokong mereka dan juga semua anasir jahat.

Orang-orang inilah yang menganjurkan perarakan mayat pada 9 Mei dan sebagaimana yang telah saya ceritakan tadi, mereka cuba hendak menimbulkan peristiwa buruk dalam perarakan itu supaya terhalanglah pilihan raya. Mereka tidak berjaya dalam pecubaan ini tetapi mereka telah berjaya menimbulkan perasaan buruk dan meninggalkan kesan yang membahayakan keamanan. Mereka telah menyematkan perasaan perkauman di hati orang ramai, dan melakukan perbuatan-perbuatan yang membawa kepada tercetusnya kekacauan besar pada 13 Mei. Ringkasnya mereka telah menaburkan benih-benih dan sekarang mereka hendak makan buahnya.

Elok saya terangkan bahawa pihak Cina Komunis tidaklah bertujuan hendak menimbulkan pergaduhan atau pertelingkahan perkauman seperti yang berlaku itu, tetapi hasil perbuatan mereka yang lazimnya berakhir dengan kejadian yang sama seperti ini. Apa sebabnya begitu? Sebabnya ialah orang-orang Melayu enggan menurut perintah mereka dan sebarang perselisihan dengan orang-orang Melayu pastilah membawa kepada pertelingkahan kaum.

Ini telah terbukti dalam kejadian yang berlaku di Pulau Pinang semasa komunis memberi perintah supaya diadakan hartal, orang-orang Melayu tidak hiraukan perintah itu, dan apabila mereka menyerang pekedai-pekedai Melayu, maka orang-orang Melayu lain telah datang menolong sehingga membawa kepada timbulnya satu pertempuran kaum.

Tujuan mereka hendak merosakkan Kerajaan dengan mengadakan ‘boikot’  telah bertukar menjadi satu pertempuran antara orang-orang Melayu dengan orang-orang Cina,  iaitu satu kejadian yang bukan dimaksudkan oleh Komunis.

Kejadian seperti ini berlaku sekali lagi pada hari perarakan mayat. Tujuan mereka ialah hendak menunjuk perasaan menentang kerajaan, tetapi dengan melakukan perbuatan itu mereka telah menyentuh perasaan orang-orang Melayu. Sikap orang-orang Melayu ialah kiranya mereka menganggap kerajaan negeri ini sebagai kerajaan mereka, maka perbuatan mengutuk kerajaan itu berertilah mereka juga mengutuk diri mereka sendiri. Orang-orang Melayu adalah anti-Komunis, tetapi nampaknya Komunis Cina tidak memahami sikap dan pendirian orang-orang Melayu itu. Bilangan orang-orang Melayu yang mempercayai ideologi mereka boleh dikatakan hanya  berapa kerat saja.

Pada 12 Mei, Dr Tan Chee Khoon dan anggota-anggota Gerakan telah mengadakan perarakan untuk merayakan “kemenangan” parti mereka, dan dalam perarakan itu anggota-anggota DAP juga turut serta. Perarakan itu telah berjalan dengan teratur sebagaimana yang dirancang, tetapi selepas daripada tamatnya perarakan itu anggota-anggota parti telah hilang akal menunjukkan kelakuan yang biadab. Semasa mereka dalam perayaan itulah mereka telah melakukan perbuatan yang tidak senonoh dan melemparkan kata-kata yang keji. Perbuatan mereka yang keji itu dengan sendirinya memasukkan mereka ke dalam perangkap `tikus-tikus longkang’ tersebut.

Perarakan mayat yang dianjurkan oleh Komunis pada hari Jumaat dan sambutan “kemenangan” yang diadakan oleh Gerakan dan DAP pada hari Isnin adalah dua kejadian yang provokasi sehingga tercetusnya kekacauan yang sehabis-habis buruk yang belum pernah berlaku di Kuala Lumpur. Tujuk-tunjuk perasaan yang berlaku satu demi satu telah dianjurkan oleh Cina Komunis dan parti-parti politik tersebut, yang merupakan perbuataan provokasi dan jahat telah memberi makna yang jelas kepada mimpi saya itu.

Sekarang apakah pula erti lalat-lalat hijau? Pada malam 25 Mei seorang pelayan di Residency (kediaman rasmi saya) telah memberitahu saya bahawa seorang sahabat lama, Dato’ Syed Esa Almanoer hendak bercakap dengan saya menerusi telefon. Apabila saya mengangkat telefon itu saya dapati bukanlah suaranya, tetapi orang lain yang cuba hendak menyamar dan bercakap dalam bahasa Inggeris. Dia memberitahu saya bahawa ada 20 orang ahli UMNO yang sedang bermesyuarat pada masa itu di satu tempat dan mereka telah mengambil keputusan meminta saya meletakkan jawatan.

Saya cuba hendak mengecam suaranya, tetapi tidak dapat. Apabila saya bertanya siapakah dia, dia enggan memberitahu namanya. Jadi saya katakan kepadanya “Go to hell (pergi jahanam).” Panggilan-panggilan telefon yang seumpama telah dibuat berulang kali dalam masa tiga atau empat malam kemudiannya. Apabila  diberitahu kepada orang yang memanggil itu bahawa saya tiada di rumah, dia telah memberitahu kepada pelayan yang menjawab telefon itu supaya memberitahu kepada saya supaya meletakkan jawatan kerana saya tidak dikehendaki lagi dalam UMNO dan dalam Kerajaan.

Pada 6 Jun pula, iaitu hari yang sepatutnya saya masuk hospital, Utusan Melayu telah menerbitkan satu berita yang mengandungi pendapat beberapa orang anggota UMNO bahawa dalah bijak bagi MCA tidak menyertai Kabinet. Saya telah menasihatkan mereka itu supaya jangan mengeluarkan apa-apa kenyataan kerana saya bimbang perbuatan itu mungkin akan menambahkan perpecahan dan dengan itu juga akan mencacatkan pentadbiran. Sebarang persoalan kaum yang dibangkitkan pada waktu ini akan membahayakan keamanan.

Selang tidak berapa lama, iaitu pada 18 Jun, saya telah menerima surat daripada Dr. Mahathir yang telah saya ceritakan terdahulu. Surat ini kemudiannya telah disebar beribu-ribu naskah. Kandungannya semata-mata bertujuan untuk menghina saya di mata orang ramai dan menaikkan perasaan marah dan benci orang ramai terhadap diri saya.

Kempen benci terhadap diri saya ini telah mengejutkan orang-orang Melayu yang taat setia amnya dan anggota UMNO khasnya. Saya sendiri menghadapi dugaan yang berat. Keadaan tegang telah timbul di dalam parti yang boleh membawa kepada timbulnya perpecahan dalam UMNO. Kemudian Majlis Tertinggi UMNO telah memecat Dr. Mahathir.

Perkara ini tidak terhenti setakat itu sahaja. Mereka terus menganiaya diri saya. Beberapa lagi surat liar telah dikirim dan disebarkan kepada orang ramai. Lalat-lalat hijau ini terus mengekori saya, dan mereka masih berdesing-desing di sekeliling saya.

Sekarang dapatlah saya faham bahawa biji-biji tasbih yang telah terburai itu merupakan pecahnya keamanan dan harmoni antara berbagai-bagai kaum. Tikus-tikus boleh dibunuh, lalat-lalat boleh diusir dan biji-biji tasbih boleh dicucuk kembali benangnya. Marilah kita berdoa supaya segala penderitaan dan percubaan yang kita telah alami, dan bencana serta kesan-kesan yang buruk yang timbul daripadanya itu akan menjadi pengajaran kepada kita semua.

Pihak Kerajaan sebenarnya bersungguh-sungguh mengamalkan sikap sabar dalam menguatkuasakan undang-undang dan peraturan. Sepatutnya kita tidak membenarkan mayat pemuda Parti Buroh itu disimpan di rumah mayat di Jalan Sultan yang terletak di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur, tetapi memerintahkan supaya mayat itu dibawa ke kampungnya di Kepong untuk dikebumikan.

Niat Parti Buroh itu adalah jelas; hendak mempersenda-sendakan pemerintah dan melakukan perbuatan-perbuatan yang boleh memecahkan keamanan. Cara mereka mengadakan perarakan mayat menunjukkan dengan jelas niat dan tujuan mereka. Mereka tergamak meminta kebenaran supaya perarakan itu diadakan pada hari mengundi. Jika permintaan mereka itu diluluskan, mungkin pilihan raya di Kuala Lumpur tidak dapat diadakan. Kesan perarakan mayat itu tentulah buruk ke atas negara pada keseluruhannya tidak kira pada hari mana jua pun ia diadakan, kerana perarakan yang seumpama itu akan membangkitkan perasaan anti kerajaan.

Oleh kerana itu Gerakan dan DAP tidaklah sekali-kali patut mengadakan perayaan ‘kemenangan’ setelah perarakan mayat itu telah diadakan dan kesan-kesan daripadanya menunjukkan bahawa perbuatan itu telah menimbulkan perasaan yang buruk. Cara bagaimana mereka merayakan ‘kemenangan’ mereka tidak dapat tiada mesti mengakibatkan kejadian seperti yang telah berlaku dan saya meletakkan tanggungjawab yang sama ke atas parti-parti ini di atas kekacauan yang berlaku.

Setelah parti-parti pembangkang mengadakan perarakan kemengan mereka maka tidaklah pula dapat disekat kehendak UMNO mengadakan perarakan kemenangannya pada 13 Mei. Jika perarakan UMNO itu tidak diadakan, maka moral anggota-anggota parti itu tentulah jatuh setelah parti-parti pembangkang menunjukkan kekuatan mereka, dan juga kerana anggota-anggota UMNO ini telah dicerca oleh parti-parti pembangkang itu. Oleh itu rusuhan-rusuhan 13 Mei yang telah timbul akibat daripada perarakan-perarakan itu adalah satu kejadian yang dikutuk, dikesali dan tidak dapat dimaafkan.

Selain daripada itu, dalam kempen pilihan raya asas-asas demokrasi telah dipersenda-sendakan dan perlembagaan telah dicabul dan dipermainkan oleh semua partii pembangkang. Pemimpin-pemimpin mereka telah melancarkan kempen dengan tidak menghiraukan dan tidak menghormati perlembagaan yang menjadi piagam demokrasi negara.

Sesungguhnya mereka telah membuat ucapan-ucapan seolah-olah negara ini tidak mempunyai perlembagaan. Pensyarah-pensyarah yang berdiri di atas pentas DAP telah kedengaran berkata bahawa sekiranya mereka memegang kuasa, mereka akan melucutkan hak-hak orang Melayu. Banyak lagi perkataan-perkataan mereka mengenai soal berbilang bahasa dan soal-soal perkauman yang lain yang juga tidak sekali-kali patut dikeluarkan. Banyak perkara yang ditimbulkan oleh ahli-ahli Gerakan dan DAP merupakan soal-soal yang bercorak provokasi yang boleh difahami oleh orang-orang Melayu bahawa sekiranya pembangkang menang dalam Pilihanraya itu, orang-orang Melayu akan `diajar.’

Di satu pihak lagi, PAS menjalankan kempen yang boleh diertikan sebagai bertujuan hendak mengambil kuasa negara ini untuk orang-orang Melayu sahaja. Menurut PAS sekalipun mereka mengakui adanya orang-orang lain di negara ini, orang-orang yang bukan Melayu tidak akan dibenarkan mengambil bahagian di dalam pemerintahan negara atau pun di berikan sebarang hak.

Sebaliknya Parti Perikatan berdiri teguh di belakang perlembagaan dan dengan sebab itu Perikatan telah menjadi sasaran serangan daripada kesemua pihak. Sungguh pun begitu, keputusan-keputusan pilihan raya telah membuktikan satu perkara. Sekali pun di dalam kempen itu berbagai-bagai tuduhan telah dilemparkan ke atas Perikatan dan pelbagai kritikan telah dihalakan kepada perlembagaan, rakyat masih memilih Perikatan untuk memegang kuasa pemerintahan. Ini menunjukkan satu bukti yang jelas bahawa rakyat Malaysia menyokong Perikatan kerana mereka menyifatkan parti itu sebagai pendukung perlembagaan, iaitu sebuah piagam yang menjamin kebebasan, hak-hak perseorangan dan keselamatan.

Oleh itu apakah yang patut kita lakukan supaya perlembagaan itu dihormati? Perlembagaan adalah menjadi asas kemerdekaan kita, dan di atas asas inilah kita telah membina negara kita. Oleh itu kita mestilah sentiasa menegakkan Perlembagaan kita itu dan mempertahankan serta melindunginya dengan segala kekuatan yang ada pada kita.

Saya dapat tahu bahawa di Amerika Syarikat semua parti politik yang mengambil bahgian dalam pilihan raya bersetuju tidak menyentuh hal-hal perlembagaan mereka. Perlembagaan ini disifatkan sebagai dokumen yang suci dan tidak boleh dibiarkan mana-mana pihak menjadikannya sebagai satu perkara yang boleh dipersoalkan dalam kempen pilihan raya atau di mana-mana jua. Di dalam perlembagaan kita itu ada syarat-syarat yang menentukan cara-cara bagaimana dapat dibuat pindaan, tetapi pindaan-pindaan telah dibuat cuma mengenai dengan pentadbiran dan keselamatan negara di mana-mana yang difikirkan perlu.

Sekiranya kita hendak mencegah daripada berulangnya peristiwa 13 Mei, maka undang-undang pilihan raya mestilah dipinda bagi mengadakan syarat-syarat bahawa perkara-perkara di dalam perlembagaan itu tidaklah boleh ditimbulkan di dalam pilihan raya, dan jika mana-mana parti atau orang-orang perseorangan melakukan kesalahan melanggar undang-undang ini maka mereka akan dihukum. Dengan cara ini sahajalah dapat kita menjamin bahawa demokrasi boleh berjalan di negara ini.

Peristiwa 13 Mei memberikan peringatan berkekalan kepada kita semua tentang bahaya yang akan timbul jika perlembagaan diketepikan dan soal-soal yang menyentuh perasaan, adat resam dan adat istiadat pelbagai  kaum dipermainkan.

Pada 13 Mei 1969,  negara kita terletak di ambang keruntuhan, dan sebab boleh berlaku kejadian itu ialah kerana kita tidak mengakui pada diri kita sendiri kedudukan dan hakikat yang sebenar. Oleh yang demikian marilah kita berazam untuk bersungguh-sungguh mengelakkan daripada berlaku lagi kelalaian dan kecuaian yang seperti itu. Marilah kita berazam untuk mempertahankan demokrasi dan cara hidup yang kita cintai.

Maka saya berdoa ke hadrat Allah Subhanallah Wata’ala untuk memohon limpah rahmat-Nya bagi mengembalikan buat selama-lamanya muhibah, keharmonian, keamanan dan persahabatan antara kaum di negara kita sebagaimana sebelum 13 Mei 1969.

sebuah buku hasil karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969

BAB 22 : Pengajaran Dari Baling | 13 Mei – Sebelum & Selepas



KEJADIAN-KEJADIAN yang berlaku semasa pilihan raya 1969, rusuhan pada 13 Mei dan perkara-perkara yang berlaku kemudian daripadanya sebagaimana yang telah saya ceritakan adalah saling berkaitan. Ucapan-ucapan mencela, perbuatan  provokasi dan kelakuan yang tidak bertanggungjawab,  kesemuanya ditimbulkan dengan teratur, satu demi satu.

Siapakah yang mengatur semua kejadian-kejadian ini? Siapakah sebenarnya yang mesti dipersalahkan?

Jika kita perhatikan kepada keseluruhan gambaran peristiwa yang menyedihkan itu, dan kepada usaha yang masih diteruskan untuk merosakkan keselamatan Malaysia (yang masih lagi dilakukan semasa buku ini ditulis), maka kita akan mendapat satu kesimpulan sahaja iaitu perbuatan-perbuatan itu dirancang oleh Komunis Cina. 

Sebagaimana yang telah saya sebutkan dalam permulaan buku ini, ada orang yang memikirkan bahawa saya dirasuk oleh momok Komunis, dan fikiran saya terkongkong dengan sejenis perasaan takut kepada Komunis. Wartawan-wartawan asing nampaknya bersetuju. Memanglah menjadi kerja mereka untuk membuat laporan dan memberi pandangan di atas kejadian-kejadian yang berlaku dari sehari ke sehari, tetapi mereka tidak dapat menunjukkan kebolehan untuk membuat perhitungan yang betul kerana mereka tidak memberi perhatian kepada kerenah-kerenah yang telah timbul pada  masa lalu yang ada pertaliannya.

Seorang pendita Inggeris telah berkata satu kurun dahulu: “Sejarah ialah politik yang berlaku di masa lepas, dan politik ialah sejarah yang sedang ditempa.” Wartawan-wartawan asing tidak hirau apa yang berlaku pada masa lepas, mereka cuma suka ambil tahu apa yang sedang berlaku sahaja.

Sesiapa yang hidup sejak Perang Dunia Kedua di Malaysia atau di Singapura atau mengikuti segala peristiwa yang berlaku dalam sejarah kedua-kedua negara ini dalam masa 24 tahun yang lepas dan terbabit sendiri dalam kejadian-kejadian itu, tentulah dapat menyedari bahawa Komunis Cina, penyokong-penyokong yang dibawah telunjuk mereka, anasir-anasir yang tidak berdosa yang terdiri daripada parti-parti politik, orang-orang atau belia yang diperalatkan oleh Komunis, sentiasa menimbulkan kekacauan.

Mereka tidak pernah lalai, bahkan sentiasa menunggu kesempatan untuk mencetuskan huru-hara sama ada kecil atau besar, pada bila-bila masa dan di mana-mana jua yang mereka fikirkan munasabah untuk tujuan mereka. Saya tidak dapat mengerti bagaimana orang boleh tuli, pekak dan buta kepada kerenah-kerenah ini. Sesungguhnya sehingga hari ini tidak ada sebuah negara pun di Asia Tenggara yang tidak tersentuh dengan apa-apa jua cara daripada gerakan Komunis bercorak Cina itu. Jadi bagaimanakah Malaysia boleh terlepas dari angkara Komunis itu?

Sesungguhnya kita tidak pernah bebas dengan sepenuhnya daripada tipu daya Komunis, tetapi oleh kerana kita tidak dapat mengelak dari menghadapi ancaman itu, maka kita sentiasa berjaga-jaga dan berwaspada. Bezanya ialah di Malaysia ini, kita adalah salah sebuah negara yang mula-mula sekali menentang cubaan rampasan kuasa oleh Cina Komunis, dan oleh kerana kita telah berjaya mematahkan percubaan Parti Komunis Malaya (PKM) dalam masa darurat yang memakan masa 12 tahun, maka Komunis tidak sekali-kali akan memaafkan kita.

PKM selalu mengemukakan bangkangan terhadap pilihan raya bercorak demokrasi. Mereka menyifatkan demokrasi berparlimen itu sebagai satu ajaran imperialis, yang tidak sesuai dengan semangat kebangsaan orang-orang Asia, dan tidak secocok dengan ideologi Mao Tze Tung. Jadi mereka mesti membinasakan pilihan raya jika tidak dapat mencegahnya. Sekurang-kurangnya mereka akan bersungguh-sungguh menyusahkan Kerajaan dengan apa jua cara yang boleh, sekali pun mereka gagal dalam rancangan mereka.

Perhubungan pertama saya dengan PKM ialah apabila saya berjumpa dengan Chin Peng, di Pekan Baling negeri Kedah pada 1955. Dalam pertemuan itu saya telah mendapat satu pengajaran besar mengenai fahaman Komunis dari Chin Peng.

Beliau telah dapat menyedarkan saya dengan beberapa patah perkataan sahaja tentang corak pernentangan yang akan saya terima daripada Komunis Cina. Beliau berkata: ”Saya seorang Komunis dan tuan tidak, jadi antara parti saya dan parti tuan tidak akan sekali-kali tercapai sebarang persetujuan. Mustahil bagi Komunis dapat hidup bersama dengan orang yang bukan Komunis.”

Beberapa perkataan yang mudah difahami ini telah tersemat di dalam hati saya.   Segala dakyah yang dikeluarkan oleh pihak Inggeris mengenai fahaman Komunis pada masa itu dan juga mengenai dengan tujuan-tujuan Komunis , tidak dapat memberi kesan ke atas saya.

Dengan secara tidak langsung Chin Peng sendirilah yang telah memberi ingatan kepada saya mengenai bahaya fahaman Komunis. Oleh itu saya bukannya takut kepada ‘momok’, bahkan saya telah mendapat ajaran daripada mulut Komunis sendiri tentang bahaya yang akan ditimbulkan.

Tidak berfaedah kita berpura-pura seolah-olah kita telah dapat menghalang PKM . Sekalipun darurat tamat pada 1960, saya tidak pernah mempercayai bahawa kita tidak lagi akan berhadapan dengan ancaman Komunis. Saya selalu berkata bahawa sekali pun Komunis telah dapat dikalahkan pada waktu itu, tetapi kita tidak dapat menghalang sepenuhnya, kerana mereka akan cuba muncul kembali pada bila-bila masa yang boleh.

Empat belas tahun telah berlalu sejak saya bertemu dengan Chin Peng dalam perundingan yang bersejarah di Baling, tetapi kata-kata Chin Peng pada ketika itu kepada saya sentiasalah tersemat di dalam ingatan saya kerana setiap kali saya memikirkan sebarang perbuatan atau perkataan Komunis maka saya sentiasa terkenang kepada peristiwa Baling.

Di Malaysia hari ini cuma orang-orang yang pertengahan umur sahaja yang masih ingat peristiwa Baling itu, tetapi bagi orang-orang muda Baling cuma merupakan nama sebuah pekan sahaja. Oleh yang demikian saya fikir amatlah berguna sekiranya saya menyebut di dalam buku ini pertemuan saya yang tidak dapat dilupakan dengan Chin Peng yang pada ketika itu menjadi pemimpin PKM sehingga hari ini.

Pada 9 September 1955, saya sebagai Ketua Menteri dengan hati yang berat telah mempersetujui perisytiharan Kerajaan Inggeris hendak memberi pengampunan beramai-ramai kepada Komunis. Sebagai menyambut tawaran pengampuan ini, surat-surat telah diterima oleh saya sebagai Ketua Menteri dan juga orang-orang yang dikatakan dikirim oleh Jawatankuasa pusat PKM. Surat-surat ini telah mengkritik syarat-syarat pengampunan dengan mengatakan ‘bahawa syarat-syarat itu tidak patut dan tidak dapat diamalkan”. Mereka mengemukakan cadangan hendak menghantar wakil-wakil ke Ibu Pejabat Perikatan di Kuala Lumpur untuk merundingkan butir-butir yang lanjut untuk pertemuan antara saya dan Chin Peng. Sebenarnya surat itu merupakan satu tawaran yang tidak langsung kepada Kerajaan untuk merundingkan soal menamatkan darurat.

Kerajaan dengan tegas telah menolak tawaran ini, tetapi pada 29 September satu kenyataan Kerajaan telah dikeluarkan yang menyebut kesanggupan saya untuk bertemu dengan Chin Peng dengan tujuan hendak menjelaskan kepadanya syarat-syarat pengampunan. Kenyataan itu juga selanjutnya menyatakan bahawa satu pertemuan dapat diadakan di satu tempat yang munasabah di Utara Malaya, dan seorang pegawai yang Chin Peng kenal akan dilantik sebagai pegawai pemandu. Pegawai ini diperintahkan bersedia pada bila-bila masa untuk menemui Chin Peng di satu tempat dalam sebuah kawasan yang akan dijadikan kawasan gencatan senjata. Jika Chin Peng bersedia hendak menghadiri pertemuan yang seperti itu, maka bolehlah dia menghantar sepucuk surat bersendirian kepada saya dengan menyatakan di dalamnya tempat, masa dan tarikh bagi pegawai pemandu itu berjumpa dengannya dan membawanya ke tempat mesyuarat.

Saya telah menerima jawapan pada 14 Oktober. Satu perkara yang menarik perhatian ialah jawapan ini bertarikh dua hari selepas daripada kenyataan saya itu. Pada 17 Oktober satu pertemuan telah berlangsung di Klian Intan antara dua orang wakil Kerajaan dan seorang wakil Komunis sebagaimana yang telah diaturkan di dalam surat Chin Peng kepada saya itu. Chin Peng sendiri tidak hadir tetapi telah diwakili oleh Chen Tian. Namun begitu Chen Tian tidak ada kuasa untuk membuat sebarang keputusan, tetapi beliau akan menyampaikan kepada Chin Peng rancangan-rancangan Kerajaan bagi mengadakan satu pertemuan. Satu pertemuan lagi dengan Chen Tian perlu diadakan dan persiapan untuk pertemuan itu juga hendaklah diberitahu kepada saya dengan surat daripada Chin Peng sebagaimana yang dibuat dahulu.

Pertemuan yang kedua juga diadakan di Klian Intan pada 19 November. Chen Tian telah tiba di tempat itu dengan tidak memberitahu terlebih dahulu tentang ketibaannya, dan mengambil kesempatan itu untuk mengeluarkan satu kenyataan bertulis kepada akhbar dan mengadakan temu ramah dengan wartawan untuk tujuan propaganda. Saya telah memberi amaran kepada Chin Peng sekiranya perbuatan kurang ajar ini dibuat lagi, maka saya akan membatalkan pertemuan yang dicadangkan itu.

Kemudian saya membuat satu kenyataan bahawa saya bersama-sama dengan David Marshall yang menjadi Ketua Menteri Singapura pada masa itu sanggup berjumpa dengan Chin Peng pada akhir bulan Disember. Komunis telah menerima cadangan ini dan persiapan telah dibuat untuk mengadakan pertemuan itu di Baling pada 28 Disember. Dalam satu pertemuan akhir di Kroh, pada 13 Disember untuk mengaturkan persiapan, pihak Komunis telah diberitahu bahawa pertemuan itu hendaklah diadakan di Baling pada 28 Disember atau dibatalkan terus. Kesemua perkara mengenai pertemuan itu telah diputuskan, tetapi mestilah terlebih dahulu menunggu surat daripada Chin Peng untuk pengesahan.

Surat ini telah diterima pada 23 Disember, tetapi Chin Peng telah meminta supaya diadakan satu pertemuan dengan wakil-wakil Kerajaan pada 24 Disember, dan juga meminta supaya saya mengumumkan menerusi radio satu jaminan di atas keselamatan perwakilan Komunis. Pertemuan yang akhir ini telah berlangsung pada tarikh yang diminta oleh Chin Peng itu, dan pada hari itu juga saya telah mengumumkan satu jaminan untuk keselamatan mereka.

Setelah itu perundingan Baling berjalan sebagaimana yang dirancangkan, iaitu pada 28 dan 29 Disember. Tiga pertemuan telah diadakan dalam masa dua hari. Saya telah mengetuai pihak Kerajaan yang mengandungi wakil-wakil yang terdiri daripada Mr. David Marshall dan Tun Tan Cheng Lok. Chin Peng mengetuai pihak Komunis yang terdiri daripada Chen Tian dan Rashid Maidin.

Hasil perundingan ini, Chin Peng telah bersetuju sebagaimana yang berikut:

 “Setelah sahaja Kerajaan Persekutuan yang dipilih mendapat kekuasaan penuh dalam segi keselamatan dalam negeri dan pasukan-pasukan bersenjata tempatan maka kami akan menamatkan keganasan, meletakkan senjata dan membubarkan pasukan-pasukan kami. Ini tidaklah bererti bahawa kami menerima syarat-syarat pengampunan yang ada sekarang.”

Begitulah tamatnya rundingan Baling. Sekalipun Chin Peng telah membuat perjanjian, saya telah meninggalkan Baling tanpa sebarang harapan kerana saya terkenang kepada perkataan-perkataan Chin Peng bahawa Komunis mustahil dapat hidup bersama dengan orang-orang yang bukan Komunis.

Saya tidak percaya yang dia akan memenuhi janjinya itu, dan inilah yang sebenarnya telah berlaku. 20 bulan kemudian iaitu pada 31 Ogos 1957 Malaya telah menjadi sebuah negara yang merdeka dan bebas, dengan mempunyai sebuah Kerajaan pilihan rakyat dan berkuasa ke atas keselamatan dalam negeri dan di atas pasukan-pasukan bersenjata kita, tetapi sekalipun Komunis telah membuat perjanjiannya dengan kita di Baling, mereka terus melancarkan keganasan senjata.

Malaya akhirnya dapat mengisytiharkan tamatnya darurat pada 31 Julai 1960. Chin Peng dan saki-baki Komunis yang telah dikalahkan itu telah bersembunyi di Selatan Thailand dan berada di sana sehingga hari ini selama 14 tahun. Mereka masih merupakan satu ancaman kepada keselamatan negara sebagaimana yang terbukti daripada serangan hendap yang dilakukan oleh mereka pada 27 Julai.

Kerajaan tidak lalai serta telah melipatgandakan tindakan keselamatan di sepanjang kawasan sempadan dengan kerjasama rapat kerajaan Thai, kerana kami sedar bahawa kekacauan yang berlaku baru-baru ini dan suasana yang belum dapat dipulihkan di Malaysia ini memberi peluang kepada Chin Peng dan pengikut-pengikutnya untuk melakukan sesuatu jika mereka diberi kesempatan.

Sekarang masih ada beribu-ribu orang lagi Komunis di Malaysia. Kenyataan ini telah terbukti semasa Konfrantasi Indonesia kerana dalam masa itulah kira-kira 2,000  Komunis telah meninggalkan negara ini untuk bersama dengan pasukan tentera  Presiden  Sukarno melanggar Malaysia.

Komunis bukannya cintakan Sukarno atau sukakan rejimnya, kerana mereka mendapat laporan tentang perbuatan-perbuatan aniaya yang dilakukan ke atas orang-orang Cina di Indonesia dengan perintah Sukarno. Mereka pergi ke Indonesia kerana mereka berpendapat bahawa inilah satu peluang yang amat baik untuk membolehkan mereka muncul balik di Malaysia sebagaimana yang mereka harapkan selama ini. Pada kali ini mereka harap dapat memenuhi cita-cita mereka dengan cara bersatu dengan tentera Sukarno.

Mereka juga berharap bahawa dengan adanya persahabatan antara Sukarno dengan PKM, maka mereka akan diakui balik sebagai satu pertubuhan di Malaysia jika Sukarno berjaya dalam rancangannya itu. Mereka akan menolong Sukarno sampai mendapat peluang mengambil kuasa di Malaysia.

Dalam perarakan mayat 9 Mei itu, sepanduk-sepanduk gambar Mao telah diarak oleh mereka yang mengambil bahagian dalam perarakan itu, yang berpura-pura sebagai orang-orang yang berkabung.

Parti Buroh Malaysia terletak di bawah kawalan Komunis, dan Parti Rakyat pula sentiasa dipengaruhi oleh mereka. Dalam satu tunjuk perasaan yang diadakan oleh anggota-anggota Barisan sosialis pada 1967, Dr. Tan Chee Khoon telah kedengaran berkata: “Ini bukan orang-orang saya.”

Jadi siapakah mereka itu, padahal mereka menggunakan alamat Ibu Pejabat Barisan Sosialis di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di Kuala Lumpur untuk berkumpul.

Dr. Tan Chee Khoon sendiri bukanlah seorang Komunis, tetapi dapatkah beliau dengan sesungguhnya menyatakan bahawa parti beliau terlepas daripada sebarang pengaruh Komunis, seperti juga Lee Kuan Yew semasa beliau meminta pertolongan mereka itu untuk mendapatkan kekuasaan di Singapura? Baliau patutlah ingat kepada kata-kata: “Jika kamu menghirup sup di meja yang syaitan ada bersama-sama, maka mestilah kamu menggunakan sudu yang panjang tangannya.”

Beliau dan semua orang tahu bahawa Cina Komunis sentiasa mengganggu hal ehwal Malaysia sebagaimana yang dapat di dengar menerusi Radio Peking.

Saya rasa munasabah juga untuk memetik satu tulisan yang tersiar di dalam penerbitan mingguan Soviet bernama ‘New Times’ pada 13 Jun. Majalah itu menuduh Peking membangkitkan perasaan benci di kalangan bangsa-bangsa di Asia Tenggara, dan sebagai contohnya menyebut tentang rusuhan yang telah berlaku di Malaysia pada 13 Mei.

Majalah itu selanjutnya mengatakan bahawa pengikut-pengikut Mao telah beberapa kali memperalatkan kaum-kaum l Cina yang berada di Asia Tenggara, seperti di Burma dan Cambodia, untuk melakukan perbuatan-perbuatan provokasi yang boleh mendatangkan keuntungan kepada perjuangan mereka. Anasir-anasir Mao telah menanam benih perpecahan di kalangan pertubuhan yang benar-benar bercorak demokrasi di Malaysia, dan telah membahayakan pertubuhan-pertubuhan dengan menggunakan cara-cara ‘Red Guard’.

Majalah itu menamatkan huraiannya dengan mengatakan bahawa inilah satu pelajaran yang dapat diambil oleh pejuang-pejuang kebangsaan dan pengamalh demokrasi di Malaysia.

Kejadian serang hendap ke atas pasukan keselamatan kita di Sintok, Kedah pada 27 Julai membuktikan bahawa masih banyak gerakan pengganas di sepanjang sempadan Thai/Malaysia. Anggota-anggota Komunis yang terlatih di Thailand menyeberangi sempadan dan membuat perhubungan dengan rakan-rakan mereka di Malaysia.

Anggota-anggota perisik telah menumpukan perhatian mereka kepada gerakan Komunis di kawasan itu tetapi mereka tidak dapat mengesan kesemuanya kerana sempadan Malaysia/Thai diliputi oleh hutan rimba yang besar. Pada 17 Jun 1968, 16 orang anggota polis kita telah terbunuh dan 17 lagi cedera di dalam satu serangan hendap yang berlaku di sempadan Kroh/Betong. Inilah perangsang yang ditunggu-tunggu oleh pengikut-pengikut Komunis.

Kebanyakan laporan sulit yang diterima menumpukan hal-hal mengenai gerakan Komunis di Singapura dan sempadan Indonesia/Malaysia Timor. Jelas bahawa PKM  dibantu dari tiga jurusan – iaitu dari Selatan menerusi komunis-komunis yang ada di seberang Tembok Johor yang datang dari Hong Kong melalui Singapura, dari Utara komunis yang berada di Thailand, dan juga dari komunis di sempadan Sarawak-Indonesia.

Hari ini komunis di Malaysia lebih cergas dan lebih ganas daripada komunis di Singapura. Taktik mereka menggunakan sentimen perkauman telah berjaya sehingga menimbulkan ketegangan di dalam masyarakat kita yang berbilang kaum. Gerakan mereka telah bertambah meluas.

Malangnya mereka telah berjaya memujuk belia dari sekolah-sekolah Cina untuk dijadikan agen bagi melakukan perbuatan-perbuatan memeras dan menakutkan ahli-ahli perniagaan dan sebagainya. Mereka yang enggan menurut kehendak komunis  akan diancam keselamatannya. 

Inilah kumpulan yang terdiri daripada mereka yang berpegang teguh kepada perasaan kecinaan, dan juga samseng-samseng yang mengacau keamanan dalam negara ini. Mereka menghasut orang-orang Cina supaya mendesak Kerajaan mengadakan sebuah Universiti Cina menjadikan bahasa Cina dijadikan salah satu bahasa rasmi, dan enggan menerima sebarang perkara kecuali yang bercorak kecinaan.

Dengan tertanamnya perasaan sentimen yang seperti ini di dalam hati mereka, maka tidaklah mudah bagi Kerajaan hendak menarik mereka ke sebelah kita dan sangatlah susah hendak mengasingkan mereka daripada musuh kita, Komunis.

Dalam pilihan raya baru-baru ini kita telah dapat melihat gerakan yang cergas yang telah dilancarkan oleh Komunis. Saya mempunyai alasan yang kuat untuk mempercayai bahawa mereka telah mengadakan wang untuk Pas dalam pilihan raya yang lepas bagi mendapatkan pertolongan parti itu untuk menumbangkan Kerajaan Perikatan.

Komunis Cinalah yang telah mengadakan wang bagi pengacau-pengacau Melayu melalui parti-parti yang ada hubungan rapat dengan orang-orang ini, dan salah satu ialah Parti Komunis Indonesia yang menerima sokongan kewangan daripada Parti Komunis Negeri China.

Dalam masa itu Komunis telah menghasut pensyarah-pensyarah dari parti-parti pembangkang supaya menumpukan ucapan-ucapan mereka di atas perkara-perkara yang disungutkan oleh orang ramai dan meletakkan kesalahan di atas Kerajaan Perikatan, dengan cara memasukkan jarum pengaruhnya dengan halus.

Perarakan mayat pada 9 Mei, sehari sebelum daripada pilihan raya telah digunakan sepenuhnya oleh komunis. Komunislah yang merasa sangat puas hati dengan tunjuk perasaan yang diadakan bersama oleh Gerakan dan DAP pada 12 Mei iaitu satu perbuatan yang menepati dengan kehendak mereka.

Sekarang PKM sedang berusaha dengan cara yang tidak langsung untuk mendesak puak-puak ‘pelampau’ supaya melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan perpecahan di kalangan anggota-anggota UMNO. Kita mempunyai maklumat yang menunjukkan bahawa beberapa beberapa orang yang diketahui menjadi ahli Komunis sedang membuat perhubungan dengan beberapa orang ‘pelampau’ dalam UMNO.

Propaganda yang datangnya daripada Barisan Persatuan Komunis adalah bertujuan hendak menggambarkan bahawa Kerajaan Perikatanlah yang sebenarnya berdosa dalam pertelingkahan kaum itu.

Rancangan mereka sekarang ialah hendak menggunakan dengan sepenuhnya suasana yang terdapat pada hari ini untuk faedah Komunis dengan cara menyakinkan orang ramai bahawa mereka tidak bertanggungjawab di atas apa yang telah berlaku pada 13Mei; dan hasrat mereka ialah hendak menimbulkan suasana harmoni di kalangan semua kaum. Mereka bukan sahaja cergas di kawasan sempadan Thailand dan di sempadan Sarawak bahkan juga di seluruh negara.

Tujuan mereka ialah hendak memperingati ulang tahun yang ke-21 pemberontakan bersenjata mereka yang jatuh pada 20 Jun dengan cara menunjukkan kekuatan mereka, tetapi kesempatan itu tidak terbuka untuk mereka lakukan sehinggalah sebulan kemudian iaitu pada 27 Julai.

Mereka merayakan peristiwa itu dengan satu serangan hendap ke atas pasukan keselamatan di kawasan sempadan yang menyebabkan enam orang terbunuh dan tujuh lagi tercedera. Kejadian ini dilakukan unutk meninggikan moral mereka dan tentulah akan menambahkan semangat PKM di dalam rangkanya hendak menguatkan semula perjuangan bersenjata mereka.

Berikutan dengan penyebaran surat Dr. Mahathir itu, maka satu taktik baru telah timbul di Malaysia ini, tetapi taktik ini merupakan satu helah yang telah pun lama diamalkan oleh Komunis, kerana mereka telah pun mencubanya di Burma. Helah ini ialah menulis surat-surat yang beracun. Surat-surat ini seolah-olahnya dihantar oleh seorang kepada seorang yang lain, sebagaimana yang telah saya lihat di Terengganu pada 8 Ogos. Seolah-olahnya telah ditulis kepada saya oleh Setiausaha Agung Parti Perikatan, Tan Sri T.H. Tan kerana di kaki surat itu telah ditaip nama beliau sebagai penghantarnya.

Saya belum pernah melihat surat yang seperti ini. Jika setiausaha Parti Perikatan merasa risau di atas satu kejadian, maka tentulah dia tidak menulis surat ini kepada saya bahkan datang berjumpa saya sendiri. Hakikat itu dapat dilihat dengan jelas oleh mana-mana orang yang cerdik, tetapi nampaknya surat beracun yang seperti itu boleh mempengaruhi orang-orang biasa.

Surat ini mengandungi tuduhan-tuduhan terhadap tentera, iaitu tuduhan yang sangat keji dan hina yang boleh mengejutkan orang-orang biasa. Surat itu menuduh askar-askar kita memecahkan rumah, memperkosa perempuan-perempuan Cina, membelah perut mereka dan memotong buah dada mereka. Surat yang seperti itu cuma dapat ditulis oleh seorang yang hilang akal, tetapi ia penuh tanda-tanda yang menunjukkan bahawa surat itu merupakan propaganda Komunis.

Mungkin banyak surat seperti itu dihantar ke rumah-rumah orang-orang Cina. Di dalam sampul surat yang saya sebutkan tadi ada lagi sepucuk surat yang disebarkan bersama-sama dengannya. Surat yang pertama ialah yang saya baru sebutkan di atas; surat yang kedua dalam Bahasa Malaysia menghasut rakyat mengambil kuasa negeri ini untuk orang-orang Melayu. Surat itu bertajuk “Dengan Nama Allah.”

Sesiapa yang telah bertanggungjawab menghantar surat-surat ini telah membuat satu kesilapan yang amat bodoh kerana memasukkan kedua-dua surat di dalam satu sampul. Kedua-dua surat itu menunjukkan bahawa tujuannya ialah hendak menimbulkan perpecahan dan huru-hara dengan melalui dua suara, tetapi kesilapan itu telah menzahirkan bahawa kedua-dua suara itu datangnya dari mulut yang sama.

Semasa saya berada di Alor Setar pada 21 Ogos, saya telah menunjukkan kepada akhbar satu salinan surat Pekeliling Komunis yang bertulis di atas kertas ‘foolscaps’ berwarna merah jambu. Surat yang ditulis dalam tulisan rumi dan jawi ini mempunyai tajuk “Kenangan untuk askar Melayu“. Di atas surat ini tertera lukisan-lukisan kartun yang menunjukkan saya seorang diktator.

Di celah-celah gambar kartun itu tertulis nama-nama Menteri Kesihatan, Tan Sri Sardon; Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Khir Johari; Ketua Polis Negara, Tan Sri Salleh; Bekas Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Syed Nasir; seorang Ahli Parlimen dari Johor, Syed Ja’afar Albar, dan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Haji Sulaiman Palastin. Surat-surat itu telah dihantar melalui pos dari Kuala Lumpur kepada seorang penerimanya di Kedah.

Pada pendapat saya sendiri, sekiranya orang-orang Cina yang taat setia kepada negara tidak percaya kepada propaganda Komunis, maka negara ini akan selamat. Sebenarnya tidak ada sebarang sebab yang boleh menimbulkan pergaduhan antara orang-orang Cina dengan orang-orang Melayu, kerana mereka telah hidup bersama dengan aman. Anasir-anasir Komunislah yang cuba hendak memecahkan perpaduan yang berbahagia ini, dengan disokong oleh anasir-anasir pelampau cauvinis kedua-dua kaum.

Sementara Cina Komunis ialah kuasa di belakang anasir-anasir Cina yang tidak taat setia di Malaysia ini, saya juga tahu bahawa mereka membantu parti-parti Melayu yang menentang UMNO sekali pun anggota-anggota parti ini tidak mengetahuinya. Oleh yang demikian rakyat-rakyat Malaysia yang taat setia sedang dihimpit oleh Komunis dari dua belah pihak – satu pihak terdiri daripada orang-orang Melayu yang terpesong, dan satu pihak lagi dari orang-orang Cina yang tertipu.

Oleh yang demikian jalan yang terbuka bagi rakyat yang taat setia itu ialah menolong Kerajaan dengan apa juga cara yang boleh, dan menolong memperkuatkan segala tenaga yang dapat memperkuatkan kedudukan Kerajaan bagi menghadapi ancaman musuh-musuh kita, Komunis.

sebuah buku hasil karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969